Namun demikian, kebanyakan penghidap HIV tersisih daripada masyarakat menyebabkan mereka mengabaikan keperluan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di hospital.

Memahami keperluan tersebut, The Eye Shop Optometry menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) The Eye Project menaja sebanyak 400 pasang cermin mata bernilai RM170,000 kepada penghidap-penghidap HIV bawah perlindungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).

Pengarah The Eye Shop Optometry, Siti Fairuz Sulaiman berkata, pihaknya percaya setiap orang memerlukan penglihatan yang baik demi kehidupan yang berkualiti termasuklah golongan HIV.

“Kami mengasaskan program The Eye Project kerana mahu memberi peluang kepada golongan tidak bernasib baik memperbaiki kehidupan mereka melalui kesihatan mata yang baik.

“Untuk peringkat permulaan, kami melawat rumah-rumah perlindungan bawah naungan MAF di sekitar Lembah Klang dahulu dengan membuat pemeriksaan saringan kesihatan mata.

“Mereka yang mempunyai masalah rabun diberikan cermin mata secara percuma, manakala mereka yang menghidap masalah kesihatan mata yang serius diberikan surat rujukan hospital untuk pemeriksaan lanjut di hospital kerajaan,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan cermin mata di Rumah Solehah, Kampung Pandan, baru-baru ini.

Ujarnya, sepanjang program berlangsung, dia pernah menerima kes seorang penghidap HIV kanak-kanak yang tidak memakai cermin mata tetapi mempunyai masalah rabun sehingga tahap rabun sebanyak 800 yang mana sangat tinggi untuk seorang kanak-kanak.

Pengalaman cermin mata yang digunakan patah empat tahun lalu, namun keluarganya tidak mampu untuk membuat cermin mata baharu menyebabkan dia hidup dengan pandangan yang samar.

Kes tersebut amat menyentuh hatinya kerana dia tidak menyangka masih ada golongan yang tidak mampu membuat cermin mata disebabkan hidup susah.

Ujarnya, masalah penglihatan yang tidak diperbaiki boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak, mengganggu pembelajaran, dan mungkin juga membawa kepada kehilangan penglihatan.

“Penglihatan yang tidak jelas memberi impak yang besar kepada pendidikan dan kualiti hidup generasi muda.

“Justeru, melalui program ini, kami ingin menekankan bahawa pemeriksaan mata dan rundingan berkala oleh optometris yang bertauliah adalah sangat penting untuk mengesan masalah mata sebelum ia terjejas,” katanya.

Katanya, selain golongan HIV, The Eye Project juga membantu anak yatim, orang tua dan pelajar tahfiz bagi memastikan semua golongan mendapat hak sama rata dan seterusnya dapat menyebarkan kesedaran tentang kesihatan mata.