Kapal itu dilepaskan ke laut buat pertama kalinya sebelum ditauliah dan diserahkan kepada TLDM pada April 2019.

Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mencemar duli menyempurnakan upacara tersebut.

Acara bersejarah tersebut turut disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir.

Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd. (BHIC), Datuk Seri Ahmad Ramli Mohd. Nor berkata, apabila ditauliahkan nanti, kapal itu akan menjadi kapal kombat terbesar dalam armada TLDM.

“Pelepasan LCS ke dalam laut buat pertama kali menandakan satu detik penting dalam pembinaan kapal ini. Kami melalui perjalanan yang panjang, rumit dan mencabar untuk sampai pada peringkat ini.

“Antara paling sulit ialah menggabungkan sistem di atas kapal bagi menepati spesifikasi ditetapkan oleh TLDM,’’ katanya.

Tambah Ramli, projek itu melibatkan permindahan teknologi secara menyeluruh daripada Naval Group (DCNS) kepada BN Shipyard dan beberapa syarikat tempatan.

LCS pertama itu dibina oleh BN Shipyard, anak syarikat Boustead Holding Berhad dan syarikat sekutu (BHIC) dengan kos RM1.5 bilion.

“Insya-Allah, kapal LCS pertama ini akan diserahkan kepada TLDM setelah menjalani proses ujian di pelabuhan, laut serta ujian tembakan,’’ katanya.

Tambahnya, semua kapal kelas pejuang itu akan dinamakan bersempena nama tokoh-tokoh pejuang tersohor tanah air yang memimpin perjuangan rakyat menentang penjajah.

Katanya, apabila diserahkan kelak, kapal akan dilengkapi dengan keupayaan peperangan empat dimensi serta sistem terkini untuk menghadapi ancaman elektronik, udara, permukaan dan bawah laut.