Ada masa-masa tertentu jarinya seperti membengkok dan sukar hendak memotong bawang atau buah-buahan.

Dia juga berjumpa doktor mengenai kesakitan yang dialami pada lutut hingga terpaksa menggunakan tongkat semasa berjalan.

Hilang rasa malu kerana pada usia yang masih muda, iaitu dalam 40-an, dia sudah seperti orang tua yang terpaksa menggunakan tongkat bagi membolehkan dia bergerak ke sana sini.

Doktor yang merawatnya mengesahkan dia menghidap artritis.

Walaupun penyakit itu biasanya dialami oleh mereka yang berumur 65 tahun ke atas, namun bukan mustahil wanita yang lebih muda akan mengalaminya.

Dia mencari maklumat mengenai artritis melalui Internet bagi mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit tersebut.

Walaupun penyakit ini nampak ringan pada pandangan orang berbanding penyakit-penyakit kronik lain, hanya yang mengalami sahaja yang memahami penderitaan mereka.

Artritis adalah sejenis penyakit sendi yang menyebabkan rasa sakit, kaku, bengkak dan kemerahan pada bahagian yang dihidapi. Rasa sakit ini boleh dirasai di mana sahaja sendi seperti di lutut, belakang, bahu dan sebagainya.

Terdapat 10 jenis artritis yang diketahui, bagaimanapun lima jenis yang paling biasa dihidapi masyarakat seluruh dunia, iaitu osteoartritis (OA) yang membabitkan 27 juta pesakit; fibromyalgia (5 juta); gout (3 juta); artritis rheumatoid (1.5 juta); dan lupus (320,000 orang).

Antara simptom yang akan dialami penghidap artritis ialah sendi berasa kejang dan kaku apabila bangun pagi. Ini dialami selama lebih kurang 30 minit. Sendi akan nampak membengkak terutamanya pada sendi tangan.

Bagi artritis rheumatoid (RA) sendi yang terlibat akan berasa sakit apabila dipicit. Seramai 1.3 juta orang dewasa di Amerika Syarikat menghidap RA.

Daripada jumlah tersebut, penghidap wanita adalah tiga kali ganda lebih ramai berbanding lelaki.

RA biasanya menyerang kedua-dua bahagian sendi seperti pada bahu, siku, pergelangan tangan, lutut dan buku lali.

Simptom RA berbeza daripada seorang kepada seorang yang lain. Antara simptom yang akan dirasai ialah bengkak sendi (jari, tangan, pergelangan tangan, siku, lutut, buku lali, kaki, bahu, pinggul dan rahang). Bahagian sendi yang sakit ini akan terasa panas dan kemerahan.

Menurut Pakar Perubatan Keluarga Hospital KPJ Tawakkal, Datin Dr. Hasliza Abu Hassan, artritis biasanya dikaitkan dengan umur yang meningkat.

Bagaimanapun, dua pertiga daripada pesakit artritis adalah mereka yang berusia di bawah 65 tahun dan biasanya dihidapi ramai wanita berbanding lelaki.

Katanya, pesakit artritis biasanya terdiri daripada mereka yang berlebihan berat badan atau obes.

Oleh itu, amat disarankan supaya seseorang itu selalu bersenam kerana jika tidak, mereka berkemungkinan mendapat artritis.

Antara jenis senaman yang boleh dilakukan ialah berjalan, berlari, berenang, yoga atau mengayuh basikal.

“Gout adalah jenis artritis yang paling ramai dihidapi. Kajian menunjukkan mereka yang banyak memakan daging merah dan makanan laut akan mendapat gout. Ini kerana kandungan asid urik yang tinggi boleh menjadi penyebab kepada gout.

“Seramai 11 juta penghidap gout menghadapi masalah semasa berjalan, 8 juta ketika menaiki tangga, 14 juta mencangkung, membongkok dan berlutut,” katanya.

Dalam pada itu, osteoartritis (OA) biasa dirawat secara kombinasi termasuklah aktiviti fizikal, ubat-ubatan, terapi fizikal dengan senaman meluruskan sendi, mengurangkan berat badan, penggunaan tongkat dan pembedahan (jika rawatan lain tidak berkesan).

“Selain rawatan perubatan, penghidap OA perlu mempunyai keyakinan diri bahawa mereka boleh menguruskan keadaan mereka sendiri yang boleh membantu mengurangkan kesakitan,” katanya.

Dr Hasliza menambah, ubat-ubatan untuk OA boleh diperoleh dalam bentuk pil, sirap, krim atau losen atau disuntik terus ke dalam sendi.

Selain itu, pesakit boleh mendapatkan beberapa kaedah rawatan bagi menghilangkan kesakitan termasuklah cara yang betul penggunaan sendi, terapi pemanasan dan sejuk, senaman dan penggunaan alatan.

Ramai pesakit OA menggunakan terapi semula jadi dan alternatif bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Ini termasuklah pengambilan makanan tambahan, akupunktur, urutan, teknik relaks dan hidroterapi. Pembedahan juga dapat membantu terutama pada pinggul.

Selain orang dewasa, terdapat juga golongan kanak-kanak yang menghidap artritis. Mereka termasuk dalam golongan artritis juvenil (JA). Juga dikenali sebagai penyakit reumatik pediatrik, JA biasa berlaku pada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Tidak diketahui punca sebenar bagi kebanyakan JA, mahupun bukti yang mengatakan toksin, makanan atau alahan menjadi penyebabnya.

Malangnya, tiada penawar bagi JA walaupun dapat dikesan awal. Rawatan agresif hanya dapat mengurangkan sedikit kesakitan.