Bukan sahaja bergelar huffaz tetapi anaknya iaitu Muhammad Aiman Muhammad Salmi, 32; Muhammad Syamil Muhammad Salmi, 31; Muhammad Ifran Muhammad Salmi, 30; Muhammad Farhan Muhammad Salmi, 27; dan Muhammad Suhayl Muhammad Salmi, 25, juga berjaya dalam karier masing-masing apabila bergelar peguam syariah, doktor pakar mata, doktor pakar bedah, pengarah urusan dan jurulatih motivasi.

Mendidik seorang anak lelaki sudah cukup mencabar apatah lagi lima anak lelaki yang sudah pasti berdepan dengan pelbagai kerenah.

Namun, bagi Siti Nadzrah, saat memutuskan untuk mendirikan rumah tangga, dia sudah merencanakan keluarga bagaimana yang dimahukan bersama suami, Dr. Mohammad Salmi Mohd. Sohod, 55.

Mengakui bukan berasal daripada keluarga yang mempunyai latar belakang agama yang kuat, Siti Nadzrah hanya berpeluang mendalami ilmu agama ketika menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Carleton, Ottawa, Kanada, ketika berusia 17 tahun, malah saat pertama kali berhijab juga adalah ketika mahu menaiki kapal terbang ke negara itu.

Memilih untuk berkahwin ketika tahun akhir pengajian, wanita itu dikurniakan seorang anak lelaki setahun kemudian sebaik pulang ke Malaysia. Dia mengambil keputusan untuk bergelar suri rumah walaupun hati membuak-buak untuk bekerja kerana melihat rakan-rakan lain sudah mula bekerjaya. 

Pun begitu, dia telah membuat kata putus sejak pada awal perkahwinan bahawa akan menumpukan sepenuh perhatian buat anaknya.

“Sebaik saya melahirkan anak pertama, saya sudah tahu apa yang saya mahu lakukan kepada anak saya. Disebabkan kehadiran anak kedua dan ketiga saya selang setahun seorang, memudahkan urusan dan perancangan yang saya buat bersama suami bagaimana mahu mendidik anak-anak ini.

“Dalam konsep keluarga ini, saya bertanggungjawab menjaga anak-anak dan suami pula merupakan individu yang perlu keluar mencari rezeki. Biarpun ketika itu kewangan kami tidak kukuh sehingga ada ketika perlu berjimat-cermat dalam banyak perkara, namun kami tidak pernah berputus asa.

“Memberikan pendidikan yang terbaik menjadi perkara utama dalam keluarga ini dan ketika melahirkan anak ketiga, saya sempat bekerja sambilan sebagai penterjemah untuk menampung pendapatan keluarga demi menyediakan yang terbaik buat anak-anak.” katanya yang berasal daripada Batu Pahat, Johor.

Tidak pernah memaksa pilihan hidup anak-anaknya untuk bergelar huffaz, Siti Nadzrah memberitahu, sejak kecil dia dan suami menerapkan biah soleh (persekitaran yang baik) bermula dari rumah agar anak-anak terbiasa dengan persekitaran begitu yang menyuntik unsur-unsur yang baik di dalam sikap mereka.

Solat berjemaah, membaca al-Quran, memperdengar ayat-ayat suci al-Quran ketika di dalam kenderaan serta membaca tafsir bersama-sama telah menjadi rutin harian buat seluruh keluarga itu. Malah untuk melahirkan persekitaran yang baik, gambar yang diletakkan di dinding juga dititikberatkan.

Percaya pada konsep anak sulung perlu berjaya untuk membolehkan dia menjadi contoh kepada adik-adik, Siti Nadzrah bersyukur kerana percaturan itu membuahkan hasil.

Ini apabila anak sulungnya, Aiman Salmi, membuat keputusan untuk memasuki Maahad Tahfiz sepenuh masa selepas tamat ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan berjaya menghafal 30 juzuk dalam tempoh 10 bulan.

Apa yang membanggakan ibu ini, jejak langkah Aiman Salmi diikuti adik-adik yang lain tanpa paksaan dan kesemua mereka menjadi huffaz ketika berusia 16 tahun, malah ada yang mampu menghafal 30 juzuk dalam tempoh lima hingga lapan bulan berserta dengan terjemahan ayat.

Ditanya adakah dia tidak berdepan dengan cabaran, Siti Nadzrah tersenyum lebar dan mengakui mustahil tidak berdepan dengan cabaran dan ujian.

“Sebagai ibu bapa tidak sah kiranya tidak berdepan dengan cabaran untuk membesarkan anak-anak. Untuk melahirkan anak yang cemerlang sudah pasti jalannya juga berliku, namun hasilnya amat berbaloi,” katanya yang sejak kecil gemar menyuap makan anak-anak menggunakan tangan bukannya sudu kerana menyifatkan perkara itu amat diberkati dalam mendidik anak-anak. - Gambar AZRUL EDHAM

Martabatkan huffaz melalui Profazz

Frasa lonjakan kehidupan Siti Nadzrah berubah sedikit demi sedikit apabila dia mula dikenali apabila sering diperkenal sebagai ibu yang melahirkan lima anak huffaz  profesional atau lebih dikenali sebagai Profesional Huffaz (Profazz), dalam kalangan kenalan ketika bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kehebatannya dalam mendidik anak menarik minat ramai, yang menjemputnya berkongsi pengalaman sehingga akhirnya dia mengambil keputusan untuk bergiat secara serius dalam menyebarkan ilmu kepada masyarakat.

Bermula daripada perkongsian dalam kalangan kelompok kecil, akhirnya Siti Nadzrah bersama anak-anaknya menghasilkan modul keibubapaan yang lebih lengkap dan seterusnya membawa kepada penubuhan Profazz Holdings Sdn. Bhd. pada tahun lalu, merangkumi projek-projek kendalian Profazz Training & Consultancy, Profazz Media dan Profazz Sales & Services.

Menurut Suhayl Salmi,  syarikat tersebut bermula dengan penganjuran Program Intensif Teknik Hafazan Profazz (Petah), iaitu perkongsian teknik hafazan  diasaskan oleh Dr. Syamil Salmi (anak kedua) yang berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam masa lima bulan.

Ekoran sambutan menggalakkan, sebuah buku bertajuk 10 teknik hafazan Profazz pula diterbitkan iaitu daripada siri buku Membina keluarga Profazz dan Membina Keluarga Profazz 2.

“Tidak terhenti di situ, sebagai langkah serius merealisasikan hasrat membina masyarakat Profazz, kami menubuhkan Akademi Profazz yang merupakan sebuah wadah sokongan untuk menterjemahkan pendidikan Profazz merangkumi modul program pembangunan al-Quran, hafazan, kemahiran, jati diri dan motivasi.

“Bermula dengan kelas di rumah, kini kami telah mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Shah Alam, Negeri Sembilan dan Bangi dengan latar belakang tenaga pengajar yang bukan sahaja bergelar huffaz tapi mempunyai kerjaya profesional.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan seorang huffaz tetapi juga mereka yang menghafal al-Quran dan berakhlak seperti ajaran al-Quran,” kata Suhayl Salmi yang akan menyambung legasi ibunya.

Paling takut perasaan riak

Tiga puluh tahun lalu, Siti Nadzrah tidak pernah terfikir untuk dikenali seperti ini, malah jika ada sesuatu yang ingin disampaikan dan dikongsi, dia lebih gemar menulis di laman blog yang ketika itu hanya diketahui dan dibaca oleh anak-anaknya.

Namun, siapa sangka penulisannya itu turut menarik ramai pembaca senyap yang rupa-rupanya turut menyimpan keinginan sama untuk melahirkan anak-anak huffaz. 

Rentetan itu, Siti Nadzrah mula berkongsi di laman media sosial Facebook satu persatu tentang kejayaan anaknya itu sehingga mendapat perhatian masyarakat.

 Dia mengakui pada awalnya amat takut untuk berkongsi tentang perjalanan hidupnya kerana bimbang dikatakan riak.

“Masih segar pada fikiran saya ketika itu saya memberitahu anak saya tentang situasi berkenaan. Ketika itu, Irfan Salmi membacakan sepotong ayat dari surah Dhuha yang bermaksud: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepada-Nya,” membuatkan saya tersedar. Dari situ saya dan anak-anak mengambil keputusan untuk berkongsi ilmu yang ada.

“Lebih 30 tahun saya ‘menyembunyikan’ kisah anak-anak ini, namun saya fikir sudah tiba masanya saya berkongsi dengan masyarakat, bukan untuk menunjuk kehebatan saya atau anak-anak tetapi demi memartabatkan golongan hufazz selain melahirkan lebih ramai golongan ini pada masa depan,” jelasnya.