Selain itu penggunaan internet di laman web jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan lain-lain telah mewujudkan fenomena yang luar biasa terhadap masyarakat di seluruh dunia. Penggunaan teknologi ini sememangnya memberi pengaruh yang sangat besar terhadap kanak-kanak dan perkara ini merupakan ancaman kesihatan siber khususnya gangguan tumbesaran emosi dan psikologi anak-anak. 

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memberikan pengawasan rapi kepada anak-anak semasa menggunakan peranti teknologi ini supaya mereka dapat diarahkan ke sudut yang lebih positif dan dapat terhindar daripada pengaruh negatif.

Menurut Pakar Oftalmologi Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Mohamed Asri Halili, ramai yang tidak menyedari penggunaan alatan digital yang berlebihan boleh menyebabkan ‘Digital Eyes Syndrome (DES)’.

“Tanda-tanda DES termasuklah penglihatan menjadi kabur, ketegangan atau keletihan mata, mata menjadi kering atau merah dan sakit kepala. Kesannya terhadap kanak-kanak dan remaja adalah lebih membimbangkan. Selain berisiko mengalami tanda-tanda DES, kanak-kanak juga berisiko mendapat rabun jauh.

“Penggunaan alatan digital melibatkan aktiviti penglihatan jarak dekat dan mengurangkan aktiviti luaran. Kedua-dua faktor ini adalah penyumbang utama kepada peningkatan tahap rabun jauh melibatkan kanak-kanak,” jelasnya.

Tambah beliau, antara tip bagi mengurangkan kesan penggunaan alatan digital pada penglihatan ialah mengamalkan 20-20-20 rule. Selepas penggunaan alatan digital selama 20 minit, rehat selama 20 saat dengan melihat sejauh 20 kaki. Selain itu, anda boleh mengelipkan mata secara kerap semasa menggunakan alatan digital untuk mengelakkan mata kering. Tidak ketinggalan, anda perlu pastikan jarak penglihatan dengan alatan digital tidak kurang dari 18 inci untuk kanak-kanak dan tahap penglihatan mereka diperiksa supaya rabun dapat dikesan awal.

Dr. Mohamed Asri menambah, postur (kedudukan leher) yang tidak betul semasa penggunaan peranti digital atau telefon pintar boleh menyebabkan sakit tengkuk dan sakit tulang belakang yang berpanjangan. Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu postur yang betul semasa anak-anak menggunakan peranti digital.

“Ini akan meningkatkan risiko bongkok pada usia yang muda. Bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke atas, tumpuan dalam pelajaran boleh terjejas sekiranya mereka terlalu kerap dengan permainan dan aplikasi dalam peranti pintar,” katanya.

Dalam pada itu, penyelidik Lembaga Kesihatan Universiti Morgannwg, Abertawe Bro memberitahu, generasi muda berhadapan masalah kesihatan pada bahagian tengkuk dan belakang badan apabila menggunakan komputer, permainan video dan telefon pintar. Hasil daripada kajian, hampir tiga perempat kanak-kanak sekolah rendah dan dua pertiga daripada pelajar sekolah menengah dilaporkan mengalami masalah pada bahagian tengkuk dan belakang badan dalam tempoh setahun yang lalu.

Lebih merumitkan, penggunaan alatan digital dan internet yang keterlaluan akan menyebabkan gangguan terhadap hormon dalam badan dan mengakibatkan masa tidur yang tidak mencukupi serta keletihan kepada anak-anak. Anak-anak tidak dapat memberi fokus semasa pembelajaran, kesan ini boleh menyebabkan anak-anak kita hilang fokus terhadap pelajaran dan seterusnya mengalami kemurungan.

Beliau berpendapat, strategi keibubapaan tradisi atau dunia amat sesuai untuk diamalkan dalam keluarga siber iaitu ibu bapa melindungi anak-anak kecil dengan mengawasi mereka secara dekat dan menyediakan peraturan yang mudah diikuti mereka. Kanak-kanak perlu memahami bahawa tingkah laku yang sama di dalam atau di luar talian akan memberikan impak kepada diri mereka, rakan dan keluarga.

Oleh itu, kanak-kanak perlu belajar untuk bertanggungjawab dan beretika ketika sedang dalam talian untuk mengelakkan diri mereka daripada terdedah kepada ancaman siber. Keibubapaan siber yang berkesan akan membantu kanak-kanak membesar sebagai netizen warga digital yang baik sama ada di dalam dan di luar rumah.