Mengikut kajian Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) menyumbang kira-kira 73 peratus kematian di negara ini dengan sebahagian besarnya penyakit-penyakit berkaitan kardiovaskular, termasuk jantung dan angin ahmar.

Dianggarkan 35 peratus mereka yang meninggal dunia akibat penyakit-penyakit kardiovaskular ini adalah individu yang berumur kurang dari 60 tahun dan masih lagi aktif bekerja.

Malah, laporan NHMS 2016 pula menyebut pada tahun lepas, kira-kira 17.7 peratus atau 3.3 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas digolongkan sebagai obes, manakala 30 peratus atau 5.6 juta lagi mengalami masalah berat badan.

Menjadi obes menimbulkan risiko peningkatan kolesterol yang tinggi kepada seseorang dan berhadapan dengan penyakit-penyakit kronik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub berkata, melihat kepada angka-angka yang ini, adalah penting untuk semua pihak peka dengan keadaan ini dan memahami bagaimana untuk menguruskan kolesterol dengan betul.

“Apa yang membimbangkan dua daripada lima orang di negara ini tidak tahu yang mereka menghidap kolesterol tinggi iaitu 38.6 peratus, kira-kira 7.8 juta rakyat. Kolesterol yang tinggi sering dikaitkan dengan penyakit-penyakit koronari yang merupakan pembunuh senyap, yang tidak mempunyai tanda atau simptom tertentu sehinggalah mereka jatuh sakit.

“Pada hari ini, memang terlalu banyak maklumat mengenai kolesterol memandangkan dengan hanya satu jari anda akan dapat mengakses menerusi dalam talian.

“Apa yang tidak pasti ialah sama ada maklumat yang diakses itu benar dan tepat mengenai tahap kesihatan dan kolesterol anda,” katanya pada majlis pelancaran buku All You Need To Know About Cholesterol (Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kolesterol) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Buku panduan ini diterbitkan oleh Pfizer dengan kerjasama IJN.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Perunding Kardiologi Kanan IJN, Datuk Seri Dr. Azhari Rosman; Perunding Kardiologi IJN, Dr. Emily Tan; dan Pemegang Amanah Ketua Perubatan Asia Pasifik Pfizer, Pertubuhan Pfizer Essential Health CMO, bahagian APAC, Dr W. Vicknesh.

Kata Dr. Mohd. Azhari, kajian terkini menunjukkan tujuh daripada 10 pesakit berkeyakinan yang mereka telah mendapatkan maklumat dan fakta yang tepat mengenai kolesterol dan tahap kesihatan mereka dengan hanya melayari Internet.

“Mereka lebih mempercayai pelbagai maklumat yang tertera menerusi Internet dan banyak laman sosial yang memberikan nasihat dalam bidang kesihatan untuk mengurangkan kolesterol termasuk mengambil kekacang, oat, sayur-sayuran, minyak ikan, bawang putih dan beberapa suplemen lain.

“Bagaimanapun seorang pesakit mesti memahami, sebelum meletakkan apa-apa risiko kesihatan pada tangan mereka sendiri, sepatutnya berbincang dengan orang yang terlibat dalam bidang kesihatan seperti doktor bukan berpandu kepada laman sosial semata-mata,” katanya.

Sementara itu, buku All You Need About Cholesterol memberi peluang untuk pembaca mengetahui dan lebih peka mengenai masalah yang mereka hadapi berkaitan isu ini.

“Kami berasa sangat gembira dengan kerjasama bersama IJN bagi memastikan pesakit mendapat maklumat yang tepat dan sahih mengenai pengurusan dan kawalan kolesterol.

“Pfizer memang aktif mempromosikan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko kolesterol, mempromosi gaya hidup sihat dan sentiasa berhati-hati dan peka dengan kesihatan jantung mereka,” kata Dr. Vicknesh.

Apakah kolesterol?

  • Kolesterol adalah sejenis lemak (lipid) dalam darah. Sel-sel memerlukan kolesterol dan tubuh melalui organ hati menghasilkan semua kolesterol yang diperlukan.
  • Kolesterol juga boleh didapati dalam makanan daripada sumber haiwan seperti daging, ayam dan produk tenusu dengan kandungan lemak penuh. Hati menghasilkan lebih banyak kolesterol apabila anda mengambil diet yang tinggi kandungan lemak tepu dan lemak trans.
  • Kolesterol diangkut melalui saluran darah oleh pembawa yang dinamakan lipoprotein, yang terbentuk daripada lemak (lipid) dan protein.

LDL (kolesterol jahat) - dianggap jahat kerana menjadi punca pembentukan plak, iaitu enapan tebal dan keras yang boleh menyumbat arteri dan menjadikannya kurang fleksibel.

HDL (kolesterol baik) - dianggap baik kerana menyerap dan menghantar kolesterol baik ke hati, yang melupuskan dari badan.

  • Hiperkolestrolemia - keadaan di mana kolesterol di dalam darah berada pada paras sangat tinggi. LDL menyebabkan pengumpulan plak yang boleh menyebabkan arteri tersumbat yang dikenali sebagai aterosklerosis. Jika darah beku terbentuk dan menyekat arteri yang sempit, serangan jantung atau strok mungkin berlaku.
  • Kelaziman dan trend hiperkolesterolemia di negara ini

9.6 juta orang penghidapnya yang bermakna, seorang daripada setiap tiga orang mempunyai kolesterol tinggi yang merupakan punca 56 peratus kes sakit jantung koronari dan menyebabkan lebih 4 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Di negara ini, 1 daripada 4 (25 peratus) kematian di hospital kerajaan pada 2010 adalah disebabkan penyakit jantung

Kadar hiperkolesterolemia yang tidak didiagnos telah meningkat dari 26.6 peratus (2011) kepada 38.6 peratus (2015).

Setiap 1 hiperkolesterolemia yang didiagnos, terdapat empat kes hiperkolesterolemia yang tidak didiagnos

Kelaziman hiperkolesterolemia di negara ini terus meningkat dengan 20.7 peratus pada 2008, 32.6 peratus pada 2011 dan sehingga 47.7 peratus pada 2015 dan merupakan punca kematian utama di negara ini pada kadar 150 orang daripada setiap 100,000.