Pengarah Pusat Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) yang juga Pakar Runding Psikitris Pusat Pakar Universiti Malaya Sdn. Bhd., (UMSC), Dr. Rusdi Abd Rashid berkata, ATS adalah antara dadah popular selain opiat dan kanabis.

ATS adalah dadah yang biasa dipanggil ais dalam bahasa jalanan. Dadah ini juga dikenali dengan nama lain seperti Syabu, Kristal, Meth dan Batu. Semua ini dikategorikan sebagai ubat terlarang dan haram. Dadah merupakan ubat perangsang yang mampu merangsang sistem saraf dan tubuh badan.

“Dadah ATS boleh didapati dalam bentuk jernih dan kelihatan seperti cip ais dan didapati dalam bentuk serbuk putih atau kapsul. Penagih ATS biasanya mengambilnya dengan cara menyedut melalui hidung, merokok dan suntikan,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dadah ATS juga boleh didapati dalam beberapa bentuk seperti serbuk dan kapsul pelbagai warna serta kristal atau ais. Dadah ini bertindak ke atas sistem saraf otak dengan meningkatkan penghantaran maklumat yang disampaikan oleh otak kepada organ badan.

“Dadah ini berpotensi membuatkan seseorang bertenaga, berkeyakinan dengan perasaan bersifat positif seperti cinta, kasih sayang dan kegembiraan. Dadah kumpulan ini biasa digunakan oleh mereka yang ingin menari dan berpesta semalaman.

“Penggunaannya mengakibatkan aktiviti meningkat, kurang selera makan, tekanan darah dan kadar pernafasan meningkat, sakit kepala, kurang mengantuk, mulut kering, berpeluh, kurang imbangan badan dan penglihatan kabur. Manakala pengambilan dadah ATS berlebihan boleh mengakibatkan kejangan otot, serangan jantung, koma dan kematian.

“Misalnya kematian enam orang penonton konsert di Bukit Jalil pada tahun 2014 di bawah pengaruh dadah ATS yang menyebabkan mereka mengalami dehidrasi tanpa sedar sehingga mengakibatkan kegagalan jantung,” katanya.

Prestasi

Dr. Rusdi berkata, penagih biasanya mengambil dadah ATS untuk gembira dan dikata sebagai ‘high’ dan diambil semasa berpesta. Mereka di bawah pengaruh ATS boleh menari tanpa letih.

“Pelajar mengambil dadah ini untuk berjaga malam dan fokus kepada pelajaran kerana boleh memberi kesan peningkatan kepada tumpuan dan fokus untuk tekun belajar terutama menjelang peperiksaan,

“Pekerja buruh, pemandu lori atau bas mengambil ATS untuk meningkatkan prestasi supaya boleh bekerja lebih masa tetapi terdapat juga golongan profesional yang mengambilnya,“ katanya.

Selain itu jelas Dr. Rusdi, mereka yang gemar melakukan perkara yang boleh mendatangkan bahaya seperti aksi lagak ngeri seperti mat rempit. Manakala kebanyakan remaja mengambil ATS kerana ajakan rakan.

“Dadah ini juga biasa diambil oleh golongan homoseksual terutama gay bagi meningkatkan prestasi seksual tetapi golongan ini sukar dikesan.

“Golongan wanita biasanya mengambil ATS untuk mengurangkan berat badan tetapi kesan sampingan akibat penggunaan berterusan dan tidak terkawal boleh menyebabkan masalah pundi kencing mengecut dan tidak boleh mengawal pembuangan air kecil sehingga pundi kencing terpaksa dibuang dan digantikan dengan beg plastik di luar,” katanya.

Dr. Rusdi berkata, penggunaan ATS berterusan boleh menyebabkan sukar tidur, tertekan, tekanan darah meningkat, denyutan jantung tidak teratur, insomnia, kerosakan buah pinggang, hati dan otak, khayalan, hidup tidak teratur, perubahan tingkah laku dan kurus.

“Antara kesan sampingan yang akan dihadapi oleh penagih ATS adalah khayal dan ketagihan. Jika mereka mengambil sekali-sekala kesannya hanya beberapa hari, tetapi untuk pengguna tegar mungkin berpanjangan selama seminggu atau sebulan.

“Antara simptomnya termasuk tekanan, kemurungan, keletihan, pertambahan nafsu makan, tingkah laku agresif, mudah gelisah dan mempunyai keinginan atau cubaan membunuh diri.” katanya.

Dos berlebihan

Dos berlebihan boleh mengancam nyawa dan selalu terjadi kepada penagih baru atau penagih tegar dan dapat dikesan dengan peningkatan kadar denyutan jantung, serangan jantung atau jantung berhenti sendiri, peningkatan tekanan darah, sawan, koma, dehidrasi dan boleh mengakibatkan kematian.

“Penagih juga boleh mendapat penyakit kelamin atau jangkitan bawaan darah seperti HIV, Hepatitis B dan C melalui hubungan seks dan perkongsian jarum. Penagih ATS memerlukan kos tinggi menyebabkan mereka terlibat dalam jenayah,” katanya.

Penagih ATS tegar berpanjangan boleh mengalami kerosakan otak. Dadah ATS mengubah sel otak dan kesannya boleh dikenal pasti selepas penggunaan jangka panjang. Penggunaan kronik boleh mengakibatkan keadaan seperti gila yang dipanggil psikosis yang amat susah diubati.

Penagih psikosis mempunyai:

1. Halusinasi - Salah anggap dengan apa yang dilihat, didengar atau difikirkan. Pesakit berasa seperti ada sesuatu merayap di bawah kulit sehingga mereka menggaru atau mengopek kulitnya.

2. Delusi adalah kepercayaan palsu yang tidak boleh disangkal. Contohnya percaya dia memiliki kuasa istimewa atau ada orang ingin membunuhnya.

3. Obses – Melakukan kelakuan atau kesalahan sama berulang kali.

4. Paranoid – Curiga kuat dengan orang sekeliling.

Rawatan

Dr. Rusdi berkata, penagih tegar ATS perlu dirawat di hospital kerana mereka terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti HIV, AIDS, batuk kering, hepatitis selain mengalami psikosis yang menyebabkan mereka berkelakuan ganas. Pada peringkat ini penagih tidak memerlukan kaunseling tetapi rawatan psikitris.

“Kini terdapat banyak ubatan dan rawatan bagi membantu penagih sembuh dan melupakan dadah. Bagi mengawal perebakan penyakit berjangkit seperti HIV, AIDS dengan edaran kondom dan penggantian jarum. Konsep penggantian jarum dapat mengurangkan HIV AIDS kerana penagih diberi kaunseling apabila mereka menukar jarum suntikan,” katanya.

Selain itu jelas Dr. Rusdi, penagih yang mahu berhenti perlu diberi peluang mendapatkan rawatan seperti di klinik C&C 1Malaysia dan klinik swasta lain yang terbuka kepada sesiapa yang mempunyai masalah dadah.

“Perkhidmatan pesakit luar merangkum detoksifikasi menggunakan ubatan, kaunseling dan bimbingan agama serta spiritual, pendidikan, kemahiran hidup, rawatan terapi gantian, kelompok sokong bantu.

“Penagih boleh datang secara sukarela untuk menjalani program rawatan serta pemulihan dadah dan tidak terikat dengan implikasi undang-undang,” katanya.

Dr. Rusdi berkata, penagih boleh dirawat dalam komuniti dengan sokongan dan galakan keluarga terdekat serta terus bekerja dan menyumbang kepada produktiviti negara.