Tiada pilihan lain yang boleh diambil oleh mereka melainkan jenama-jenama luar negara yang sangat mahal harganya memandangkan kurangnya jenama tempatan yang menawarkan rekaan kasut untuk bayi.

Bagi yang masih mencari kasut untuk anak anda, Bebe Bundo, jenama tempatan yang memperkenalkan kasut iaitu Moccasin, kasut bertapak rata yang menggunakan material daripada kulit yang berasal daripada masyarakat Red Indian.

Pengasasnya, Farhan Nadia Bakly, 29, berkata, asalnya dia menjahit kasut tersebut untuk kegunaan anaknya namun mendapat maklum balas positif daripada kenalannya untuk menghasilkan dan menjual kepada mereka.

“Ketika itu, masih tiada lagi pengusaha yang mengeluarkan kasut Moccasin di Malaysia dan saya berfikir kenapa tidak saya menjadi orang pertama menghasilkannya. Dahulu, ia kurang mendapat sambutan walaupun sudah menjadi trend di Australia dan Amerika Syarikat tetapi sekarang orang mula melihat kelebihannya kepada anak kecil yang baru belajar berjalan.

“Menggunakan 100 peratus kulit yang diimport dari Brazil, Indonesia, Pakistan, India, dan Turki, saya menjahit kasut mengikut tempahan yang diminta pelanggan. Dahulu saya pernah membuat secara ready stock tetapi memandangkan hanya saya seorang yang menjahit, kini saya hanya membuat mengikut jumlah tempahan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Berasal dari Negeri Sembilan dan berketurunan Minangkabau, Bundo sendiri diambil dari loghat Minangkabau yang bermaksud ibu dan dia menjadikannya sebagai jenama. Sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, Nadia menjalankan perniagaan tersebut secara sepenuh masa dengan bantuan seorang pekerja.

Mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan, akuinya dia langsung tidak mempunyai kemahiran menjahit apatah lagi mempunyai latar belakang dalam bidang rekaan fesyen. Hanya mempelajari teknik jahitan dari ibunya, minat tersebut datang secara tidak langsung selepas melahirkan anak.

Katanya, pemakaian kasut tapak rata seperti Moccasin disarankan pakar pediatrik untuk kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah terutama untuk si kecil yang mula belajar berjalan.

Ini kerana pada peringkat umur sedemikian, kanak-kanak dapat merasai sendiri permukaan yang mereka pijak membantu mereka berjalan dengan lebih stabil. Selain itu, dengan tapak yang lembut, ia dapat membentuk tulang kaki yang kuat.

Menurutnya, kanak-kanak dalam usia sebegitu memerlukan kasut yang membantu kaki mereka bernafas. Tidak perlu dipadankan bersama stokin, Moccasin dapat menyerap peluh malah tidak meninggalkan bau.

“Setiap kasut mengambil masa satu hingga dua hari tetapi ketika musim perayaan, prosesnya memakan masa sehingga empat hari bergantung kepada jumlah tempahan yang diterima,” katanya.

Hadir dalam pelbagai rekaan untuk kanak-kanak lelaki atau perempuan, pilihan warna-warna lembut dan garang ditawarkan kepada pelanggan mengikut kesesuaian umur anak mereka.

Mempunyai 40 rekaan, saiz bermula untuk bayi sehinggalah kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga empat tahun dan berharga RM99 setiap pasang.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan kasut Moccasin Bebe Bundo ini, pembelian boleh dilakukan melalui www.bebebundo.com.