Ibu bapa juga dilihat lebih selesa membiarkan anak masing-masing leka dengan gajet pada tangan agar urusan harian mereka tidak ‘diganggu’ dengan renggek si kecil.

Situasi ini membuatkan anak-anak lebih banyak menghabiskan masa di dalam rumah berbanding di luar untuk bermain.

Ditambah lagi dengan pelbagai ancaman jenayah melibatkan kanak-kanak, membuatkan ibu bapa risau dan fobia untuk ‘melepaskan’ anak mereka.

Jika anggapan ibu bapa bahawa duduk di dalam rumah lebih selamat berbanding di luar, sebenarnya tidak sepenuhnya tepat kerana duduk terperap di dalam rumah juga tidak menjamin keselamatan kanak-kanak.

Sekiranya di luar anak-anak akan terdedah dengan pelbagai risiko yang berbahaya, tidak kurang juga di dalam rumah di mana anak-anak terdedah kepada isu-isu berkaitan kesihatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 4.3 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat pendedahan kepada bahan cemar dalaman seperti radon, karbon monoksida, sebatian organik berbahaya (VOC) dan formaldehid.

Manakala satu dalam lima orang sangat peka terhadap formaldehid walaupun pada kadar pendedahan yang rendah terutama bayi dan kanak-kanak.

Apabila bayi meningkat usia dan mula bertatih, mereka akan mula meneroka persekitaran dengan merangkak, menyentuh, merasa dan menggigit benda-benda berhampiran mereka.

Potensi risiko kesihatan dalam bangunan akan meningkat apabila kanak-kanak terdedah kepada pelbagai jenis permukaan seperti dinding dan lantai yang mungkin mengandungi virus dan bakteria.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun merupakan kumpulan yang paling mudah dijangkiti virus dan bakteria seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Memandangkan penyakit HFMD dan influenza A (H1N1) sering muncul di negara ini, maklumat yang relevan untuk mendidik ibu bapa dan penyedia penjagaan kanak-kanak tentang kepentingan persekitaran dalaman perlu disebarkan.

Ini kerana kanak-kanak banyak menghabiskan masa sama ada di pusat jagaan kanak-kanak, sekolah atau rumah.

Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Datuk Dr. Amir Hamzah, berkata, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih percaya pada maklumat ‘doktor digital’ yang mudah didapati melalui Internet.

Katanya, dengan cara begini boleh menyebabkan diagnosis yang salah kerana terdapat banyak simptom penyakit yang kelihatan sama dengan penyakit lain.

“Hari ini dengan segala kemudahan melalui Internet, maklumat berada di hujung jari dan apa juga maklumat boleh diperoleh dalam sekelip mata.

“Yang menjadi persoalan ialah kesahihan dan kebolehpercayaan maklumat yang diberikan.

“Sehubungan itu, MSAI telah bekerjasama dengan Nippon Paint dalam Program Kesejahteraan Kanak-Kanak di mana pengamal perubatan menyediakan maklumat dan nasihat profesional kepada ibu bapa dan pembuat keputusan utama,” ujarnya pada majlis pelancaran Program Kesejahteraan Kanak-Kanak Nippon Paint, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program anjuran Nippon Paint Malaysia itu, melibatkan beberapa persatuan seperti Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), MSAI, Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), dan Persatuan Tadika Malaysia (PTM), yang bekerjasama dengan pakar perubatan dan pemilik atau pengendali pusat jagaan kanak-kanak untuk menyediakan beberapa langkah mudah dan pakar kepada ibu bapa yang prihatin terhadap kesihatan anak-anak mereka.

Dilancarkan seiring usaha Nippon Paint memperkenal siri cat mesra kanak-kanak pertama di Malaysia, yang memberi tumpuan kepada udara bersih, permukaan selamat dan daya kreativiti bagi tiga peringkat pertumbuhan kanak-kanak.

Cat ini berasaskan air, bebas plumbum dan raksa, serta memiliki kadar pelepasan sebatian organik mudah meruap yang rendah, menjadikannya selamat untuk persekitaran luar serta ruang dalaman.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia, Gladys Goh, inovasi sentiasa menjadi sebahagian daripada usaha syarikat tersebut.

Katanya, keperluan pelanggan sentiasa berubah, sekali gus membuka peluang yang masih belum diteroka dalam industri cat.

“Ini memberi motivasi kepada kami untuk membangunkan rangkaian cat mesra kanak-kanak yang memberikan persekitaran dalaman lebih selamat dan sihat.

“Kami memperkenal Program Kesejahteraan Kanak-Kanak dengan kerjasama pelbagai pertubuhan kebangsaan bagi melaksanakan program kesedaran dan pendidikan.

“Ini bagi memberikan nasihat dan maklumat pakar kepada ibu bapa, pemilik serta pengendali pusat jagaan kanak-kanak dan tadika supaya mereka boleh membuat keputusan yang lebih bijak tentang kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak,” jelasnya.

Ibu bapa dialu-alukan menghantar gambar-gambar swafoto anak-anak berusia bawah 10 tahun ke ruangan ini. Hantarkan ke Instagram: rona.utusanmalaysia atau Facebook: Rona Wanita Utusan Malaysia atau e-mel [email protected]