Seperti pelanggan lain, lelaki itu datang untuk menempah sepasang batu nisan, bezanya bukan untuk waris yang telah mati tetapi untuk diri sendiri.

Beberapa kali Mohd. Azhar mengulangi pertanyaan pada pelanggan tersebut, apakah mungkin dia tersilap mengisi nama dalam borang tempahan, jawab lelaki tersebut, batu nisan itu memang ditempah untuk dirinya kerana tidak mahu menyusahkan anak perempuannya jika meninggal dunia nanti.

“Waktu itu dia seolah-olah tahu ajalnya akan tiba kerana selang beberapa bulan kemudian, saya dikhabarkan tentang kematiannya,” katanya yang mesra disapa Azhar.

Tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti itu, sedikit sebanyak dia turut terkesan dan mengingatkan dirinya bahawa kematian itu pasti bagi setiap makhluk yang bernyawa. Sewajarnya manusia perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian.

Mengusahakan perusahaan membuat batu nisan, Azhar melihat pekerjaannya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab menunaikan fardu kifayah, terutamanya apabila tidak ramai orang Islam yang berminat melakukannya secara komersial.

Meskipun begitu, dia tetap optimis dengan jalan yang dipilih walaupun ada segelintir yang melabelkan perusahaannya seolah mengharapkan kematian orang dan meraih keuntungan daripada kedukaan orang lain.

“Apabila orang memberi tanggapan sebegitu, saya hanya mampu menelan sahaja kata-kata mereka. Bagi saya, setiap batu nisan yang dihasilkan sebenarnya bukan untuk orang yang mati kerana yang menempah adalah waris si mati yang hidup.

“Mereka datang menempah pelbagai jenis batu nisan. Tidak timbul soal saya mengharapkan kematian orang lain untuk terus mendapat rezeki kerana saya menerima ‘pelanggan yang hidup’ dan saya gembira dengan tugas ini.

“Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang penting saya sudah menunaikan sebahagian daripada fardu kifayah saya,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui di kedai dan bengkel miliknya di NisanWorld.Com, Sekinchan, Selangor baru-baru ini.

Katanya, batu nisan dibeli bukan hanya kerana adanya kematian, tetapi juga diperlukan oleh waris yang mahu menggantikan batu nisan lama yang telah rosak. - Gambar MOHD . NOOR MAT AMIN

Batu nisan dijual online

Menurut Azhar, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada masyarakat sekitar Sekinchan, bahkan dia juga menerima tempahan dari luar Selangor.

Walaupun ada persaingan yang besar dalam perusahaan batu nisan, ternyata Azhar bijak mengambil peluang melalui teknologi dengan mengaktifkan laman sesawang NisanWorld.Com, untuk menerima tempahan secara online daripada pelanggan luar Selangor.

“Jika dahulu pelanggan dari jauh sukar untuk membuat tempahan tetapi dengan adanya laman sesawang, saya boleh menjadikannya sebagai mekanisme untuk berhubung dengan pelanggan yang ingin bertanya maklumat dengan lebih lanjut mengenai batu nisan yang dipasarkan,” jelas Azhar.

Katanya, setiap batu nisan biasanya mampu disiapkan dalam tempoh satu hingga dua minggu kecuali jenis kayu cengal yang mengambil masa agak lama sehingga empat minggu untuk siap.

“Ada pelanggan yang mengambil batu nisan di bengkel dan jika pelanggan luar, saya akan melakukan penghantaran melalui pos. Jika dipos, kos penghantarannya sedikit tinggi kerana perlu menimbang berat batu dan anggarannya dalam RM60 ke atas mengikut negeri,” katanya.

Sungguhpun melakukan perniagaan secara moden, Azhar tetap menitikberatkan tentang soal pembuatannya agar tiada kesilapan yang boleh berlaku terutama pada bahagian nama si mati dan tarikh kematiannya.

Selama 25 tahun menjalankan perniagaan tersebut, Azhar tidak pernah tersilap mengukir nama dan butiran si mati, namun sekiranya terdapat kesilapan daripada pihaknya, mereka bersedia menggantikan dengan yang baharu.

Dibantu tiga orang pekerja, Azhar juga menerima tempahan untuk membina binaan pusara (kepok) dengan konsep pasang siap.

Diwarisi daripada guru agama

Mengusahakan perniagaan membuat batu nisan sepenuh masa sejak tahun 1990, sangka saya perniagaan yang dimiliki Azhar diwarisi turun temurun daripada keluarganya.

Nyata telahan saya salah, sebaliknya memberitahu, dia mengambil tanggungjawab daripada guru agamanya, Allahyarham Razali Albar, yang mengusahakan batu nisan.

“Saya pernah berguru dalam ilmu tauhid bersama seorang guru agama yang saya panggil sebagai Haji Razali. Kebetulan pula dia pembuat batu nisan dan sedikit sebanyak saya turut didedahkan dengan kerja-kerja tersebut.

“Apabila Haji Razali melihat saya boleh membuat batu nisan, dia menawarkan saya untuk mengambil alih perusahaannya. Namun, waktu itu saya menolak kerana tidak bersedia, lagi pun usia saya masih terlalu muda.

“Haji Razali tidak mahu menerima alasan itu dan berkeras agar saya menyambung usahanya. Kira-kira dua bulan selepas itu, dia meninggal dunia.

“Apabila saya menjenguk ke rumahnya, saya melihat batu nisan berselerak kerana tiada siapa yang menguruskan. Kebetulan pula waktu itu seorang pelanggan datang untuk menempah batu nisan dan tidak tahu bahawa Haji Razali sudah meninggal dunia, serta merta isterinya yang ada di rumah menunjuk ke arah saya.

“Apabila difikirkan semula, saya rasa itu sebagai satu petanda untuk saya menyambung legasi Haji Razali. Lagipun, ketika itu bangsa asing yang menguasai perniagaan batu nisan, jadi kenapa tidak saya sebagai orang Islam mengusahakan perniagaan untuk orang seagama dengan saya,” katanya yang merupakan anak jati Sekinchan.

Menyambung tugas sebagai seorang pembuat batu nisan bukanlah tugas yang mudah malah, dia berasa begitu terasing jika dibandingkan dengan kerjaya rakan dan jiran yang lain.

Pada usia belasan tahun, Azhar sudah memikul tanggungjawab yang besar namun atas dasar azimat dan dorongan yang pernah dipesan gurunya, dia berjaya meletakkan perniagaan batu nisan sebagai sumber utama mata pencariannya sehingga sekarang.

Walaupun pada awal pembabitannya, dia pernah melalui kejadian yang menakutkan seperti diganggu di kawasan perkuburan ketika melakukan kerja-kerja pemasangan batu nisan, namun kini sudah lali dengan keadaan itu dan menganggapnya sekadar mainan perasaan.

Katanya, perusahaan tersebut tidak mungkin berada di tahap sekarang jika bukan kerana minat dan kesungguhan yang dipupuk sekian lama,

Dia juga perlu menjiwai pekerjaan yang jarang sekali ingin dilakukan oleh masyarakat Melayu.

Bapa kepada dua orang anak itu, bersyukur dikurniakan isteri dan keluarga yang memahami kerjayanya

Dalam pada itu Azhar berkata, dahulu batu nisan diperbuat daripada simen sahaja, tetapi kini semakin komersial sehingga muncul pelbagai jenis batu untuk dijadikan batu nisan seperti batu sungai, batu granit, batu marmar, batu tarazzo selain kayu cengal yang turut dijadikan nisan.

Katanya, walaupun batu nisan dianggap sebagai perkara yang menakutkan kerana dikaitkan dengan kematian, pelanggan hari ini bukan sahaja mahukan kepelbagaian dan aneka pilihan batu nisan, malah mereka juga inginkan yang berkualiti dan cantik.

Batu sungai yang digunakan secara meluas pada zaman dulu sebagai batu nisan juga masih mempunyai pasaran tersendiri, kerana ada yang beranggapan penggunaan batu sungai amat digalakkan dalam Islam kerana bersifat hidup dan semula jadi.

Kebanyakan pelanggan memilih batu sungai kerana mereka merujuk kepada salah satu hadis pada peristiwa ketika Nabi memacakkan pelepah tamar pada kubur sahabatnya untuk mengurangkan seksa di dalam kubur kerana semua makhluk Allah akan bertasbih.

“Saya masih mendapat permintaan untuk membuat batu nisan daripada batu sungai dan selalunya bagi memenuhi wasiat si mati yang semasa hidupnya mahu batu sungai sebagai tanda di kuburnya.

“Fungsinya tetap sama seperti batu nisan lain tetapi batu sungai bersifat semula jadi tanpa perlu kita ubah suai bentuk asalnya. Bezanya, batu sungai akan ditebuk untuk melekatkan jubin maklumat si mati seperti nama dan tarikh kematian.

“Namun, sekarang batu sungai semakin sukar diperoleh dan terdapat larangan mengambil batu-batu dari sungai sebagai langkah memulihara alam sekitar,” katanya.