Kecintaan yang disemai perlahan-lahan sejak diterima menjadi sebahagian daripada ‘ahli keluarga’ stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2008, kini dilihat semakin berkembang.

Siapa sangka dengan hanya berbekalkan ilmu yang dituntut di menara gading, aura yang dimiliki Tun Julia Mohd. Tahir, 35, dilihat semakin bersinar.

Malah, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak, ini juga tidak berhenti memanjatkan rasa syukur apabila hari demi hari dia belajar sesuatu yang baharu bagaimana untuk menjadi seorang pengacara yang baik.

Apabila mula berbicara mengenai kerjayanya itu, pemegang ijazah dalam bidang perkomputeran ini memberitahu, segala-galanya berlaku tanpa dirancang.

Sekadar suka-suka menghadiri sesi uji bakat sebagai pengacara program TV, Panorama, di Angkasapuri, tanpa diduga nasib menyebelahi apabila lulus sesi uji bakat tersebut.

Bagi Julia, apa yang telah dimulakan akan diteruskan dan dari saat itu bermula kehidupannya sebagai seorang pengacara.

Bagaimanapun, dia bukan sahaja menjadi seorang pengacara, bahkan bertanggungjawab menulis skrip dan melakukan penyelidikan mengenai program yang akan diterbitkan.

“Semasa uji bakat saya tidak pula diberitahu perlu menulis skrip dan perlu menjadi seorang wartawan untuk setiap program yang hendak diterbitkan.

“Agak terkejut juga. Ingatkan menjadi pengacara hanya perlu membaca laporan yang ditulis oleh orang lain, tetapi apabila difikirkan kembali tidak salah mencuba sesuatu yang baharu dalam kehidupan.

“Alhamdulillah, berkat kesabaran dan juga tunjuk ajar senior-senior dan kakitangan RTM, saya mampu bertahan sehingga hari ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menyedari seseorang pengacara itu mempunyai peranan yang amat besar untuk menarik perhatian penonton, bagi Julia, berketerampilan hebat sahaja tidak mencukupi, sebaliknya pengacara juga harus berfikiran tajam, selain mempunyai pengetahuan am yang tinggi.

Ini kerana bagi Julia, penonton di luar sana sudah bijak dalam mentafsir sesuatu perkara termasuk menilai kebolehan seseorang yang diberi peranan menjadi hos sesebuah program.

Katanya, pengacara yang baik perlulah memahami peranannya dalam sesebuah rancangan, selain perlu membuat banyak penyelidikan agar dilihat mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi.

Walaupun ibu kepada dua orang cahaya mata ini pengkhususannya lebih kepada pengiraan, Julia bagaimanapun tetap memberikan komitmen yang tinggi dengan kerjayanya hari ini yang menuntut lebih kepada pembacaan.

Menyifatkan Panorama tempat di mana dia dapat mengumpul pengalaman sebanyak mungkin dalam bidang pengacaraan dan kewartawanan, ia pastinya menjadi kenangan pahit manis yang mungkin tidak dapat dilupakan.

Sering diberikan tugasan mencabar dan yang banyak meninggalkan kesan di hati penonton, antara yang paling diingatinya ialah ketika membuat liputan di Kampung Tanduo, Lahad Datu, selepas setahun peristiwa berdarah pencerobohan kampung tersebut yang menggemparkan seluruh negara.

Kesempatan menjejaki bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Thailand juga banyak menyuntik kesedaran dalam diri, betapa hebatnya perjuangan wira-wira negara dalam mempertahan tanah air tercinta.

“Banyak pengalaman bernilai yang dikutip sejak 2008 dan antara yang berjaya menaikkan rating Panorama ialah tugasan mendekati banduan akhir dengan pelbagai kesalahan termasuk membunuh.

“Walaupun Panorama merupakan rancangan berbentuk majalah, kami tidak ketinggalan ‘menyajikan’ penonton dengan cerita-cerita berat seperti susuk, bedah siasat mayat dan menyelami kehidupan pelacur.

“Selain itu saya juga tidak ketinggalan terlibat dengan program konservasi di dalam laut yang memerlukan saya menyelam skuba dan disebabkan tugasan inilah hari ini tanpa diduga aktiviti tersebut menjadi hobi baharu saya,” katanya.

Merupakan satu-satunya pengacara wanita berhijab di dalam Panorama, Julia tidak pernah rasa terbatas dengan penampilan itu.

Malah setelah membuat keputusan untuk berhijab, dia mendapat maklum balas yang sangat positif terutama daripada penonton Panorama.

Amat bersyukur kerana diterima dengan penampilan baharunya itu, Julia juga ingin membuktikan bahawa wanita boleh melakukan apa sahaja asalkan tahu menjaga penampilan. Baginya, tiada apa yang mustahil jika ada kemahuan dan dia sentiasa positif walaupun mengakui adakalanya tugasan yang diberikan benar-benar mencabar dan menguji kemampuan.