Dianggarkan lebih 50 peratus lelaki yang berusia lebih 50 tahun, mengalami masalah ini.

Ramai juga percaya bahawa masalah pembuangan air kecil yang dikaitkan dengan BPH adalah sebahagian daripada proses penuaan. Ini menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan perubatan.

BPH ialah keadaan di mana berlaku pembesaran prostat, iaitu kelenjar bersaiz kacang walnut yang berfungsi menghasilkan bendalir yang membawa sperma.

Sememangnya kelenjar prosta semakin membesar apabila usia semakin lanjut, perubahan yang boleh dikaitkan dengan perubahan paras hormon.

Namun, apabila menilai prostat, saiz yang lebih besar bukan bermakna lebih baik.

Prostat yang lebih besar boleh memampatkan uretra dan secara beransur-ansur menghalang uretra, lantas menyekat laluan air kencing yang disimpan di dalam pundi kencing.

Walaupun ketumbuhan adalah bersifat benigna atau tidak berbahaya, iaitu bukan kanser atau boleh membawa maut, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan kesakitan kepada penghidapnya.

Nokturia (keperluan untuk membuang air kecil dua kali atau lebih setiap malam), inkontinen (kebocoran air kencing), aliran air kencing yang lemah atau menyakitkan, dan darah dalam air kencing adalah antara gejala saluran kencing (luts) yang memudaratkan dan dialami ramai penghidap BPH.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia, Datuk Dr. S. Selvalingam berkata, kajian menunjukkan golongan lelaki keberatan untuk mendapatkan bantuan perubatan selepas timbul gejala BPH dengan harapan bahawa masalah tersebut akan lenyap.

Katanya, kecenderungan ini dikenal pasti sebagai sebab utama mereka melengahkan kunjungan ke klinik untuk berjumpa doktor.

“BPH ialah sejenis penyakit progresif. Pada peringkat awal, gejala tersebut mungkin menimbulkan ketidakselesaan dan gangguan kecil, tetapi boleh mengakibatkan kerumitan yang serius untuk jangka masa panjang.

“Jika dibiarkan tanpa rawatan, uretra mungkin menjadi tersekat sepenuhnya, keadaan yang juga dikenali sebagai pembendungan kencing akut.

“Ini boleh menyebabkan pesakit mengalami risiko kerosakan buah pinggang, jangkitan salur kencing dan batu pundi sambil menjejaskan kualiti hidup penghidap dengan ketara.

“Lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas, mempunyai sejarah BPH dalam keluarga, serta menghidap masalah perubatan sedia ada seperti obesiti, sakit jantung dan penyakit peredaran darah, diabetes jenis 2 atau lelaki yang tidak bersenam, semuanya mengalami risiko BPH lebih tinggi.

“Dengan menyediakan alat yang diperlukan untuk membuat diagnosis tepat menerusi program pemeriksaan yang kami anjurkan, kami boleh membantu pesakit dari segi penjagaan kesihatan dan kaedah menangani BPH secara proaktif dan profesional,” ujarnya.

Menurut Dr. Selvalingam, kajian juga mendapati bahawa doktor lazimnya tidak sedar bahawa kaum lelaki mungkin malu untuk membincangkan keadaan mereka.

Ini menunjukkan bahawa wujud keperluan untuk membincangkan topik BPH secara proaktif antara pakar kesihatan dan penghidapnya.

Inisiatif pendidikan Blue Cap Moment

Bagi menjawab segala kemusykilan mengenai Hiperplasia Prostatik Benigna (BPH) serta menggalakkan lebih ramai individu yang berisiko tinggi menjalani pemeriksaan, Persatuan Urologi Malaysia (MUA) dengan kerjasama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) Sdn Bhd, telah melancarkan satu siri inisiatif pendidikan dipanggil Blue Cap Moment.

Siri inisiatif pendidikan ini, ditujukan bukan sahaja kepada orang awam bahkan golongan profesional penjagaan kesihatan bagi menekankan bahawa apabila menilai prostat, lebih besar bukan bermakna lebih baik.

Pengarah Unit Perniagaan, Produk Klasik dan Mapan, GSK Pharmaceutical Sdn Bhd, B. Ramesh berkata, apabila menghadapi masalah seperti BPH, yang mungkin membuatkan lelaki berasa malu untuk membincangkannya, perlu dicari pendekatan baharu bagi menangani masalah kesihatan tersebut.

“Kami mahu merintis jalan dalam bidang kesihatan lelaki dan memulakan perbincangan pada peringkat nasional tentang BPH dan mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan gejalanya.

“BPH merupakan masalah sejagat yang meluas dengan 612 juta kes dijangka berlaku di seluruh dunia menjelang 2018.

“Lazimnya penyakit ini kian meningkat apabila lelaki semakin tua dengan anggaran kira-kira 50 peratus untuk lelaki berusia antara 51 dan 60 tahun dan risiko meningkat sehingga 90 peratus bagi lelaki berusia lebih 80 tahun,” ujarnya.

Kata Ramesh, dengan tahap kelaziman yang tinggi, masyarakat tidak sedar akan masalah ini dengan gejalanya diabaikan sebagai satu tanda penuaan yang tidak boleh dielakkan.

Bagi menangani masalah ini, tindakan pertama yang diambil melalui inisiatif oleh GSK-MUA ini ialah dengan penyediaan kemudahan pemeriksaan penyakit.

BPH boleh dikesan dan didiagnos dengan menggunakan meter uroflo, alat yang mengukur jumlah air kencing dalam aliran kencing pesakit dan kelajuan pembuangan air kecil.

Inisiatif tersebut juga membabitkan usaha mengedarkan dan menempatkan 12 peranti di klinik-klinik yang tidak mempunyai akses kepada peralatan tersebut, dengan sokongan sebuah agensi kejururawatan tempatan bagi melatih pengguna.

Klinik yang tiada kemudahan meter uroflo boleh memohon untuk program pemeriksaan tahunan menerusi laman sesawang MUA dan program ini boleh digunakan untuk mengenal pasti penghidap BPH dan membantu mencegah penularan penyakit.

Inisiatif GSK-MUA itu juga, akan menawarkan latihan perubatan dalam talian untuk melengkapkan pakar-pakar perubatan dalam pengurusan penyakit dan memberikan sokongan lebih kukuh kepada pesakit.

Kursus ini akan merangkumi beberapa topik dari anatomi kepada pelbagai pilihan rawatan yang terdapat di dalam negara.