Industrinya berkembang sejajar keperluan melahirkan sebuah masyarakat berdaya saing dalam pelbagai bidang.

Pertubuhan Perunding Latihan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin) adalah antara pergerakan yang berperanan memacu perkembangan industri tersebut.

Bertepatan dengan namanya, pertubuhan itu fokus melahirkan perunding latihan dan pakar motivasi yang mematuhi syariah.

Tamrin melangkah setapak lagi dengan strategi pembaharuan terhadap program di bawahnya.

Pembaharuan tersebut diperkenal pada pelancaran perdana pertubuhan itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Antara yang hadir Presiden Tamrin, Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad; Timbalan Presiden, Fadzli Yusof; Naib Presiden, Mary Anni Masarip dan Setiausaha Agung, Amin Idris.

Tengku Asmadi ketika ditemui berkata, peranan pertubuhan tersebut berkembang sejak diwujudkan pada 2007.

Katanya, Tamrin kini semakin ke hadapan dalam merencana pelbagai program untuk melahirkan perunding latihan dan pakar motivasi berkebolehan, berintegriti serta berkualiti.

“Sebagai contoh, Akreditasi Trainer Muslim menjadi salah satu usaha pertubuhan ini dalam mengiktiraf perunding latihan dan pakar motivasi berkebolehan. Di bawah program ini, mereka yang berbakat akan ditauliahkan sebagai Tamrin Akreditasi Profesional.

“Selain itu, kami juga melaksanakan Train The Trainers, sebuah program khusus untuk melahirkan lebih ramai perunding latihan dan pakar motivasi muslim di negara ini,” katanya.

Dalam majlis tersebut, laman web baharu Tamrin juga diperkenal. Bercakap tentang itu, Tengku Asmadi berkata, laman tersebut kini lebih bersifat komprehensif, interaktif dan mesra pengguna.

“Menerusi www.Tamrin.org, pengunjung berpeluang mengakses maklumat tentang pertubuhan ini termasuk senarai perunding latihan dan pakar motivasi berdaftar, isu terkini berkaitan industri serta isu semasa.

“Pembaharuan ini selari dengan keadaan masa kini yang menyaksikan penguasaan teknologi secara besar-besaran terhadap masyarakat. Justeru kami mahu platform maya dimanfaatkan sebaiknya demi perkembangan industri ini,” katanya.

Majlis yang berlangsung selama tiga jam itu turut diisi dengan beberapa sesi menarik termasuk diskusi yang menampilkan Tengku Asmadi, Amin dan Fadzli berbicara tentang kepentingan ilmu dalam mencetus potensi ummah.

Selain itu, tetamu diberi kesempatan merakam kenangan bersama ahli panel pada akhir acara.