“Usaha pertama saya untuk menubuhkan perniagaan sendiri bermula pada 2004. Selepas sepuluh tahun berkecimpung dalam dunia perbankan, saya begitu teringin untuk berniaga sendiri, mempunyai produk dan jenama sendidri,” katanya.

Dek kerana minatnya dalam bidang fesyen tangan terutama tas tangan, Nisa terbang ke Itali mencari tenaga produksi untuk menghasilkan koleksi beg jenama sendiri. Akhirnya, terciptalah Zelucci yang berjaya dijual di Harrods London. Lebih membanggakan, stok begnya habis dijual dalam masa enam bulan.

Demi mendapatkan peluang memasuki ruang niaga Harrods, Nisa menyertai persidangan perniagaan di luar negara. Daripada persidangan itu, dia berpeluang bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Harrods dan seterusnya bergelar anak Malaysia pertama memasarkan produk di gedung beli-belah terkemuka dunia itu.

Biarpun Zelucci terpaksa dihentikan lantaran masalah pengilang yang menutup operasi, pengalaman itu penting buat Nisa khususnya tentang perniagaan.

Hasratnya untuk membawa nama Malaysia tidak terhenti di situ sahaja. Isteri bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Zinin ini kini lebih dikenali dalam bidang masakan.

Bermula dengan minat mendalam dan gemar memasak sendiri ketika melancong mendorongnya serius menceburi bidang itu termasuk membuka restoran, Serasi Cafe di Petaling Jaya, awal tahun lalu.

Memasang strategi untuk mengembangkan perniagaan dalam dunia masakan, beliau yang mempunyai produk kambing salai bercadang memasarkannya ke Dubai, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau juga akan terbabit mengendalikan beberapa program masakan di rangkaian televisyen Dubai dalam usahanya mempromosikan makanan, kemahiran, ilmu dan resipi masakan Melayu kepada masyarakat antarabangsa.

“Saya memang minat memasak sejak kecil dan apabila remaja saya luaskan pengalaman dengan belajar memasak daripada buku resepi. Apabila ada rakan-rakan yang suruh saya memasak, saya tidak membantah sebaliknya seronok. Ketika memasak, keihklasan itu hadir dalam diri dan mulalah kita akan mendoakan yang baik-baik untuk ahli keluarga, rakan mahu pun tetamu yang menikmati hidangan itu nanti. Sekurang-kurangya biarlah mereka puas dan seronok dijamu. Ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan sesama keluarga atau rakan-rakan,” katnaya.

Melihat bakat dan minatnya yang suka memasak, rakan-rakan mula menyarankannya membuat buku masakan. Daripada situlah timbul idea untuk membuat pes masakan termasuk kari dan asam pesas. Minat tersebut diperluaskan dengan pembukaan restoran yang sentiasa mendapat sentuhan air tangannya.

Ditanya tentang perkembangan kerjayanya di luar negara, dia mahu jenama makanan popular negara seperti asam pedas dan pelbagai menu kari termasuk kambing salai untuk dijadikan produk makanan bertaraf global. Terbaru dia menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Agroworld Channel Sdn Bhd. Menerusi MOU itu, pihaknya akan memasarkan produk kambing salai di Dubai, hujung tahun ini manakala di United Kingdom dan Amerika Syarikat, pertengahan tahun depan.

Nisa juga terpilih dalam kalangan cef profesional untuk menyertai program diploma dikelolakan Persatuan Kebangsaan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM), di University Jaen, Sepanyol, bulan lalu. Pemilihan itu memberi peluang beliau memasak di restoran yang dimiliki cef selebriti dari negara itu, Cef Antonio.

“Saya mahu mengharumkan nama negara dan menggalakkan wanita lain mengembangkan perniagaan sama secara serius,” katanya.

Dalam pada itu, Nisa merancang mengembangkan perniagaan dalam bidang masakan dengan mengeluarkan produk berasaskan barangan berkaitan kulinari seperti barang perkakas dapur. Tidak ketinggalan, Nisa mahu berkongsi inspirasi, cita-cita dan misinya bersama wanita-wanita Malaysia melalui program ceramah dan motivasi.