Memang ada sahaja lelaki yang mahu mendekatinya untuk mengenal hati budi, namun apabila dia berkongsi tentang penyakit tersebut perlahan-lahan mereka menjauhkan diri.

Sejak itu, dia sedar tiada lelaki yang mahu memperisteri wanita sakit yang menunggu masa untuk mati.

Jika melihat keadaannya pada ketika itu, ramai yang menjangka dia sudah tidak mempunyai harapan untuk hidup, sekiranya selamat sekali pun mungkin tidak normal apatah lagi untuk berkahwin dan mempunyai zuriat sendiri.

Namun, Allah tidak pernah menjadikan sesuatu tanpa apa-apa tujuan atau secara sia-sia. Jika yang baik jelas terbukti manfaatnya, dia yakin bahawa sesuatu yang buruk juga membawa hikmah yang tidak terduga.

Keyakinan untuk berdepan dengan penyakit yang membawa maut itu, membuatkan anak bongsu daripada lima beradik ini berjaya menanamkan sikap positif dalam hidupnya.

Dia percaya akan sembuh meskipun perlu melalui lebih daripada 10 kali pembedahan sejak disahkan menghidap ketumbuhan otak pada 2012.

Berkat kesabaran, ternyata musibah yang berlaku kepadanya telah membuka lembaran baharu dalam hidup Nadia.

“Dalam keadaan fizikal yang semakin teruk akibat kesan rawatan radioterapi, tanpa disangka, Allah datangkan lelaki paling sempurna buat saya. Dia hadir saat saya sudah menutup pintu hati untuk mana-mana lelaki.

“Allah temukan saya dengan lelaki yang menerima saya seadanya, yang mahu berkahwin dengan saya kerana dia mahu menjaga saya. Walaupun saya diuji sebegini besar, namun kehidupan saya semakin hari semakin lengkap.

“Saya dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan berusia dua tahun dan 10 bulan, yang saya sendiri tak pernah terfikir bahawa dalam keadaan sebegini mampu memperoleh zuriat.

“Disebabkan dugaan ini juga, saya mendapat idea untuk membantu orang lain mengembalikan keyakinan merawat kulit dengan mengeluarkan produk sendiri,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Flora Skincare di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jika dilihat pada mata kasar, Nadia kelihatan sempurna namun sebenarnya dia mempunyai bekas jahitan kelihatan seperti cekak rambut di kepalanya, selain hilang penglihatan pada mata kiri, tiada deria bau, tidak mempunyai kening, dan sering mendapat sawan kesan daripada pembedahan dilalui dahulu.

Sungguhpun begitu, wanita cekal ini tidak pernah patah semangat untuk terus hidup, sebaliknya mengumpul kekuatan menempuh setiap ujian getir berkat sokongan keluarga terutama ibunya, Tumina Juladi, 65.

Kini selepas enam tahun bertarung nyawa, Nadia bebas daripada ketumbuhan tersebut tetapi masih melalui kesan-kesan sampingan daripada penyakit itu.

 

Otak saya jatuh ke leher

Setiap kali mengimbau kembali episod kelam yang berlaku, pasti membuatkan Nadia dan keluarga beremosi.
Manakan tidak, ketumbuhan pada bahagian kepalanya sangat besar, bersaiz seperti sebuah telefon pintar sehinggakan doktor sendiri tidak meletakkan harapan untuk sembuh.
Nadia berkata, sejak di bangku sekolah dia seorang yang aktif bersukan, namun sering sakit di bahagian kepala dan bergantung pada ubat tahan sakit kerana sangkaannya hanya menghidap migrain.
Suatu hari Nadia sudah tidak mampu menahan sakit dan membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta.
“Doktor memberitahu ada ketumbuhan pada kepala dan pada waktu itu, saya tidak menjangkakan ia serius. Saya meminta doktor segera melakukan pembedahan, namun kata doktor pembedahan pada kepala bukan mudah, saya memerlukan pelbagai persiapan dan berhadapan dengan risiko.
“Ketika itu barulah saya sedar yang saya menghidap penyakit yang membawa maut. Keluarga terlalu sedih, siang dan malam menangisi dugaan yang menimpa saya,” katanya yang berasal dari Ampang.
Pembedahan tersebut berjaya dilakukan dalam tempoh lima jam bagaimanapun, berlaku komplikasi apabila mata kirinya tidak memberi sebarang maklum balas.
Tidak sampai satu jam selepas pembedahan, dia perlu dibedah lagi untuk melihat punca komplikasi dan kepala yang sudah dijahit terpaksa dibuka semula bagi memastikan prosedur yang dijalankan tiada kesilapan.
Selepas diperiksa ternyata masalah mata itu adalah kesan daripada pembedahan terbabit. Bukan itu sahaja, tulang antara bahagian otak dan hidungnya juga dibuang menyebabkan otaknya ‘terapung’ tanpa sebarang lapisan tulang.   
“Walaupun ketumbuhan berjaya dibuang tetapi saya perlu menanggung pelbagai kesan sampingan selepas itu seperti cecair otak atau Cerebrospinal Fluid (CSF) sering bocor yang mengakibatkan kedudukan otak saya beralih ke bahagian leher.
“Bayangkan otak saya pernah jatuh sampai ke leher kerana ketiadaan cecair CSF, kesakitan yang saya tanggung seolah-olah  mahu mati sahaja.
“Kalau saya bersin, bersujud ketika solat, terlalu sejuk atau apa-apa aktiviti yang memberi tekanan pada bahagian kepala, CSF akan keluar melalui hidung. Sampai sekarang cecair masih keluar melalui hidung tetapi tidak seteruk dahulu,” katanya.
Selepas setahun, ketumbuhan berulang, tetapi kali ini  Nadia memilih melakukan pembedahan besar di bahagian muka, iaitu di atas kening  kerana tidak mampu menanggung kesan sampingan pembedahan pada bahagian kepala.
Dia lebih sanggup hidup dengan parut di muka daripada menanggung kesakitan selama-lamanya.

 

Inspirasi kepada pesakit lain

Pada awalnya, Nadia memang sukar menerima kenyataan bahawa dia menghidap ketumbuhan di dalam kepala kerana selama ini jarang jatuh sakit.
Namun selepas apa yang dilalui, dia sedar perlu optimis dengan kehidupannya. Tidak ada guna menangisi nasib, kerana itulah takdir yang telah ditentukan dan dia perlu melalui dengan positif.
 Dia pernah membaca sebuah artikel bahawa tekanan dan pemikiran negatif akan menyebabkan sel kanser atau ketumbuhan menjadi aktif walaupun pesakit mengambil ubat dan menjalani rawatan.
“Sejak itu saya mula menganggap sakit yang saya alami ini bukan beban tetapi
saya adalah insan terpilih. Allah tidak akan sekali-kali menguji hamba-Nya luar kemampuan dan apa yang berlaku ada hikmahnya.
“Apabila saya sakit, saya jumpa lelaki yang baik. Apabila sakit juga, saya tahu siapa kawan yang sebenar dan kesakitan inilah juga yang mengeratkan hubungan saya dan keluarga.
“Ajal maut semua terletak pada tangan Tuhan. Orang yang tak sakit pun belum tentu hidup lama. Saya pegang dengan prinsip tersebut,” katanya yang turut berkongsi kisah di akaun media sosialnya dan sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada pesakit lain yang turut mengalami nasib sama.
Ujar Nadia, apabila disahkan bebas daripada ketumbuhan otak, dia melihatnya sebagai titik tolak untuk membantu pesakit-pesakit lain.
Dia mahu pesakit-pesakit yang senasib dengannya menjadi positif  kerana dia sendiri pernah melaluinya dahulu sama seperti apa yang mereka lalui.
“Apabila saya melihat penyanyi, Elyana kelihatan gembira, sentiasa berpakaian cantik, mengenakan solekan dan mempunyai personaliti ceria seolah-olah langsung tidak menghidap kanser, saya seperti melihatnya seperti diri saya dahulu.
“Ramai yang kritik dia kerana pembawaan diri dengan cara begitu walaupun sedang sakit, tetapi itu sebenarnya ‘ubat’
untuk merawat kanser selain daripada rawatan di hospital,” ujarnya.
Walaupun perlu menanggung pelbagai kesan sampingan seumur hidup, Nadia juga mahu menjadi seperti insan normal dan memasang impian untuk melihat perniagaan kosmetik yang diasaskannya berjaya.