Mereka diarahkan oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Rahim Noor untuk melakukan satu lagi misi penting iaitu membantu Cawangan Khas Sarawak membawa keluar pengganas komunis daripada Parti Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) yang beroperasi di hutan tengah daerah Sarawak sekali gus memastikan mereka meletak senjata.

Ini kerana selepas Perjanjian Haadyai ditandatangani pada 1989, kerajaan mahu pergerakan komunis dihapuskan sepenuhnya di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Misi tersebut dinamakan Operasi Chien Meh atau Paraku II.

Setibanya di Kuching, mereka berpecah. Sebahagian anggota Pasukan F mengikut Zahaliman ke Baram, Miri sementara Kenny dan anggota Pasukan F lain menuju ke Kanowit.

Di hutan Kanowit, Kenny perlu berhadapan dengan Ketua Paraku, Hung Chu Ting untuk meyakinkannya menyerah diri sementara Zahaliman pula akan membawa keluar pengikut-pengikut pengganas komunis itu di kawasan Baram.

Sebenarnya, Chu Ting pernah menyerah diri semasa Operasi Sri Aman atau Paraku I di Sarawak pada tahun 1973 dan ketika itu dia merupakan timbalan kepada Ketua Paraku, Bong Kee Chok.

Bagaimanapun tiga tahun selepas itu, Chu Ting masuk semula ke hutan kerana masih mahu meneruskan perjuangan komunis dan menjadi Ketua Paraku.

Dia mengumpul semula pengikut dan hidup mewah di dalam hutan dengan memeras wang tauke-tauke balak di Sarawak.

Selepas pengganas komunis meletak senjata di Semenanjung, Cawangan Khas Sarawak turut mengadakan perbincangan dengan Paraku agar mereka juga berbuat demikian namun perkara itu tertangguh kerana mereka tidak berpuas hati dengan syarat yang diberikan kerajaan.

Oleh itu, Pasukan F telah dihantar untuk membantu mempercepatkan proses peletakan senjata Paraku dan Kenny telah dipilih untuk berunding dengan Chu Ting dan dia diminta pergi ke hutan Kanowit bersama seorang detektif Cawangan Khas dikenali sebagai Lim (bukan nama sebenar) yang pandai berbahasa Cina serta mahir mengendalikan alat komunikasi.

Untuk sampai ke Kanowit mereka perlu menaiki penerbangan ke Sibu dan kemudian menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke pekan daerah itu. Sesampainya di sana mereka perlu menumpang lori balak untuk masuk ke dalam hutan yang perjalanannya memakan masa kira-kira lima jam.

Kenny dan Lim tiba di dalam hutan pada pukul 3 petang dan sebaik sahaja turun dari lori balak, mereka ditinggalkan sementara menunggu kedatangan wakil pengganas komunis daripada Paraku.

Akhirnya selepas dua jam menunggu seorang pengganas komunis yang lengkap beruniform muncul dan membawa Kenny serta Lim berjalan kaki menuju ke kem Paraku dan tiba sejam kemudian.

Berjumpa Chu Ting

Jam menunjukkan pukul 7.30 petang. Suasana hutan yang gelap gelita bertukar terang dengan cahaya pelita dan unggun api sebaik sahaja Kenny dan Lim tiba di kem Paraku.

Kenny dan Lim disambut oleh Chu Ting yang kemudiannya mempelawa mereka minum teh.

Walaupun hanya berdua, Kenny bertawakal agar tugas yang diamanahkan berjalan lancar.

Selepas menghabiskan teh, Kenny terus memulakan bicara dengan Chu Ting yang fasih berbahasa Melayu Indonesia.

Ketua pengganas komunis itu yang sebelum ini telah berurusan dengan Cawangan Khas Sarawak meminta agar mereka dibenarkan menyimpan sejumlah senjata selepas menyerah diri seperti yang pernah disuarakan sebelum ini.

“Tidak boleh. Tapi saya tolong dapatkan selepas mereka bersetuju meletak senjata,” helah Kenny yang kemudian meminta Chu Ting menunjukkan jumlah senjata milik Paraku di kem tersebut.

Dia kemudian mengira senjata itu dalam samar cahaya pelita minyak tanah. Selepas selesai meninjau senjata Chu Ting meminta Kenny dan Lim duduk di tempat yang disediakan kerana mereka akan mengadakan sedikit jamuan sempena kedatangannya.

Walaupun ragu-ragu, Kenny akur dan langsung tidak menunjukkan rasa takut di hadapan Chu Ting.

Mereka kemudian dijamu dengan nasi berlauk sardin dan buah-buahan import selain dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan gendang dalam bahasa Cina.

Penat berhibur, kesemua pengganas komunis itu mula berehat. Kenny dan Lim disuruh tidur di tempat yang disediakan namun mereka tidak dapat melelapkan mata dan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Ini kerana Chu Ting dan pengikut-pengikutnya masih berjaga dan sedang berbincang sesuatu dalam keadaan resah seolah-olah sukar untuk membuat keputusan.

Selepas lima jam ‘tidur-tidur ayam’ Kenny dan Lim bangun apabila menyedari kumpulan pengganas komunis itu mula menyediakan sarapan pagi.

Paraku letak senjata

Selepas minum, Chu Ting meneruskan perbincangan dengan Kenny dan selepas kata putus dibuat akhirnya dia bersetuju untuk menyerah diri bersama pengikut-pengikutnya serta meletakkan senjata.

Chu Ting juga menghubungi pengikut-pengikutnya di Baram agar menyerah dengan pasukan F yang diketuai Zahaliman.

Kenny dan Lim gembira dan mengucap syukur kerana perbincangan berjaya dilakukan tanpa menggunakan senjata dan kekerasan.

Selepas semua persediaan dibuat, Kenny menghubungi Cawangan Khas memaklumkan kejayaan itu dan meminta mereka membuat persediaan kerana pasukan Chu Ting akan meletak senjata.

Dengan bantuan pasukan tentera kesemua pengganas komunis di Kanowit dan Miri dibawa keluar bersama kelengkapan senjata dan komunikasi mereka dengan trak. Kesemua mereka yang berjumlah 59 orang dibawa ke Kuching.

Kenny dan Pasukan F pula pulang semula ke Kuala Lumpur dengan kejayaan yang besar. Selepas itu, satu perjanjian damai ditandatangani pada 17 Oktober 1990 dan pada 3 November 1990 semua senjata, peluru dan bahan letupan dimusnahkan.

Kejayaan Operasi Paraku sekali gus menamatkan era pengganas komunis di bumi Malaysia sehingga ke hari ini.