Bukan untuk sehari dua tetapi kalau boleh sampai ke akhir hayat. Tetapi perancangan manusia tidak sama dengan perancangan Allah. Demikian juga yang dilalui oleh Maria (bukan nama sebenar).

“Majlis reunion yang dihadiri suami membuka segalanya. Suami mula beralih kasih. Dia berubah. Saya pun pelik kenapa ada suami apabila pergi reunion jumpa bekas kawan universiti, kawan kerja yang perempuan cepat sangat berubah hati.

“Termenung sana termenung sini. Telefon tak lepas dari tangan. Hujung minggu tak lekat rumah,” cerita Maria.

Kita ikuti luahan hati Maria yang berkongsi kisahnya memendam rasa dengan sikap dan perangai suaminya.

Begini ceritanya.

“Umur saya lewat 30-an, bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta. Suami Azim (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun, seorang penjawat awam yang berjawatan tinggi juga.

“Kami sudah berkahwin 15 tahun dan dikurniakan tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 8 hingga 14 tahun, kesemuanya masih bersekolah.

“Saya berkahwin atas dasar cinta dan suka sama suka. Suami anak bongsu kesayangan ibu bapanya. Jadi saya banyak kena bersabar dan akur dengan keadaan itu. Bagaimanapun ia bukan masalah besar untuk saya.

“Memang dia suami dan bapa yang penyayang. Sangat ambil berat akan rumah tangga. Makan minum kami terjaga. Tetapi itu dahulu. Sekarang keadaan telah berubah setelah dia ada orang lain.

“Setahun lalu saya mula menghidu kecurangannya. Di rumah dia jadi pendiam. Kurang berkomunikasi dengan kami. Anak-anak mula perasan dan kerap bertanya kenapa ayah macam itu mak?

“Saya tidak ada jawapan sebab saya juga sedang memikirkan perkara yang sama. Memang betul. Suami sudah banyak berubah. Duduk di rumah macam cacing kepanasan. Ada-ada sahaja alasan dia hendak keluar rumah.

“Melalui seorang kenalannya di pejabat saya dapat tahu dia sedang asyik bercinta dengan seorang staf yang baharu ditukarkan ke jabatan itu dari Kuantan. Kononnya wanita itu bekas rakan universiti yang ditemuinya dalam satu majlis reunion.

“Dari hari ke hari keadaan suami semakin berubah. Saya terus makan hati, sudahlah suami tidak pedulikan kami, mentua pula asyik menangkan anak dia bila saya mengadu tentang perubahan suami.

“Kamu bawa bersabar, doa banyak-banyak. Mungkin dia ada masalah atau kamu yang tak pandai menjaga dia, itu kata-kata mentua sedangkan dia tahu bagaimana saya menjaga anaknya. Walau penat kerja tanggungjawab di rumah tidak pernah diabai.

“Mentua kata saya abaikan anaknya, anak-anak saya, rumah tangga saya. Jarang memasak, asyik berjalan dan tidak pandai melayan anaknya. Ya Allah, sampai macam itu sekali dia burukkan saya. Siapa lagi yang bercerita jika tidak suami.

“Apakah itu alasan dia untuk mencari wanita lain? Apa yang saya tidak buat untuk dia. Bangun pagi, siapkan sarapan, masak untuk anak-anak. Basuh pakaian, sidai. Balik buat kerja yang sama…sampaikan ada kalanya saya hanya tidur 3-4 jam sahaja.

“Tetapi saya tidak pernah merungut sebab saya tahu itu tanggungjawab saya. Susah macam mana saya akan buat. Saya tidak pernah campurkan urusan peribadi dan hal rumah tangga dengan kerja pejabat. Saya professional dalam urusan hidup saya.

“Tapi apabila suami memburuk-burukkan saya kepada kelurganya, kepada kawan-kawan dan kepada ‘kekasih gelapnya’ saya tidak boleh terima. Mereka yang kenal saya tahu siapa saya dan bagaimana perangai saya.

“Sampai hati dia jaja keburukan saya kepada kawan-kawannya. Sampai satu pejabat tahu. Mujur mereka kenal saya dan menyifatkan suami gila bayang dan terbawa-bawa dengan kisah cintanya.

“Itulah lelaki. Mudah lupa. Lupa akan kebaikan isteri dan susah payah isteri membantu dan menyokong sampai boleh hidup bertahun-tahun. Saya boleh terima dia berubah dan ada wanita lain tetapi saya tidak boleh terima dia kutuk, caci dan hina saya kerana hendak menegakkan benang basahnya.

“Saya terima takdir Allah kepada saya dengan mengetepikan perasaan demi anak-anak. Saya tidak boleh selamanya hidup dalam keadaan suami memburukkan saya, mengaibkan saya. Saya ada maruah, saya berhak di lindungi oleh suami, bukan dihina dan dicaci.

“Dalam hidup ini kita ada pilihan. Kita perlu utamakan yang penting dan boleh membahagiakan hidup kita, Kita perlu masa depan yang lebih positif. Kita tidak boleh hidup dalam angan-angan dan fantasi dan bermain dengan perasaan sepanjang masa.

“Akhirnya saya nekad menuntut cerai. Saya tidak mahu lagi menjadi beban dalam hidup dia. Cara terbaik bebaskan saya. Saya reda dengan jodoh kami yang setakat ini sahaja.

“Kepada wanita di luar sana, saya ingin berpesan. Hati-hati dengan suami. Tengok perubahan mereka. Awasi kalau mereka kerap ke luar daerah dan pergi reunion. Sebab reunion juga antara punca suami jadi mamai dan mabuk cinta. Macam suami saya.

“Saya berharap keputusan saya ini dapat merubah hidup saya dan anak-anak, saya akan membawa anak-anak tinggal bersama saya. Saya akan berjuang untuk mendapatkan hak anak-anak. Saya ada cukup bukti kecurangan suami yang tidak ada tanggungjawab. Semudahkan urusan hidup saya dan anak-anak, bagi saya semangat dan kesabaran. Kepada Allah saya berserah,” pinta Maria penuh mengharap.

Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh Maria. Bangkit berjuang untuk mendapatkan haknya dan mengubat hatinya yang terguris dek sikap suami.

Keberaniannya patut menjadi contoh kepada wanita lain. Memang kita tidak boleh menolak ketentuan Allah tetapi kita boleh berusaha menanganinya dengan baik dan meneruskan hidup dengan tenang.

Setiap usaha yang disertakan dengan kesabaran akan diterima Allah.

Menamatkan catatan pesanan saya, ada masanya kita harus melepaskan apa yang kita sayang tapi bukan kerana kita sudah tidak sayang tetapi kerana ada keutamaan lain. Insya-Allah Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Salam

[email protected]