Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Nur Fatin ‘syurga’ Sa’riah dan Roslan

Sa'ariah Saad bersama anaknya Nur Fatin 3
Sa'ariah Saad bersama anaknya Nur Fatin Salwani Roslan yang menghadapi penyakit "Cerebral Palsy" sewaktu di temubual di kediamannya di Pangsapuri Rimba seksyen 16.

Mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) tidak menghalang Sa’riah Saad, 50, dan Roslan Dahari, 49, untuk terus tersenyum, bahkan hidup gembira seperti ibu bapa lain yang mempunyai anak normal.

Menganggap segala yang berlaku adalah ujian dan takdir Maha Pencipta, tidak pernah terdetik rasa kesal memiliki Nur Fatin Salwani Roslan, 10, yang diserang sawan sejak usianya setahun.

Nur Fatin Salwani yang dilahirkan normal seperti bayi lain, ketika kecil diserang sawan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kerosakan saraf dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada lima jenis ubat setiap hari bagi mengelakkan serangan berkenaan.

Kini, menjadi rutin pasangan suami isteri itu setiap bulan membawa Nur Fatin Salwani ke hospital ekoran kekerapan serangan sawan, namun mereka tetap berdoa kanak-kanak itu akan sembuh juga satu hari nanti.

Ujar Sa’riah, setiap kali melihat anaknya diserang sawan, hatinya luluh, namun apakan daya, dia juga tidak dapat melawan keadaan yang berterusan berlaku sejak 10 tahun lalu.

Menurut wanita itu, Nur Fatin Salwani tidak mengalami sebarang demam panas seperti kebanyakan kanak-kanak yang menghidap Cerebral Palsy, namun dia dilahirkan tidak cukup bulan iaitu ketika berusia lapan bulan dalam kandungan.

“Semasa mengandungkannya, tiada apa yang pelik berlaku cuma uri saya songsang dan dia dilahirkan awal sebulan.

“ Pun begitu dia normal ketika dilahirkan, namun perkembangan otaknya sedikit perlahan dan ketika memasuki umur setahun dia mula diserang sawan yang teruk sehingga ke hari ini,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Rimba, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Ujar Sa’riah, Nur Fatin Salwani ketika ini perlu menggunakan tiub yang dipasang dari hidung ke perutnya untuk minum susu khas dan tiub berkenaan perlu ditukar dua kali dalam tempoh sebulan agar tidak dijangkiti kuman.

Mengakui Nur Fatin Salwani merupakan seorang kanak-kanak yang manja dan suka diberi perhatian, Sa’riah dan Roslan sering meluangkan masa bergurau mahupun berbual dengannya setiap hari.

“Walaupun tidak dapat bercakap, namun dia dapat memahami dan tahu kita sedang bercakap mengenainya. Ada ketika dia merajuk kerana merasakan orang sedang mengata keadaan dirinya.

“Memang saya teringin dengar dia bercakap tetapi melihatnya tersenyum dan memberi respon melalui mata, itu sudah cukup buat saya kerana ketika dia berumur dua tahun, kami sempat mendengar dia memanggil mak dan abah. Pada kami, itu sudah memadai melepaskan rasa rindu pada panggilan itu,” ujar Sa’riah sebak.

Nur Fatin Salwani merupakan anak ketiga pasangan itu, manakala dua lagi kakaknya berusia 17 tahun dan 16 tahun merupakan anak normal.

Jelas Sa’riah, ketika ini hanya suaminya yang bekerja dan mencari pendapatan untuk menyara mereka lima beranak dengan gaji sebagai pengawal keselamatan sebanyak RM1,000 sebulan.

Akuinya, seringkali mereka terputus sumber kewangan jika keperluan terhadap Nur Fatin Salwani mendesak, terutama ketika berulang-alik ke hospital. Namun mereka tiada pilihan dan perlu menggunakan duit yang ada dengan sebaiknya.

“Setiap bulan, kira-kira RM700 kos diperlukan untuk menguruskan anak ini dan selebihnya untuk membayar sewa rumah dan kegunaan lain. Kalau ikutkan memang tidak cukup, tetapi kami bersyukur dengan apa yang ada.

“Saya tidak pernah meratapi kekurangan ini kerana yakin di luar sana masih ramai yang menanggung kesusahan lebih dahsyat. Apa yang merisaukan, bagaimana keadaan anak ini jika ditakdirkan kami tiada satu hari nanti,” katanya.

Ketika ini, Nur Fatin Salwani hanya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan masih mengharapkan bantuan lain seperti zakat serta Baitulmal untuk keperluan susu khas yang mencecah RM76 setin dan lampin pakai buang agar dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung setiap bulan.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan