the hob 2

Pemilik The Hob Azilah bersama antara menu utama di The Hob food truck letak kereta Kompleks PKNS baru-baru ini. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

Ketika memandu kala kenderaan ‘melekat’ di jalan raya berhadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Bangi, Selangor saya terpandang beberapa kumpulan trak makanan atau ‘food truck’ berbaris di kawasan letak kenderaan di hadapan bangunan ini.

Sebanyak hampir 10 trak makanan menjual pelbagai minuman dan makanan. Ada juga makanan bukan tempatan boleh ditemui malah rasanya turut menyelerakan.

Menikmati makanan tepi jalanan ini tentunya memberi pengalaman yang menarik. Bukan sahaja tertumpu kepada mereka yang masih bujang malah sesuai juga dikunjungi mereka sudah berkeluarga.

the hob 3
 

 Burger daging antara menu utama di The Hob food truck 

Trak makanan diilhamkan umpama sebuah warung dilengkapi dapur kecil serta dihias dengan rekaan moden dan trend ini semakin popular sejak kebelakangan ini.

Disesuaikan dengan selera tempatan, kebanyakan pengusaha menampilkan pelbagai menu istimewa masakan Melayu seperti nasi lemak, nasi kandar sehinggalah masakan Barat dan pelbagai jenis minuman.

Tidak ketinggalan, pengasas The Hob Cafe, Azilah Akashah turut meluaskan perniagaannya dengan membuka trak makanan di hadapan PKNS, Bangi.

the hob 4
Antara menu utama di The Hob food truck 

Berkonsepkan hipster, nama The Hob itu sendiri bermaksud dapur. Terdapat banyak pilihan menu termasuk pattie burger, pasta, salad, sandwic, bebola daging dan banyak lagi. Selain menu Barat, terdapat sentuhan makanan tempatan seperti mi kari. Istimewanya menu-menu di sini dihasilkan dengan kreativiti pemiliknya dan bahan-bahan yang dicipta sendiri. Ini termasuklah daging burger yang dihasilkan sendiri daripada daging berkualiti.

Selain burger, Crispy Cheeze Panini turut mendapat permintaan tinggi. Menariknya, menu ini dihasilkan daripada roti yang garing di bahagian luar tetapi lembut di dalam. Keju dan kepingan daging ayam dan lembu di dalam hidangan ini sangat mewah.

“Trak ini dilengkapi dapur berteknologi tinggi yang membolehkan menu hidangan disediakan di mana-mana tanpa mengira masa. Dapur trak itu juga dilengkapi perangkap minyak dan sistem pembersihan.

“Idea trak makanan sudah pun terkenal di luar negara dan saya berharap, ia berjaya di sini. Saya lihat kini sudah menjadi trend. Walaupun disediakan dengan pantas tetapi makanan yang dihidangkan bukan makanan segera dan ditawarkan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Trak makanan ini dibuka setiap hari kecuali Isnin mulai pukul 6 petang hingga 12 tengah malam.

INFO

The Hob Cafe,

Kafe: NO 5 - G-01 
Jalan Medan PB2A

Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Trak makanan: Tempat letak kereta berhadapan PKNS, Bangi, Selangor

Tel: 03- 8926 8878