Mereka yang bujang pula memilih untuk melepak bersama teman-teman sehingga lewat pagi kerana kebanyakan restoran beroperasi selama 24 jam. Bukan lepak kosong, pastinya makanan seperti teh tarik dan roti canai menjadi pilihan sebagai ‘snek’ lewat malam.

Dengan corak pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat itu, maka tidak hairanlah Malaysia mencatatkan bilangan tertinggi penghidap obesiti dan kencing manis, bahkan Kementerian Kesihatan melaporkan 73 peratus kematian di hospital kerajaan ketika ini adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit (darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung).

Menurut Perunding Pakar Perubatan Klinik Pakar Cosmed, Datin Dr. S. Rajeswari, apa yang lebih membimbangkan masyarakat di negara ini mengambil mudah tentang tahap kesihatan mereka, sehinggakan jika disahkan menghidap sesuatu penyakit biasanya sudah pada tahap teruk dan sukar diubati.

“Sebenarnya, kesedaran tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat negara ini masih pada tahap rendah. Kebanyakan mengamalkan trend, bila sakit baru jumpa doktor, yang mana pendekatan seperti itu tidak betul dan perlu diubah.

“Kita sendiri tahu masyarakat kita kurang bersenam dan tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Sudahlah jarang bersenam, mereka juga suka makan makanan yang berlemak dan mempunyai kandungan gula yang tinggi.

“Apabila tahu mempunyai risiko-risiko seperti ini, adalah lebih baik jika kita menjalani pemeriksaan saringan kesihatan untuk mengenal pasti masalah-masalah yang boleh berlaku.

“Mencegah itu bukankah lebih baik daripada mengubati,” katanya ketika ditemui Mega Rona di kliniknya di Cheras, Selangor baru-baru ini.

Katanya, yang juga pakar estetik, pemeriksaan saringan kesihatan perlu dijalankan hanya setahun sekali sahaja dan jika doktor perubatan telah mengenal pasti adanya masalah kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali mereka perlu berjumpa doktor untuk mengetahui status kesihatan masing-masing.

Ujarnya, saringan kesihatan menjadi semakin penting kerana gaya hidup masyarakat kini menjadi faktor penyebab kepada penyakit seperti tidak menjaga pemakanan, tidak gemar bersenam, tabiat merokok dan sejarah keluarga.

Selain itu, beliau juga menyarankan individu yang dikenal pasti mempunyai masalah obesiti supaya berjumpa pakar, kerana masalah kegemukan boleh mengundang pelbagai penyakit kronik.

Menurutnya, kesedaran orang ramai terhadap bahaya obesiti masih rendah memandangkan berlaku peningkatan yang amat ketara dalam masalah berat badan.

“Penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah dan sakit jantung cukup sinonim dengan obesiti.

“Jika seseorang itu obes dan menganggap dirinya sihat, dia sebenarnya silap. Berat badan berlebihan sebenarnya adalah permulaan kepada penyakit kronik yang lain.

“Disebabkan itu, penting untuk kita atasi dahulu masalah kegemukan kerana daripada situ kita boleh mengatasi masalah-masalah lain. Bukan itu sahaja, obesiti juga akan menjejaskan penampilan kerana pada hari ini hampir semua orang menitikberatkan rupa paras fizikal.

“Suatu masa dahulu, golongan wanita sahaja yang sinonim dengan bidang kecantikan. Bagaimanapun, golongan lelaki juga kini tidak terkecuali untuk menghias diri.

“Gemuk bukan sekadar membuatkan kita sukar mencari pakaian yang sesuai, bahkan mudah dipandang rendah yang lama-kelamaan menghakis keyakinan diri seseorang,” katanya.

Di Cosmed’s, pihaknya menyedari bahawa mengekalkan kesihatan yang optimum dan menghalang penyakit adalah lebih penting kepada kesejahteraan fizikal dan mental pesakit daripada melakukan kawalan kerosakan apabila penyakit sudah mula menyerang.

Dengan menggabungkan pelbagai pemeriksaan kesihatan berkala, penyaringan dan penilaian risiko, dengan nasihat positif, proaktif dan nasihat gaya hidup, pihaknya akan membantu pesakit mencapai kesihatan optimum yang membolehkan mereka mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Menggunakan teknologi External Counterpulsation Therapy (ECCP) untuk membantu mengatasi masalah obesiti, ia mampu melancarkan peredaran darah seterusnya meningkatkan pengambilan glukosa dalam otot yang membantu mengurangkan kadar lemak di dalam badan.