Sharifah Norizan Syed Isa, 40, membuktikan dia juga berkemampuan dan bijak merebut peluang ekonomi yang ada di depan mata, meskipun tidak mempunyai sebarang pengalaman bidang berkaitan.

Ibu kepada dua orang anak itu, sedang mengusahakan Taman Rimba dan Resort Komanwel Rawang yang dinaik taraf selepas mengambil alih daripada pengusaha asal.

Katanya, yang mesra disapa sebagai Sharifah, apa yang dimiliki hari ini bukan mudah kerana segalanya dimulakan dari bawah.

Malah ada segelintir orang di sekelilingnya memandang rendah keupayaan untuk mengambil alih kawasan rekreasi tersebut.

“Sebelum ini saya pernah mencuba pelbagai perniagaan kerana saya seorang yang gemar berniaga. Saya mula berniaga ketika usia saya 21 tahun, saya pernah menjual kuih raya, membuat hamper, menjual pecal untuk dihantar ke kedai-kedai dan saya membuat perniagaan online.

“Saya juga pernah bekerja makan gaji di sebuah syarikat cari gali minyak dan gas.

“Namun, apa yang saya usahakan sekarang tidak pernah terfikir atau dirancang kerana ianya berlaku secara kebetulan.

“Saya akui saya tidak mempunyai langsung pengalaman dalam industri resort dan rekreasi, tetapi apabila mendapat peluang ini, saya tidak memandang ke belakang lagi.

“Saya mahu menjadi antara usahawan wanita Melayu yang berjaya dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui di Taman Rimba dan Resort Komanwel Rawang, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Pelbagai cabaran dan rintangan dilalui sepanjang mengusahakan resort tersebut, namun dia tidak pernah mengalah sebaliknya melakukan sedaya upaya membangunkan kawasan seluas 15 ekar itu supaya dikenali semula.

Ketika mula mengambil-alih pengurusan di situ, resort tersebut agak terabai dan kurang promosi, menyebabkan pengunjung tidak berminat untuk melakukan aktiviti riadah di situ.

Kini, ia mula menampakkan perubahan apabila semakin ramai mengunjungi Taman Rimba dan Resort Komanwel untuk melakukan aktiviti riadah.

Antara aktiviti ditawarkan seperti rentas hutan, perkhemahan, berkayak, memancing, mandi sungai dan air terjun, bermain sukan permotoran lasak all-terrain vehicle (ATV), atau sekadar menginap di resort yang tenang jauh dari hiruk pikuk kota.

Untuk kumpulan yang lebih besar, pihaknya juga menyediakan dewan seminar dan penginapan berkonsepkan dorm.

Kecintaan terhadap alam semula jadi juga menjadi pendorong kepada Sharifah untuk melihat kawasan tersebut kekal terpelihara dan menjadi antara destinasi eko-pelancongan.

“Saya seorang yang lasak dan gemar masuk hutan jadi tiada masalah untuk menguruskan kawasan itu.

“Walaupun sudah mempunyai 14 pekerja yang membantu menjaga dan menguruskan kawasan ini, saya tetap turun padang membersihkan sungai, masuk ke hutan dan sebagainya bagi memastikan kawasan sekitar terpelihara.

“Hutan ini bukan untuk saya seorang tetapi untuk anak cucu kita pada masa akan datang. Flora dan fauna di kawasan ini perlu dipertahankan untuk kesinambungan generasi akan datang,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.

Selain suaminya yang menjadi penyokong kuat sepanjang menceburi bidang tersebut, Sharifah mengakui, kakitangan di taman tersebut juga menjadi tulang belakang membangunkan kawasan tersebut dengan baik.

Justeru, dia sentiasa menjaga hubungan baik dengan pekerja dan memastikan kebajikan mereka sentiasa dibela.

Baginya, sebagai majikan adalah penting untuk menjaga perhubungan dengan pekerja.

“Di sini pekerja-pekerja memanggil saya kakak sahaja dan saya mengenali setiap daripada mereka, termasuk latar belakang dan keluarga, malah tahu apa masalah masing-masing.

“Saya juga mengambil pekerja daripada kumpulan asnaf, kerana mahu beri peluang pekerjaan dan bantu keluarga mereka di kampung.

“Apa yang saya beri kepada mereka selama ini, mereka pulang balik dari segi penjagaan kawasan ini dan tidak pernah berkira untuk membuat tugasan.

“Disebabkan itu, pentingnya menjaga hubungan dengan pekerja. Mereka akan menghargai kita dan sanggup bersama-sama dalam jatuh bangun sepanjang menjalankan perniagaan,” ujarnya.

Sharifah juga percaya untuk beroleh kejayaan dalam apa jua yang dilakukan, dia tidak boleh sombong dan mendongak ke langit.

Sebaliknya, sentiasa menjadi orang yang merendah diri akan membuatkan setiap individu itu lebih menghargai kehidupannya dan menghormati orang sekeliling.

Baginya, jika wanita berani menongkah arus dalam dunia perniagaan, mereka mampu menjadi hebat setanding kaum lelaki.