Tidak siapa mahu berpisah terutama yang membabitkan rumah tangga, namun andai sudah suratan takdir, mahu tidak mahu terpaksa juga diterima.

Walau masalah menimbun, hati terluka dan jiwa merana, kerana sayang ditahan juga. Tapi sampai bila? Mampukah hati melihat sandiwara dunia berterusan sedangkan jiwa terus terseksa?

Inilah mukadimah cerita saya minggu ini. Buat teladan pembaca yang budiman. Kisah yang diceritakan oleh Hanim (bukan nama sebenar) kepada saya.

Ini ceritanya.

“Saya berusia awal 40-an, bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kecantikan yang popular. Suami saya seorang pegawai bank, kami dikurniakan dua orang anak, yang sedang meningkat remaja.

“Usia perkahwinan kami menjangkau 20 tahun. Satu tempoh yang cukup membahagiakan saya. Suami seorang yang penyayang dan bertanggungjawab. Makan pakai dan kebajikan saya dan anak-anak tidak pernah terabai.

“Sayangnya rumah tangga kami diuji dengan kehadiran orang ketiga. Orang ketiga ini bukan kekasih gelap suami tetapi ibunya sendiri. Saya tahu mungkin ramai yang akan kata saya menantu yang tidak baik. Tidak sesuai dengan mentua tetapi saya mempunyai pandangan berbeza.

“Tidak ada menantu yang mahu bermusuh dengan mentua. Jauh sekali untuk merampas kasih sayang anaknya, tetapi itu yang berlaku dalam hidup saya sejak 20 tahun lalu. Saya simpan semua perasaan kerana hendak menjaga hati suami.

“Pada masa yang sama saya belajar untuk memujuk hati saya supaya berbaik sangka dengan mentua. Saya tolak perasaan marah dan benci dengan perangainya demi menjaga hati suami. Banyak perkara yang mentua buat sehingga saya makan hati, tapi saya simpan. Suami juga tidak tahu.

“Ibu mentua saya seorang wanita yang tidak faham perasaan orang lain terutama saya sebagai menantu bongsunya. Dia sangat sayangkan cucu-cucunya tetapi setelah 20 tahun dia masih tidak dapat menerima kenyataan suami saya sudah ada isteri dan anak-anak.

“Mentua tinggal bersama saya sejak kami kahwin. Ini kerana suami saya anak bongsunya. Konon dia tidak serasi tinggal dengan anak-anak lain walaupun dia ada empat lagi anak, dua perempuan dan dua lelaki.

“Bila mentua tinggal serumah faham-faham sahajalah macam mana keadaannya. Sebagai isteri dan menantu, saya kena mengalah. Semua perkara dia nak campur. Dia buat macam rumah sendiri walaupun dia tahu itu rumah anaknya yang telah berkahwin dan ada isteri dan anak-anak.

“Semua perkara dalam rumah kami dia yang tentukan. Dari barang dapur, perhiasan dalam rumah sampailah apa yang kami harus buat setiap hujung minggu dia juga yang aturkan. Tidak boleh bantah walau kita tidak suka.

“Saya tidak ada privacy sebagai isteri dan ibu. Dua puluh empat jam kena ikut arahannya. Jika tidak, alamat satu rumah akan kecoh. Dari kami suami isteri bergaduh, lebih baik saya diamkan sahaja. Ikut arus….

“Mungkin ramai dalam kalangan pembaca bertanya, kenapa sekarang baru saya hendak bercerita. Sebabnya mentua saya telah mencadangkan supaya suami saya bernikah satu lagi. Kali ini dengan wanita yang dia berkenan. Ada kaitan keluarga dengan suami.

“Kononnya sebab dia kasihankan suami yang selalu saya tinggalkan kerana bekerja. Sedangkan kami baik-baik sahaja. Suami tahu kerja saya dan saya juga faham kerja dia. Tidak ada masalah sejak 20 tahun lalu. Dan mentua pun tahu hal itu. Hari-hari dia tengok bagaimana kehidupan kami.

“Malah mentua tanpa rasa bersalah mempelawa wanita itu datang ke rumah kami semasa saya dan suami keluar bekerja. Bayangkan perasaan saya bila dapat tahu perkara itu. Tergamak dia mengguris hati saya.

“Bila saya tanya siapa yang datang, mentua buat selamba sahaja macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Mujur biras saya, isteri kepada abang ipar saya (abang suami) beritahu perkara sebenar. Jika tidak, saya tidak akan tahu rancangannya.

“Alasannya sebab budak perempuan itu pernah menaruh hati dengan suami saya. Sampai sekarang dia tidak kahwin kerana tunggu suami saya. Logikkah alasan itu? Satu lagi alasan, sebab dia (mentua) hendak sambung balik silaturahim dengan keluarga budak perempuan itu. Alasan yang tidak boleh saya terima.

“Saya beritahu suami akan perkara ini. Dia juga terkejut kerana dia tidak tahu langsung tentang rancangan ibunya. Kami bersemuka dan suami bertanya terus kepadanya. Dia mengaku yang dia mahu suami saya kahwin lain.

“Terkejut suami dengan permintaan maknya. Apalagi berlaku pertengkaran antara ibu dan anak. Saya duduk di tengah -tengah, tidak tahu apa nak kata. Ditelan mati mak, diluah mati mak.

“Selepas mendengar keputusan suami yang menolak kehendaknya, mentua saya menangis dan terus masuk bilik. Siap dia marah-marah saya. Kata saya yang hasut suami supaya jangan ikut cakap dia. Macam-macam lagi yang dia tuduh saya sedangkan anak dia sendiri yang buat keputusan tanpa saya hasut.

“Dua hari saya tidak berjumpa mentua kerana dia berkurung dalam bilik. Hari ketiga apabila balik dari kerja, saya tidak mendengar suara mentua.Bila saya buka pintu bilik dan buka almari,saya dapati semua pakaiannya sudah tidak ada. Mentua saya lari tinggalkan rumah kami.

“Dia merajuk agaknya. Puas saya dan suami cari akhirnya kami dapat tahu dia balik kampung. Duduk di rumah arwah bapa mentua tinggalkan untuk dia. Puas dipujuk dia tidak mahu datang lagi ke rumah saya. Sampai hari ini, sudah empat bulan berlalu.

“Adakah tindakan suami dan saya satu dosa? Saya minta Allah ampunkan dosa-dosa saya kepada mentua. Bukan niat saya buat begitu kepadanya. Saya harap mentua akan ampunkan dosa-dosa saya. Semoga dia sihat selalu dan dilindungi Allah SWT. Saya harap satu hari nanti dia akan sedar dan kembali tinggal bersama kami. Saya sayang dia, sayang macam mak kandung sendiri. Saya hanya tidak setuju dengan cara dia. Semoga Allah mendengar doa dan harapan saya,” kata Hani menamatkan ceritanya.

Nasihat saya, cubalah Hani pujuk mentua. Jangan putus asa. Tidak rugi pun mengalah. Kalau 20 tahun boleh bersabar, tentu sekarang juga boleh. Mungkin dia ada sebab berbuat demikian. Jangan ikut rasa, ajak suami berbincang dengan harmoni bersama mentua. Insya-Allah, Allah akan bantu.

Menamatkan catatan, pesanan saya, apa pun yang terjadi dengan keluarga, hargailah dia seperti mana kita menghargai syurga yang ada di hadapan. Air dicincang tidak akan putus. Kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya saudara berkorban rasa.

Salam