Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Macam mimpi berada depan Kaabah

ALOR GAJAH, 14 Ogos 2017 - Zarifah Zahraa Sabri, 11, tetap ceria 3
Zarifah Zahraa Sabri, 11, tetap ceria bermesra bersama kedua ibu bapanya di Rumah Awam Sungai Petai

“Saya menangis kerana rasa terharu dapat berdoa di hadapan Kaabah. Macam berada dalam mimpi. Antara yang saya minta, semoga Allah sembuhkan penyakit yang saya hidapi ini, dapat berjalan semula, sihat dan dapat ke sekolah seperti dahulu.”

Itulah doa dan harapan Zarifah Zahraa Zamry, 11, di hadapan Kaabah ketika berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan umrah pada 16 Mei sehingga 27 Mei lalu.

Ditemani ibu, Hasnilah Abdullah, 48, dan bapa, Zamry Abd. Rasip, 49, Zarifah Zahraa memberitahu, kesempatan itu diambil dengan rasa amat syukur kerana itulah doanya setiap hari sebelum tidur iaitu untuk ke Tanah Suci bersama ibu dan ayahnya dikabulkan Tuhan.

Penantian Zarifah Zahraa, seorang pesakit barah otak, untuk menunaikan umrah tercapai apabila impian gadis kecil ini direalisasikan oleh Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), dalam satu pertemuan pada 28 April lalu di kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

“Alhamdulillah, sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak Malakoff yang Zarifah Zahraa berpeluang mengerjakan umrah, dalam masa lebih kurang dua minggu kami membuat persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Pada awalnya bimbang juga dengan keadaan kesihatannya memandangkan anak kami akan berada di dalam kapal terbang yang sudah tentu melibatkan tekanan di kepala.

“Kami juga khuatir sekiranya di sana, Zarifah Zahraa akan berhadapan dengan masalah kesakitan yang serius, kerana dia sebelum ini pernah menjalani pembedahan di kepala dan kemoterapi sebanyak 10 kali dan radioterapi sebanyak 33 kali, namun dia seorang anak yang amat cekal dan bersemangat.

“Dengan izin Allah, di sana Zarifah Zahraa ternyata lebih sihat, sehinggakan dia mampu untuk berdiri sendiri untuk melihat Kaabah dari dekat, biarpun sebelum ini segala pergerakannya perlukan bantuan dan memerlukan kerusi roda untuk bergerak.

“Dia juga setiap masa ke masjid dan rajin beribadah. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar di sana,” kata Hasnilah mengenai keadaan anaknya itu di Mekah ketika ditemui di rumahnya di Alor Gajah, baru-baru ini.

Zarifah Zahraa, anak bongsu daripada enam orang adik-beradik, dikesan menghidap kanser otak sejak dua tahun lalu, apabila dia tiba-tiba jatuh di sekolah dan terus dikejarkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut ayahnya, pada mulanya mereka ingatkan hanya tumor, selepas pemeriksaan lanjut selama tiga minggu dan setelah menjalani imbasan CT Scan, anaknya disahkan menghidap kanser di pangkal otak.

Pada tahun lepas sahaja, dia telah menjalani empat kali pembedahan dan pernah diserang sawan selepas hari kedua menjalani pembedahan.

Kata Zamry, selepas itu anaknya itu mula menampakkan perubahan apabila sudah tidak boleh berjalan kerana tiada imbangan badan, selalu muntah, pandangan kabur, tangan tidak boleh digerakkan, sukar bercakap dan tidak boleh menguruskan diri sendiri dan akhirnya terlantar.

“Disebabkan itu, saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak saya ini sepenuh masa sepanjang dua tahun ini. Saya membantu isteri yang mengusahakan kuih-muih sejuk beku yang dijual kepada jiran tetangga.

“Dari situlah kami mendapat sedikit duit untuk perbelanjaan, rawatan susulan dan membeli lampin pakai buang Zarifah Zahraa,” katanya yang turut menghantar anaknya ke sekolah khas Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM).

Sambung Hasnilah, masa dia bersama suami banyak dihabiskan di hospital menemani anaknya ketika menjalani rawatan sama ada di hospital, Hospital Alor Gajah mahupun Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan, fisioterapi dan rehabilitasi.

Sebagai ibu, dia melihat Zarifah Zahraa adalah seorang anak yang kuat semangat dan tidak mudah mengaku kalah.

Kini, anaknya semakin pulih dan boleh berdiri sambil dipegang oleh ayahnya. Ingatannya juga semakin pulih sedikit demi sedikit, selain sudah boleh mewarna gambar, aktiviti yang digemari ketika sihat dahulu.

“Terima kasih kepada pihak Malakoff yang memberi peluang kepada Zarifah Zahraa dan kami mengerjakan umrah dengan menawarkan pakej yang terbaik.

“Saya juga bersyukur kepada Allah kerana memberikan rezeki dan peluang kepada anak kami, selain memudahkan setiap bantuan yang dikehendaki.

“Semoga doanya untuk kembali sembuh seperti sediakala akan dimakbulkan Allah,” katanya.

Selain Zarifah Zahraa, Malakoff turut menaja Mohamad Uthman Mohamad Saiful, 7, seorang lagi pesakit kanser otak untuk mengerjakan umrah, berserta wang tunai RM2,000 dari Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan sumbangan peribadi Idris Haron.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan