JAWAPAN:

Hepatitis bermaksud radang pada hati. Hepatitis terbahagi kepada beberapa jenis. Hepatitis B disebabkan jangkitan virus. Ia dijangkitkan daripada seorang individu kepada individu lain melalui cairan badan seperti darah, air liur, air mani atau rembesan faraj. Sistem imun atau daya ketahanan badan seseorang itu sendiri boleh melindungi daripada hepatitis B. 90 peratus daripada orang dewasa yang sihat berupaya melawan jangkitan hepatitis B dalam masa enam bulan walaupun tanpa rawatan.

Namun, kira-kira lima peratus daripada mereka yang dijangkiti hepatitis B tidak dapat melawan jangkitan dan terus membawa virus ini dalam badan mereka. Keadaan ini dipanggil hepatitis kronik atau hepatitis berterusan. Hepatitis kronik boleh merosakkan hati anda. Dalam sesetengah kes, hepatitis kronik boleh menyebabkan penyakit hati (cirrhosis), malah barah hati.

Simptom-simptom hepatitis B boleh datang dan pergi termasuk simptom-simptom seolah-olah demam selesema seperti keletihan dan sakit-sakit badan, sakit perut, loya, muntah, cirit-birit dan hilang selera makan. Jika anda menghidap hepatitis B, anda mungkin mengalami jaundis iaitu kulit dan mata putih anda menjadi kuning. Satu lagi simptom jaundis ialah air kencing yang berwarna gelap dan najis yang pucat warnanya.

Rawatan

Pakar tidak begitu pasti mengenai rawatan yang terbaik. Ini kerana, tidak ada banyak bukti mengenai rawatan apakah yang paling selamat bagi wanita hamil.

Anda mungkin tidak akan menerima rawatan berbentuk ubat-ubatan atau dadah kerana ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan. Cara terbaik yang boleh anda lakukan ialah banyak berehat, jaga pemakanan anda dan tidak meminum alkohol.

Sejenis ubat yang dinamakan lamivudine dikatakan boleh mengurangkan risiko jangkitan hepatitis daripada ibu kepada bayi. Namun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk memastikan keberkesanannya. Ubat ini biasanya tidak akan diberi kepada wanita hamil dan ia hanya diberi dalam kes-kes tertentu sahaja.

Ubat-ubatan lain kadangkala digunakan untuk merawat hepatitis B. Ubat-ubatan in mempunyai kesan sampingan yang serupa dengan lamivudine. Jika anda memerlukan ubat-ubatan untuk merawat hepatitis B, anda perlu berjumpa dengan doktor pakar yang boleh menerangkan kepada anda tentang kebaikan dan keburukan mengambil ubat-ubatan tersebut.

Kesan ke atas bayi

Kemungkinan besar, kehamilan dan kelahiran bayi anda akan berjalan dengan lancar. Walau bagaimanapun, hepatitis B kadangkala turut menyebabkan komplikasi dalam kehamilan. Jika anda menghidap hepatitis B, anda dikhuatiri lebih berisiko mengalami yang berikut, iaitu pelahiran pramatang, melahirkan bayi yang kecil, mendapat diabetes gestasi dan mungkin mengalami pendarahan yang teruk pada hujung kehamilan.

Jika anda mendapat hepatitis B semasa hamil, jangkitan ini boleh muncul semula selepas anda bersalin.

Ada kemungkinan anda akan menjangkitkan virus ini kepada bayi anda. Ini boleh berlaku semasa bayi masih dalam rahim atau semasa anda bersalin.

Anda boleh melahirkan secara normal. Pembedahan caesarean tidak mengurangkan kemungkinan bayi anda dijangkiti hepatitis B.

Namun, bayi anda boleh dilindungi daripada hepatitis B sebaik-baik sahaja dia dilahirkan. Dia akan menerima imunisasi vaksin hepatitis B. Dalam sesetengah kes, jika bayi anda dilahirkan awal, dia mungkin akan diberi suntikan yang dipanggil imunoglobulin hepatitis B berserta vaksin.

Rawatan menggunakan imunisasi ini sangat berkesan untuk anda memastikan bayi anda menerima semua vaksinasi pada masa yang ditetapkan. Jika bayi anda dilahirkan dengan jangkitan hepatitis B dan dia tidak diberi imunisasi, ada kemungkinan dia akan menghidap hepatitis kronik. Tanpa rawatan, sembilan daripada 10 bayi yang dijangkiti virus ini daripada ibu mereka akan menghidap hepatitis kronik.

Anda sebenarnya selamat menyusukan bayi walaupun anda menghidap hepatitis B jika dia menerima vaksin yang diperlukan. Pastikan bayi anda melekap dengan betul untuk mengelakkan puting anda merekah atau berdarah. Jika puting anda berdarah, kemungkinan besar bayi anda akan mendapat hepatitis B daripada anda.