Pada mulanya dia menganggap sekadar sakit biasa sahaja. Bagaimanapun bagi menyedapkan hati, dia telah berjumpa doktor dan setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati terdapat ketulan kecil pada payudara kirinya.

Biopsi dilakukan dan ketulan tersebut rupa-rupanya adalah kanser namun kanser tersebut berada pada tahap kosong. Pembedahan dilakukan bagi membuang ketulan tersebut.

Setiap tiga bulan selama empat tahun Sarina berjumpa dengan doktor onkologinya di Institut Kanser, Hospital Pantai Kuala Lumpur, iaitu Dr. John Low.

Tahun demi tahun dilalui dengan penuh debaran.

Memasuki tahun kelima, ibu kepada dua orang cahaya mata, Zahra Syakirah, 11, dan Zarif Syah, 8, itu boleh berasa lega sedikit kerana apa yang diketahuinya, jika berjaya mencapai tempoh lima tahun, kansernya berkemungkinan sudah sembuh.

Sehinggalah satu hari Sarina terjatuh di bilik air. Dia tidak boleh berjalan. Suami, Zairul Hisham Zubir, 43, telah membawanya ke hospital.

Setelah pemeriksaan imbasan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) dilakukan, sel kansernya dilihat sangat aktif. Setelah pemeriksaan selanjutnya dilakukan, terdapat satu lagi ketulan pada payudara kirinya dan kali ini sel kanser tersebut telah merebak pada hati, tulang belakang dan tulang pinggul.

Paling menyedihkan katanya, kansernya telah berada pada tahap empat.

Sarina tertanya-tanya mengapa sel kanser tersebut merebak terlalu cepat sedangkan dia telah menjalani semua rawatan yang diminta oleh doktor.

“Saya benar-benar berasa terpukul dan sedih. Daripada tahap kosong, kanser ini terus ke tahap empat. Semua orang tahu jika sudah ke tahap empat apa yang akan berlaku seterusnya ke atas pesakit tersebut . Kanser pada apa-apa tahap pun tiada siapa yang suka.

“Waktu itu terbayang anak-anak yang masih kecil. Perasaan sedih memang tidak dapat hendak diceritakan. Saya seperti hilang harapan dan hampir putus asas.

“Namun apabila melihat wajah anak-anak, saya terus bangkit dan berkata pada diri sendiri bahawa saya harus kuat melawan penyakit ini kerana saya mahu melihat anak-anak membesar.

“Sesuatu yang sangat mengecewakan apabila mendapat tahu bahawa anda menghidap kanser payudara metastatik (MBC).

“Dunia seakan-akan terhenti dan anda mula memikirkan keluarga dan kawan-kawan. Setiap saat dapat meluangkan masa bersama yang tersayang merupakan sesuatu yang menggembirakan dan amat saya hargai.

“Menikmati kehidupan yang berkualiti membuatkan saya terlupa akan kesakitan yang saya alami, perasaan tidak selesa atau berasa membebankan keluarga,” katanya ditemui pada majlis taklimat media mengenai Palbociclib untuk penghidap kanser MBC, di ibu negara baru-baru ini.

Menurut Sarina, doktor juga terkejut kerana kanser merebak dengan cepat, namun yakin pasti ada ubat bagi merawat kansernya.

Pada mulanya dia yang bertugas sebagai jurutera, menyangka perlu menjalani rawatan kemoterapi. Sebenarnya, kalau ada pilihan lain, dia tidak mahukan rawatan itu kerana cukup tidak suka pada jarum.

Dia kemudian telah menjalani pembedahan membuang ovari kerana dengan cara ini dapat mengurangkan hormon estrogen.

Setelah itu dia menjalani semua rawatan yang diperlukan seperti radioterapi dan sebagainya.

Kini, sudah empat bulan dia menjalani rawatan terbaharu, Palbociclib dan bersyukur kerana bacaan kansernya mula menurun.

Apa yang penting baginya ialah meneruskan kehidupan, perlu kuat, positif dan reda dengan ketentuan Tuhan.

Jangan panik, dapatkan rawatan

Sebagai penghidap kanser payudara metastatik (MBC), Datuk Tunku Mukminah Jiwa, 84, berasa amat bimbang apabila selepas didiagnos pada Oktober 2014, kansernya telah merebak ke paru-paru dan tulang belakang.

“Saya masih teringat lagi bagaimana saya cukup bimbang apa yang akan terjadi seterusnya dan bagaimana penerimaan keluarga saya.

“Ramai wanita penghidap kanser menghadapi situasi ini dan saya ingin berkongsi pengalaman saya supaya dapat meyakinkan orang lain bahawa masih ada harapan.

“Nasihat saya, jangan takut dengan kanser kerana pada masa sekarang ia telah menjadi perkara biasa.

“Apabila anda mendapat tahu mempunyai kanser, jangan panik, dapatkan rawatan doktor, jangan lupa makan ubat, bersabar dan terimanya sebagai ketentuan Tuhan.

“Setakat ini saya menjalani kehidupan dengan baik. Saya tidak berasa seperti berumur 84 tahun dan semangat saya semakin kuat. Kepada penghidap kanser, kehidupan mesti diteruskan dan jangan bersedih,” katanya yang telah mempunyai beberapa orang cicit.

Tambahnya, dia mahu berkongsi pengalaman kerana tidak mahu pesakit kanser asyik memikirkan tarikh kematian sahaja.

Katanya, hilangkan kerisauan dan banyak berdoa, bersolat, mengisi masa dengan membaca buku dan berjumpa kawan-kawan.

Setiap tahun, kira-kira 5,000 wanita di negara ini yang berumur di antara 30 hingga 60 tahun didiagnos menghidap kanser payudara.

Ini bermakna, satu dalam 19 wanita di Malaysia dikhuatiri akan mendapat kanser payudara dalam hidup mereka.

Mengikut pecahan kaum pula, wanita Cina mencatat angka paling tinggi, diikuti dengan India dan Melayu.

Perkembangan mengenai penyakit ini diketahui melalui tahap, saiz tumor dan jika kanser telah merebak.

Lebih membimbangkan, sekitar 18 peratus penghidap kanser payudara di Malaysia merupakan pesakit kanser payudara tahap empat.

Melewatkan konsultasi dan diagnos, persepsi negatif mengenai kanser payudara dan rawatannya, serta kurang pengetahuan, menyebabkan ramai pesakit tidak mendapat rawatan awal.

Kanser payudara merebak apabila kanser sel daripada tumor asal pada payudara telah merebak ke sistem limfa. Mengandungi nodus limfa dan saluran limfa, limfa mengandungi cecair tisu, bahan buangan dan sel sistem imun.

Sel kanser payudara dapat melalui sistem limfatik melalui saluran limfa dan mula merebak pada nodus limfa.

Faktor menyebabkan kanser payudara termasuk kanser payudara metastatik (MBC), ialah berumur lebih 55 tahun, pernah menghidap kanser, sejarah keluarga dan mutasi genetik seperti BRCA1 dan BRCA2.

Menurut Konsultan Onkologi di Institut Kanser, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. John Low, rawatan MBC bergantung kepada beberapa faktor seperti di mana kanser tersebut telah merebak, keadaan keseluruhan kesihatan pesakit, tahap hormon dan HER2 di dalam tumor.

Bergantung kepada faktor-faktor ini, doktor akan mencadangkan sama ada pesakit tersebut perlu menjalani rawatan sama ada terapi hormon, kemoterapi, terapi sasaran biologik, pembedahan payudara atau terapi sasaran.

Semua rawatan ini akan sama ada mengecutkan kanser atau melambatkan merebak.

“Tujuan utama bagi merawat MBC ialah supaya pesakit dapat bertahan lebih lama dan menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

“Di Malaysia, Palbociclib bersama Letrozole adalah rawatan yang diiktiraf bagi ER+, HER2-. Ini memberikan pilihan terbaru bagi pesakit-pesakit MBC.

“Pesakit MBC adalah komuniti yang sangat memerlukan bantuan klinikal terkini bagi rawatan mereka. Terapi onkologi inovatif terbaharu ini sangat penting bagi mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mastura Md Yusof, yang juga konsultan onkologi di hospital yang sama menambah, kesedaran umum mengenai MBC adalah sangat penting.

Katanya, di Malaysia MBC biasanya jarang diperkatakan, sedangkan 18 peratus wanita yang menghidap kanser payudara di negara ini, adalah penghidap kanser payudara tahap empat.

“Usaha yang dilakukan bagi menggalakkan pengesanan awal adalah sangat baik dan memberikan rawatan terbaik kepada mereka.

“Bagaimanapun, masih terdapat jurang antara pengalaman pesakit dan persepsi masyarakat dan ini yang harus dielakkan.

“Saya percaya masih terdapat ruang bagi kesedaran yang lebih meluas dan sokongan kepada pesakit yang dikesan menghidap MBC,” ujarnya.