“Tidak dinafikan ada yang bersikap negatif terhadap anak autisme dengan membuli mereka mungkin kerana konflik dalam diri sendiri tidak dapat menerima tanggungjawab dikurniakan anak sebegitu, disalahkan pula anak tersebut, dimarahi, dipukul serta tidak dibelai dengan kasih sayang, malah adanya konflik rumah tangga mungkin disebabkan oleh anak itu mahupun sebenarnya konflik itu sudah pun tercetus sebelum kehadiran mereka.

“Ramai juga yang tetap menyayangi mereka seadanya dan hanya mahu yang terbaik untuk anak itu. Ramai yang bergolok gadai wang dan masa untuk mendapatkan terapi yang terbaik dan sesuai buat mereka.

“Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa termasuk rumah mereka yang dikosongkan tidak terhias indah kecuali menyediakan trampolin dan alat-alat permainan mereka sahaja. Belum lagi yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga mereka.

“Dalam ramai yang reda, ada juga yang tidak begitu sabar. Begitulah antara pengalaman ibu bapa bersama anak autisme, terpulanglah pada ibu bapa dan penjaga untuk menerima anak istimewa ini. Sudah tentu tempat mereka di syurga, persoalannya adakah kita telah menyantuni anak-anak ini dengan sedaya upaya kita hingga melayakkan kita dikurniakan tempat duduk di samping mereka di syurga nanti?”

Itu antara nukilan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Jabatan Psikiatri Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof. Madya Dr. Fairuz Nazri Abdul Rahman yang membuatkan seluruh hadirin sebak pada majlis perasmian Hari Kesedaran Autisme 2017 peringkat PPUKM yang berlangsung baru-baru ini.

Bukan mudah mempunyai anak autisme kerana selain daripada usaha gigih golongan ibu bapa menguruskan anak-anak itu, bagaimana kerajaan dan hospital menyediakan prasarana yang cekap dan lengkap buat golongan itu juga amat penting.

Ini kerana, secara zahirnya penyediaan pengurusan kesihatan penyakit autisme di negara ini masih kurang berkembang memandangkan terdapat kes rawatan menjangkau sehingga empat tahun bagi mengesahkan status kanak-kanak itu.

Menurut Pengarah Permata Kurnia dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran, berbanding di Amerika Syarikat, ibu bapa yang bimbang anak-anak mereka menghidap autisme boleh melakukan pemeriksaan dan akan memperoleh keputusannya dalam tempoh tujuh hari, sebelum menerima rawatan dalam tempoh 30 hari selepas disahkan.

“Mendapat pengesanan awal adalah penting buat kanak-kanak autisme kerana jika lebih lama mereka tidak dirawat risiko untuk masalah autisme lebih teruk ditanggung oleh kanak-kanak itu amat tinggi.

“Keadaan di mana melambatkan proses diagnosis masih berlaku di negara ini yang seharusnya perlu ditambah baik kerana selain daripada keadaan kanak-kanak itu terganggu, perkara itu juga akan memberi kesan kepada ibu bapa.

“Ibu bapa bukan sahaja perlu tahu tentang kaedah menguruskan anak autisme, malah mereka perlu mengubah gaya hidup, aktiviti dan didikan agar anak-anak ini mendapat hak sepatutnya,” jelasnya.

Tambah Dr. Hasnah, tahap proses penyediaan perkhidmatan berkaitan dengan intervensi terhadap autisme masih rendah, memandangkan tidak banyak pusat pemulihan yang benar-benar menyediakan keperluan buat pesakit.

Selain itu, modul latihan untuk tenaga pengajar juga harus tepat dan sesuai buat anak-anak autisme agar mereka bukan sahaja dapat dibantu dalam proses pemulihan bahkan memberi kesan positif.

Bagi Ketua Jabatan Perkhidmatan Pemulihan Perubatan HCTM PPUKM, Nor Sharina Mohd. Zawawi, kebersamaan ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme dalam penyediaan pengurusan terbaik bersama pemain bidang perubatan, amat penting kerana sedikit sebanyak dapat membina keupayaan kanak-kanak tersebut.

“Selain ahli terapi yang ditempatkan di pusat pemulihan, adalah baik jika ibu bapa memohon untuk bersama-sama dengan ahli terapi agar mereka lebih tahu dan jelas tentang keadaan anak-anak autisme ini.

“Anak-anak autisme juga memerlukan masa untuk menerima diri mereka sebegitu, jadi ibu bapa individu yang paling tepat untuk berada di sisi mereka mengharungi tempoh itu agar tidak berasa terpinggir,” jelasnya.

Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan muzik angklung oleh murid-murid Pendidikan Khas Integrasi dari Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2, serta tayangan amal filem Redha.

Hadir merasmikan sambutan Hari Kesedaran Autisme 2017 tersebut, Pengarah HCTM PPUKM, Prof. Dr. Zaleha Abdullah Mahdy serta Pengurus Ronald McDonald House Charities Malaysia, Shazana Yeoh yang menyerahkan sumbangan wang sebanyak RM3,000 untuk pengurusan hospital bagi kegunaan kanak-kanak yang memerlukan.