Jika tidakpun dari orang luar, keluarga sendiri yang menjadi punca. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.

Demikian mukadimah kisah saya minggu ini. Menarik kisahnya, pergolakan antara menantu dan mentua yang sangat sulit untuk diselesaikan.

Kita ikuti kisah ini, kiriman Jaja (bukan nama sebenar) kepada saya.

“Saya berusia awal 50-an, bersuami dan mempunyai tiga orang anak dan tiga orang cucu. Anak sulung dan kedua, lelaki telah berkahwin. Sementara yang bongsu masih di kolej.

“Kedua-dua menantu saya adalah pilihan anak saya sendiri. Sebagai ibu bapa, kami menurut sahaja kehendak anak-anak, asalkan serasi dengan mereka. Kita sebagai orang tua hanya mampu berdoa.

“Saya sayang semua anak menantu saya, apatah lagi cucu-cucu. Menantu sulung sangat pendiam, rajin ke dapur dan hormatkan saya. Menantu kedua agak ramah, kurang ke dapur, lebih suka bersembang dan menonton televisyen. Ada sahaja cerita dia.

“Saya tidak memburukkan anak menantu sebab saya terima mereka seadanya tetapi terkilan dengan sikap menantu kedua saya. Saya namakan dia sebagai Ann (bukan nama sebenar)

“Seperti yang saya kata, Ann suka bersembang dan bercerita. Macam-macam dia cerita, dari bab artis, muzik, filem hinggalah kepada rumah tangga. Ada sahaja yang dia hendak ceritakan. Kadang kala sampai saya rimas dengan sikap dia.

“Dan saya pula dengan anak menantu tidak pernah nak sembunyikan apa-apa hal keluarga. Tujuannya supaya mereka sama-sama merasakan apa yang kita ada. Niat saya supaya anak menantu merasa mereka sebahagian daripada kita.

“Ceritanya begini. Saya baru selesai ubah suai rumah. Banyak jugalah berhabis duit. Sebab nak rumah yang selesa untuk anak menantu. Supaya apabila berkumpul, masing-masing ada tempat untuk berehat dan lepak.

“Saya sediakan satu bilik seorang dan satu bilik tamu. Ruang tamu juga agak luas. Nak bagi anak cucu lebih santai dan seronok, sambil lepak tengok rancangan televisyen apabila berkumpul.

“Kami suami isteri tidak pernah rahsiakan apa-apa dari anak-anak dan menantu. Biar anak-anak tahu. Tapi tak sangka pula keikhlasan saya itu digunakan oleh Ann untuk memberi laporan kepada mentua saya.

“Rupa-rupanya, selama ini dia yang jadi spy mentua saya. Semua yang berlaku dalam rumah kami, mentua saya tahu. Saya beli apa dan berapa jumlah ubah suai rumah pun dia tahu.

“Ini menyebabkan mentua bermasam muka dengan saya dan mengatakan saya menghabiskan duit anaknya. Pada hal, kami berkongsi duit untuk mengubah suai rumah tersebut.

“Macam-macam mentua saya kata, rumah dah cantik, nak besarkan lagi. Nak buat itu ini. Membazir sahaja katanya. Selama ini, mentua tuduh 
saya kawal suami sehinggakan suami terlalu mendengar 
cakap saya, macam kena queen control.

“Pada hal, sebelum ini kami baik-baik sahaja. Tak pernah 
ada masam muka. Mentua 
layan saya elok. Tapi sejak Ann masuk dalam keluarga kami, hubungan saya dengan mentua agak dingin.

“Bila saya tanya adik ipar saya kenapa mak dingin dengan saya, katanya mak kecil hati sebab kakak buat rumah baharu. Melancong sana sini. Banyak habiskan duit abang. Terkejut saya apabila dia bagi tahu Ann yang selalu cerita dengan mentua saya.

“Saya perlu betulkan keadaan. Saya tegur Ann. Saya tanya kenapa lagakan saya dengan nenek. Dia kata dia tak bagi tahu. Tapi hanya bercerita semasa sembang. Anak saya pula terasa hati sebab tuduh isterinya tidak elok perangai. Dia kata saya pilih kasih antara menantu. Saya jadi serba salah. Pada hal, anak saya tidak faham yang isteri dia yang buat hal dahulu.

“Saya ceritakan dengan suami. Minta dia campur tangan dan bercakap dengan maknya. Tapi biasalah anak lelaki…, mana mahu susahkan hati mak dia. Saya faham keadaan itu, tetapi bimbang perkara ini akan berlarutan.

“Saya tidak mahu hubungan dengan mentua berlarutan sebab sebelum ini, kami sangat rapat. Saya kesal dengan sikap 
menantu saya. Sejak dia masuk dalam keluarga saya tiga tahun lalu, macam-macam perkara berlaku.

“Dia macam suka melaga-lagakan saya dengan mentua, ipar duai semua. Dia mereka- reka cerita dan memburukkan kami suami isteri. Habis hal keluarga kami dia cerita dengan mentua.

“Diceritanya yang saya 
suka berbelanja. Buang duit dengan membeli sesuatu yang tidak berfaedah. Pergi jalan 
sana sini. Bagi saudara mara saya pinjam duit. Beli barang mahal.

“Mentua saya pula percaya yang saya menghabiskan duit anaknya. Tapi dia tidak tahu saya pun ada duit, pencen dan simpanan saya masih ada. 
Saya tak harapkan duit suami dan anak menantu untuk berbelanja.

“Saya sangat sedih, ditelan mati mak, diluah mati bapak. Hati suami, anak, mentua nak jaga tetapi hati saya, siapa pun tidak ambil tahu.

“Akhirnya saya buat keputusan bersemuka dengan menantu. Saya ceritakan semua yang saya tahu tentang hal dia memburukkan saya. Pada mulanya, dia tidak mengaku, tapi setelah saya desak, akhirnya dia mengaku.

“Saya ada bukti apa yang dia ceritakan kepada keluarga mentua saya. Dia tidak dapat mengelak lagi. Anak saya, 
juga tidak dapat membela 
lagi isterinya. Mentua saya mengaku dia tahu semua itu 
daripada Ann.

“Saya tidak marah, tetapi saya terkilan dengan perbuatan Ann. Sampai hati dia buat macam itu, pada hal baharu tiga tahun dia menjadi ahli keluarga kami.

“Saya bagi amaran supaya dia berubah kalau tidak mahu saya bertindak lebih jauh. Syukur 
dia sedar dan minta maaf. Katanya, dia tidak ada niat nak lagakan saya dengan mentua tetapi mereka yang selalu bertanya.

“Apapun saya bersyukur kerana dia mula sedar dan mahu berubah. Walaupun hubungan dengan mentua agak dingin sejak kebelakangan ini, saya berdoa supaya semuanya pulih seperti sedia kala.

“Perkara ini menjadi pengajaran dalam hidup saya. Insya-Allah, semoga keluarga saya ini akan terus dilimpahi rahmat dan hidayahNya. Apa yang berlaku saya anggap sebagai ujian Allah untuk kami muhasabah diri,” kata Jaja menamatkan ceritanya.

Itulah lumrah kehidupan. 
Kita tidak akan menyangka 
apa yang berlaku, walau nampak remeh ia mungkin penyebab berlaku perkara yang lebih besar sehingga memutuskan silaturahim keluarga.

Alhamdulillah, Jaja cepat bertindak, beri peluang kepada menantu untuk berubah. Mungkin dia belum matang. Bimbing dan tegurlah dengan baik.

Menamatkan catatan, pesanan saya, jiwa yang tenang datang dari kehidupan yang juga tenang.

Salam