Dr. Ashari Yunus
Dr. Ashari Yunus

Kadangkala Mai sesak nafas dan sakit dada terutama apabila banyak berjalan dan mengangkat barang berat. Ada masanya Mai batuk dan batuknya berdarah dan kakinya juga sering bengkak.

Memandangkan keadaannya yang sering keletihan, Mai pergi ke klinik untuk pemeriksaan. Setelah beberapa kali berjumpa doktor tetapi penyakitnya tidak berkurangan atau sembuh sehingga kesnya dirujuk ke Hospital Ampang, Selangor dan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Setelah menjalani beberapa jenis pemeriksaan, Mai disahkan menghidap tekanan darah tinggi dalam salur darah paru-paru atau hipertensi pulmonari. Nasib menyebelahi Mai kerana panyakit ini amat jarang dikesan. Kini selepas empat tahun dengan rawatan dan ubat yang diberikan keadaan Mai semakin sihat.

Pakar Perunding Respiratori Hipertensi Pulmonari dan Transplan Paru-paru, Hospital Ampang, Selangor, Dr. Ashari Yunus berkata, pulmonari hipertensi ialah satu penyakit di salur darah paru-paru di mana tekanan darahnya adalah tinggi melebihi daripada 25 mmHg.

“Penyakit Hipertensi Pulmonari boleh diklasifikasikan kepada lima kumpulan utama iaitu Kumpulan 1 hingga Kumpulan 5. Tetapi kali ini saya hanya membincangkan mengenai Kumpulan 1 yang menyerang wanita pada usia muda antara 20 hingga 40 tahun dan ada juga terdapat kes di mana pesakit lebih muda,” katanya semasa ditemui di Hospital Ampang, Selangor baru-baru ini.

Kumpulan 1 hipertensi pulmonari atau lebih dikenali sebagai Hipertensi Pulmonari Arterial boleh dibahagikan lagi kepada beberapa kumpulan kecil. Kumpulan yang banyak dibuat kajian ialah iPAH iaitu kumpulan hipertensi pulmonari arterial yang tidak tahu penyebabnya.

“Satu kumpulan lagi ialah HPAH iaitu kumpulan hipertensi pulmonari arterial yang ada kaitan dengan genetik atau keturunan. Kedua-dua kumpulan kecil ini banyak berlaku kepada pesakit-pesakit muda yang berumur di antara 20 hingga 40 tahun terutamanya pada wanita.

“Kumpulan penyakit ini jarang berlaku tetapi boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan betul. Insidennya ialah sekitar tiga hingga tujuh pesakit bagi satu juta populasi dan jika tersebar luas adalah lima hingga 52 pesakit bagi satu juta populasi,” katanya.

Dr. Ashari berkata, penyakit hipertensi pulmonari arterial terjadi disebabkan penyempitan pada salur darah di paru-paru akibat daripada tindak balas faktor genetik pesakit kepada beberapa faktor luaran.

“Penyempitan salur darah ini menyebabkan peningkatan tekanan darah tinggi di paru-paru dan seterusnya pengaliran darah ke paru-paru tidak mencukupi. Sehubungan dengan itu pertukaran oksigen di paru-paru adalah kurang dan seterusnya mengakibatkan oksigen dalam sistem darah rendah.

“Akibat daripada mekanisma ini seseorang pesakit hipertensi pulmonari arterial berasa sesak nafas yang berterusan terutama bila berjalan atau menaiki tangga. Selain daripada itu simptom lain adalah seperti batuk berdarah, sakit dada dan pengsan,” katanya.

Dr. Ashari menambah, tidak seperti penyakit hipertensi sistemik iaitu penyakit darah tinggi biasa di mana kita menggunakan alat mengukur tekanan darah di lengan, penyakit darah tinggi di dalam salur darah paru-paru diukur menggunakan wayar khas yang dilakukan di makmal khusus. Ia dilakukan dengan memasukkan wayar khas ini ke salur darah leher kanan pesakit kemudian ke jantung kanan dan seterusnya ke dalam salur darah paru-paru.

“Apabila seseorang pesakit disyaki menghidap penyakit hipertensi pulmonari beberapa ujian penyiasatan perlu dilakukan seperti pengambilan darah, x-ray dada, ECG dan ECHO. Seterusnya ujian khusus untuk menentukan tahap tekanan darah tinggi di paru-paru sebelum diberi rawatan mengikut keperluan pesakit,” katanya.

Dr. Ashari berkata, jika beberapa dekad yang lalu penyakit hipertensi pulmonari adalah bukan sahaja sukar didiagnosis malah sukar dirawat dan hanya menunggu kematian sahaja.

Walau bagaimanapun keadaan berubah pada masa kini kerana terdapat beberapa jenis ubat di pasaran yang boleh mengawal penyakit hipertensi pulmonari dengan baik. Mengikut kajian jika pesakit tidak dirawat dengan cara yang betul jangka hayatnya adalah kira-kira 2.6 tahun tetapi dengan pengambilan ubat jangka hayat akan bertambah dan simptomnya akan berkurangan.

“Ubat-ubat untuk rawatan penyakit hipertensi pulmonari yang berada di pasaran masih lagi mahal dan memerlukan pembiayaan kos rawatan yang tinggi.

"Saya berharap pada suatu masa nanti kos rawatan untuk penyakit ini akan turun dan dengan itu pesakit akan bertambah baik. Jika pesakit tidak ada tindak balas dengan ubatan pesakit akan dicadangkan untuk disenaraikan dalam pemindahan paru-paru (transplan paru-paru),” katanya.

Dr. Ashari berkata, pesakit hipertensi pulmonari perlu berbincang dengan doktor sebelum melakukan sebarang aktiviti lasak termasuk mendirikan rumah tangga kerana kaum wanita berdepan dengan pelbagai risiko semasa hamil dan ketika bersalin.

“Biasanya kami akan memantau pesakit dari semasa ke semasa bagi melihat keadaan mereka sama ada memerlukan lebih banyak ubat, mengurangkan ubat atau sebagainya,” katanya yang melahirkan keperluan untuk negara mempunyai sebuah pusat pesakit pulmonari hipertensi.