Keberaniannya memarahi dan menghalau dua askar Israel yang datang ke rumah, seterusnya menampar dengan kuat muka salah seorang daripada mereka, akhirnya menjadikannya sebagai salah seorang daripada tahanan di dalam penjara Israel.

Ahed adalah salah seorang daripada ramai remaja dan kanak-kanak Palestin yang kini dikurung dan menderita di dalam penjara hanya kerana kesalahan yang tidak jelas dan terlalu kecil seperti membaling batu, menerkam atau melawan askar Israel.

Bayangkan sejak 1987, Israel telah menahan seramai 800,000 orang Palestin yang mana 95,000 daripadanya adalah kanak-kanak.

Mereka ditangkap tanpa belas kasihan, disiasat seperti penjenayah, diseksa, dikurung di dalam bilik gelap, diberi makanan basi dan dipenjarakan di dalam sel yang sama dengan tahanan dewasa.

Menurut Bendahari Pertubuhan Viva Palestina Malaysia, Puan Seri Norma Hashim, mungkin selama ini ramai tidak mengetahui mengenai penderitaan kanak-kanak dan remaja Palestin yang dipenjarakan.

Katanya, Ahed telah membuka mata dunia yang mula melahirkan simpati terhadap remaja ini.

Personalitinya yang menarik dan kelihatan seperti remaja Barat membuka ruang pada hati masyarakat Barat untuk mengakui akan kezaliman Israel.

“Pada 2017 sahaja seramai 1,500 orang kanak-kanak Palestin telah ditahan di penjara Israel. Ahed telah ditahan di Penjara Wanita Hasharom. Di Israel, kanak-kanak yang berumur 14 tahun boleh dijatuhi hukuman sama seperti dewasa.

“Seorang lagi kanak-kanak, Ahmad Manasrah, 14, telah dihukum penjara selama 12 tahun atas tuduhan menyerang askar dengan pisau. Dengan jumlah kanak-kanak yang disebutkan di atas, ada yang meninggal dunia di dalam penjara dan ada yang mengalami kemurungan.

“Semua luahan hati tahanan kanak-kanak yang telah dibebaskan ini diceritakan kepada seorang wartawan Palestin, Fayhaa Shalash dalam sebuah buku berjudul Dreaming of Freedom,” kata Norma.

Buku yang disunting oleh Norma itu mengisahkan 24 orang kanak-kanak yang telah dibebaskan dari penjara Israel bagi mengetahui pengalaman dan penderitaan mereka di penjara.

Jelasnya, Dreaming of Freedom telah dilancarkan di London pada Februari tahun lalu. Pada 3 Januari baru-baru ini, salah seorang ahli Kongres Amerika, Betty McCollum telah mencadangkan rang undang-undang bagi menghalang penggunaan hasil kutipan pembayar cukai daripada menyokong penahanan kanak-kanak Palestin.

Buku ini juga adalah dalam senarai judul buku bacaan bagi penulisan hak asasi manusia di Universiti Hawaii, Amerika Syarikat.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membaca buku Dreaming of Freedom ini, Norma sangat mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menterjemahkan ke bahasa Melayu.