Secara amnya, kebanyakan wanita tidak mempunyai simptom tertentu, malah tidak mengetahui menghidap ketumbuhan tersebut. Bagi wanita yang cuba untuk mendapatkan zuriat hanya menyedari mempunyai ketumbuhan, selepas dimaklumkan oleh doktor setelah melihatnya menerusi imbasan ultrabunyi (ultrasound).

Prakash Mayandi
Prakash Mayandi

Menurut Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr. Prakash Mayandi, ovarian cysta atau sista ovari adalah nama yang diberikan kepada sista atau kantung yang berisi lendir atau air yang berada di dalam kilang telur ovari.

Sebenarnya kandungan kantung ini akan memberi sedikit gambaran tentang sifat semula jadi sista tersebut.

“Pada awal kitaran haid, hormon akan merangsang folikel dalam ovari untuk membesar dan satu folikel akan mencapai saiz yang dominan (besar). Folikel yang dominan ini akan pecah dan melepaskan telur di mana fenomena ini diberi istilah ovulasi.

“Selepas telur dilepaskan, kantung yang pecah akan diisi dengan cecair atau darah yang membentuk sista ovari. Sista ini dapat dilihat dengan lebih jelas oleh doktor melalui imbasan ultrasound.

“Kebiasaannya sista ini akan hilang dalam masa dua hingga tiga bulan tanpa memerlukan sebarang rawatan,” katanya.

Kata Dr. Prakash, lazimnya, imbasan ini yang dilakukan oleh pakar dapat mengenal pasti ciri-ciri ketumbuhan dan pesakit mungkin terpaksa melalui proses pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut.

“Menerusi mikroskop, doktor patologi akan dapat melihat dan mengetahui jenis ketumbuhan berkenaan sama ada benar-benar berbahaya seperti barah (kanser) atau sebaliknya.

“Selain itu, sejarah perubatan pesakit, pemeriksaan fizikal dibantu dengan ujian darah dan imbasan ultrabunyi akan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai sifat semula jadi sista pesakit,” katanya.

Ujarnya, sista yang besar boleh membawa gejala-gejala seperti sakit perut, perut kembung, membuang air kecil lebih kerap dan kitaran haid tidak teratur serta pendarahan faraj yang luar biasa.

Apabila berbicara mengenai fibroid pula, Dr. Prakash memberitahu, ketumbuhan ini merupakan suatu bengkak pada dinding rahim dan kebarangkalian fibroid untuk menjadi kanser adalah kurang daripada satu peratus.

Secara purata, seorang daripada tiga wanita boleh mempunyai fibroid, bagaimanapun gejala yang dialami dan cara untuk merawat lebih bergantung pada saiz, kedudukan dan masalah yang diberikan oleh fibroid tersebut.

Saiz fibroid juga berbeza, dari sekecil beras ke sebesar bola keranjang.

Sering kali persoalan yang ditimbulkan oleh wanita ialah bolehkah mereka mengandung sekiranya mereka berhadapan dengan masalah ini.

Jawapannya, mereka masih boleh mengandung, dengan syarat ketumbuhan berkenaan tidak mengganggu lapisan endometrium.

Namun, jika fibroid itu terletak di dalam rahim (submucosal) ketumbuhan ini boleh menyebabkan masalah kesuburan dan perlu dibuang.

“Fibroid yang terletak di antara dinding rahim dan kurang daripada lima sentimeter (cm) boleh dipantau dan tidak memerlukan pembedahan.

“Fibroid yang terletak di dinding luar dan bersaiz besar mungkin perlu dibuang namun bergantung pada situasi pesakit tersebut.

“Wanita juga perlu tahu, sista dan fibroid boleh berlaku pada masa yang sama. Bagi sista, jika saiznya kurang daripada lima cm, prosedur pembedahan tidak perlu dilakukan.

“Sekiranya sista berpintal, pecah, pendarahan yang teruk dan berkuman yang boleh menyebabkan sakit yang kuat serta demam, pesakit seperti ini memerlukan pembedahan kecemasan,” katanya.

Jelas Dr. Prakash, jika individu itu mempunyai fibroid dan mempunyai gejala yang tidak begitu serius, dia hanya memerlukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Namun, sekiranya anda mempunyai fibroid dengan gejala yang sederhana atau teruk, pembedahan mungkin menjadi pilihan terbaik. Beberapa pilihan pembedahan yang perlu dipertimbang oleh pesakit ialah myomectomy iaitu pembedahan untuk membuang fibroid tanpa mengambil tisu rahim yang sihat.

“Ini adalah pilihan terbaik untuk wanita yang ingin mempunyai anak selepas rawatan fibroid. Wanita boleh hamil selepas rawatan ini.

“Jenis pembedahan pula bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi fibroid. Selepas myomectomy dilakukan, masih berkemungkinan fibroid akan tumbuh semula.

“Rawatan histerektomi pula merupakan pembedahan untuk membuang rahim. Pembedahan ini adalah satu-satunya cara untuk mengubati fibroid rahim.

“Pembedahan ini dilakukan sekiranya saiz fibroid yang besar, mempunyai pendarahan yang teruk dan tidak berhasrat untuk mempunyai anak lagi.

“Histerektomi biasanya selamat dan tidak mempunyai risiko besar atau komplikasi. Pemulihan daripada pembedahan ini biasanya mengambil masa beberapa minggu,” katanya.

Dia memberitahu, penyebab fibroid sebenar tidak dapat dipastikan, namun penyelidik berpendapat lebih dari satu faktor memainkan peranan penyebab ketumbuhan ini seperti tahap hormon estrogen dan progestron dalam tubuh mahupun faktor genetik.

Simptom

Kebanyakan wanita mengalami perubahan dalam corak pendarahan. Contohnya:

1Pendarahan haid yang banyak dan berketul atau beku.

2Kesukaran untuk membuang air kecil akibat saiz fibroid yang besar

3Perut kembung - Ada kalanya fibroid yang besar dapat dirasai pesakit sendiri pada rongga abdomen

4Sakit - Fibroid jarang menyebabkan sakit kecuali pada wanita yang sedang hamil.

Sekiranya wanita disahkan mempunyai sista atau fibroid, berikut adalah langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan:

1 Berbincang dengan doktor mengenai kebimbangan anda

2Cadangan rawatan yang bersesuaian dengan sista atau fibroid

3Anda juga boleh meminta pendapat kedua untuk kepastian

4Berapa banyak sista / fibroid yang ada?

5 Apakah saiz fibroid?

6Di mana fibroid itu terletak (permukaan luar, permukaan dalaman, atau dalam dinding rahim)?

7Bolehkah fibroid itu menjadi lebih besar?

8Apakah ujian atau pengimejan yang terbaik untuk mengesan pertumbuhan fibroid?

9Apakah pilihan rawatan untuk fibroid?

10 Adakah pembedahan merawat fibroid 
dengan histerektomi 
lebih baik berbanding dengan rawatan lain?

Penyelidik berpendapat lebih dari satu faktor memainkan peranan menyebabkan fibroid terjadi seperti hormon (tahap estrogen dan progesteron) dan genetik (keluarga). Namun begitu, proses atau penyebab yang sebenarnya tidak dapat dipastikan.Kebanyakan fibroid tumbuh di dinding rahim. Ia boleh dibahagikan kepada empat kumpulan utama iaitu:

* fibroid submucosal berkembang di dalam rongga rahim

* fibroid intramural berkembang di antara dinding rahim

* fibroid subserosal tumbuh di luar dinding rahim

* pedunculated fibroid jenis fibroid yang bertangkai dan terlekat pada luar rahim

Faktor umur 

Seorang wanita yang berumur lebih daripada 40 tahun dan wanita yang telah putus haid kerana golongan ini mempunyai risiko kanser yang lebih tinggi.

Ketidaksuburan

Seorang wanita yang tidak pernah mengandung mempunyai risiko lebih tinggi untuk kanser ovari berbanding seorang wanita yang pernah melahirkan serta menyusukan anaknya.

Keturunan (genetik) 

Jika salah seorang ahli keluarga menghidap kanser payudara atau ovari, risiko untuk mendapat kanser adalah lebih tinggi kerana berhubung kait mutasi gen BRCA1.

obesiti 

Seorang wanita yang obes juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser. Ini disebabkan gangguan hormon yang dialami wanita tersebut.