Ini dapat dibuktikan selepas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi tuan rumah pertama Simposium Tentera Laut Pasifik Barat Program Antarabangsa Pegawai Muda (WPNS JOIP) dan program Interaksi Pegawai Muda Tentera Laut ASEAN keenam (6th ANYOI) yang berlangsung selama empat hari baru-baru ini.

Ketua Sekretariat Penganjur, Komander Suhaimi Jumahat berkata, pemilihan TLDM sebagai penganjur WPNS JOIP telah dipersetujui semasa Simposium WPNS 2016 di Padang, Indonesia dan penganjuran ANYOI berdasarkan terma rujukan ASEAN Navy Chiefs Meeting (ANCM), di mana penggiliran penganjuran akan dilaksanakan oleh semua negara ASEAN.

Katanya, ia seiring dengan matlamat utama penganjuran tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pegawai muda tentera laut terhadap kepentingan jalinan kerjasama serantau.

“Selain itu, program ini merupakan mekanisme terbaik untuk bertukar pandangan dan idea demi memantapkan lagi tahap keselamatan maritim pada masa hadapan.

“Program ini dianjurkan sepenuhnya oleh TLDM tanpa melibatkan mana-mana pihak korporat atau syarikat lain,” katanya kepada Mega Wira.

Sebanyak 48 pegawai muda termasuk tujuh pegawai wanita berpangkat leftenan dari 24 negara menyertai program berkenaan iaitu Kanada, Amerika Syarikat (AS), Mexico, Rusia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, Australia, Bangladesh, India, United Kingdom (UK), Perancis, Chile dan Pakistan.

Selain itu, kesemua sepuluh negara anggota ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam serta Malaysia turut menyertai program tersebut.

Perasmian pembukaan WPNS JOIP dan ANYOI keenam disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum dalam satu majlis meraikan kehadiran kesemua wakil 24 negara terbabit di Pusat Hidrografi Nasional.

Dalam pada itu Suhaimi berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program ini bermula antaranya belayar bersama Kapal Latihan Gagah Samudera (KLGS)

“Peserta juga turut didedahkan dengan beberapa aktiviti antaranya adalah pengenalan kepada Traffic Separation Scheme (TSS), program eRakam, demonstrasi Malaysia Eyes In The Sky dan Code For Unplanned Encounters At Sea (CUES).

“Mereka juga turut berpeluang melawat beberapa pusat latihan TLDM seperti KD Duyong, Pusat Taktikal Maritim (Pustakmar), Penyelaku Anjungan Kapal (Waspada) dan Tangkas KD Pelandok serta menyaksikan demonstrasi antipengganas dari Pasukan Khas Laut (Paskal),” ujarnya.