“Jika kita berserah 100 peratus kepada Allah, setelah berusaha dan berdoa kepada Allah, insya-Allah, rezeki terus mencurah seperti yang dijanjikan.” Inilah yang menjadi pegangan pengasas Siti Khadijah (SK), Padzilah Enda Sulaiman yang memulakan perniagaan ini sejak 2009.

Awalnya, anak kelahiran Sungkai, Perak ini hanya memasarkan 200 pasang telekung sahaja. Malah dia tidak pernah bermimpi menjadi seorang usahawan jahitan namun kuasa Allah, dia mampu memperoleh pendapatan lumayan daripada kerjaya tersebut.

Siapa sangka, suri rumah sepenuh masa ini kemudiannya secara berperingkat-peringkat menjalankan kerja rekaan telekung yang menekankan keselesaan dan mengkomersialkannya. Ini semua dilakukannya kerana minat yang mendalam. Pada masa yang sama, Padzilah sentiasa melakukan inovasi dan penambahbaikan terhadap rekaan-rekaannya dengan cuba memahami kehendak pelanggan dan pasaran.

Berbekalkan ilmu jahitan yang sedikit, Padzilah mengorak langkah menjahit telekung. Walaupun tanpa mempunyai ilmu perniagaan, dia yakin untuk memasarkan telekung yang dijahit kerana ia adalah satu keperluan Muslimah.

Pada 2009, Padzilah mula membuat penyelidikan dan kajian mengenai jahitan telekung. Dia mahu jahitannya diterima pelanggan dan berjanji akan melalui segala dugaan demi memastikan impiannya untuk memberikan keselesaan kepada Muslimah berjaya.

“Saya menjahit sehingga pukul tiga pagi kerana nekad untuk mengkomersilkan telekung. Saya hanya mempunyai masa pada waktu tersebut kerana pada waktu siang saya menguruskan keluarga kerana saya hanya seorang suri rumah.

“Saya mahu tanam dalam hati nurani setiap individu khususnya wanita, apabila mencari telekung, maka telekung jenama SK yang akan menjadi pilihan dan meniti bibir mereka,” kata ibu kepada enam anak lelaki ini.

Tambahnya, dalam perniagaan bukan semua orang berani melabur tetapi berjaya atau tidak soal kedua, yang penting kita mencuba. Begitu juga dengan produk SK walaupun macam-macam orang perkatakan tetapi dia hanya mendengar dan berdiam sahaja. Hakikatnya, dia cuba dan berani serta menanggung setiap yang dilakukan. Perkara paling penting, Padzilah tidak akan berpatah balik.

“Kadangkala saya perlu mengetepikan itu semua dan menjadikannya sebagai pendorong untuk berusaha dan mengorak langkah leih jauh. Apabila sudah terjun dalam perniagaan, adakalanya saya mesti tolak tepi kata-kata berunsur negatif dan boleh mematahkan semangat, tanam azam, berdoa dan bertawakal. Insya-Allah kita akan dapat apa yang kita usahakan,” ujarnya.

Mengimbas kembali, perniagaannya lapan tahun lalu, dia pernah memanjat tangga-tangga beberapa agensi pelancongan di Kuala Lumpur dan Terengganu yang menyediakan pakej umrah dan haji. Namun, agensi-sgensi tersebut tidak menerima telekungnya.

“Saya mengambil inisiatif mengiklankan telekung saya di media elektronik dan cetak. Alhamdulillah, dalam masa beberapa hari sahaja, kesemua telekung habis dijual sama ada di butik dan online (talian),” ujarnya.

Kini SK telah berjaya merangkul beberapa anugerah antaranya tangga keenam dalam anugerah E50 daripada 10 yang teratas dan turut menerima Anugerah Usahawan Wanita. Baru-baru ini, SK menerima dua anugerah iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital (PKS) Patuh Syariah 2017, Bank Islam-Utusan.

Dalam pada itu, Padzilah turut melancarkan buku Lambang Cinta Abadi yang mengisahkan latar belakang kehidupannya daripada kecil hingga tercetus idea menghasilkan telekung. Buku tersebut boleh didapati di kesemua 19 cawangan butik SK atau melayari laman sesawang www.sitikhadijah.com dengan harga RM24.90 sahaja.