Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Misi bantuan kemanusiaan ke Kemboja

Kerja-kerja membina telaga bagi membekalkan air bersih kepada 3
Kerja-kerja membina telaga bagi membekalkan air bersih kepada penduduk kampung.

PERkembangan yang cukup membanggakan apabila misi-misi amal membabitkan kumpulan pelajar atau pertubuhan kecil, mampu melangkaui batas sempadan negara, bangsa dan agama.

Itu juga yang berjaya dibuktikan oleh kumpulan 43 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pendidikan dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengikuti program Khidmat Komuniti Sosial dan Misi Bantuan Kemanusiaan ke Kampung Keh, di daerah Tek Chi, Wilayah Kompot, Kemboja baru-baru ini.

Dengan matlamat memupuk rasa kecintaan dan kebersamaan sesama insan, program yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan yang pertama membabitkan misi ke luar negara.

Diadakan susulan daripada kejayaan beberapa program amal anjuran FPE di dalam negara, misi amal ke Kemboja itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), dan Jabatan Mufti Kemboja.

Menurut Pengarah Program, Mohd. Nizam Diran, program amal sebegini berupaya memberikan pengalaman yang sangat berharga dalam mendekati saudara-saudara seagama yang sangat memerlukan bantuan.

Melibatkan peserta dan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, tambahnya, antara kerja-kerja kebajikan yang diberikan tumpuan ialah menyumbang satu rumah satu kelengkapan solat, satu murid satu kelengkapan sekolah dan satu rumah satu set barang dapur.

Selain itu, sumbangan pakaian baharu dan terpakai, pembersihan dan keceriaan masjid serta kawasan perkuburan, perkongsian pengalaman dalam bidang keusahawanan, pendidikan, dan cabaran semasa dengan guru-guru di sana.

“Kami memilih Kampung Keh kerana di wilayah Kompot terdapat sebuah sekolah yang mengguna pakai buku teks JAIS dari darjah satu hingga empat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Khmer.

“Selain itu, program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Pengarah JAIS, Datuk Haris Kassim serta Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Islam, Muhammad Amir Danuri, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Mufti Kemboja.

“Selain memberikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan, kami juga membina telaga di kampung tersebut daripada dana sumbangan rakyat Malaysia,” ujarnya ketika ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut, Mohd. Nizam menjelaskan, misi amal tersebut dilakukan tepat pada waktunya memandangkan masih ramai umat Islam di Kemboja yang memerlukan bantuan dari segi makanan, rawatan kesihatan dan pendidikan.

Anak-anak di situ juga memerlukan galakan motivasi dan khidmat kaunseling untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Kami juga berpeluang berkongsi ilmu keusahawanan dengan penduduk kampung dengan harapan dapat membuka jalan untuk mereka meningkatkan taraf hidup melalui perniagaan secara kecil-kecilan.

“Sebelum meninggalkan kampung tersebut kami juga mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan dan mengecat bangunan sekolah di tiga kampung berdekatan,” katanya.

Selain itu, Mohd. Nizam berkata, satu rumah satu dapur merupakan agihan sumbangan barangan dapur yang berupa makanan kering kepada 50 rumah penduduk yang beragama Islam atau asnaf.

Agihan makanan dilakukan melalui sistem kupon yang telah ditentukan lebih awal oleh pihak masjid. Satu rumah satu kelengkapan solat pula merupakan agihan sumbangan kelengkapan solat seperti telekung, sejadah, kain pelikat, surah Yasin dan Ma’thurat.

Selain sumbangan berbentuk barangan dan wang tunai, Mohd. Nizam memberitahu, pihaknya turut mengadakan bengkel kemahiran mengajar yang bertujuan membantu guru-guru agama di sana menggunakan pelbagai kaedah dan teknik mengajar.

“Untuk bengkel kemahiran mengajar, kami berkongsi bentuk dan modul pendidikan yang diguna pakai di Malaysia.

“Begitupun, perbezaan kemudahan pendidikan di Kemboja bukanlah halangan untuk mereka (guru-guru di Kemboja) mendidik anak-anak tempatan maju dalam kehidupan,” katanya.

Walaupun program ini merupakan program amal pertama yang dilakukan di luar Malaysia, ia berjaya mencapai matlamat asal dan pastinya setiap peserta berpuas hati kerana segala sumbangan telah dapat disampaikan dan disalurkan.

Pada masa sama, ia mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara mahasiswa UPSI dengan penduduk Islam Kemboja.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan