Malah dia juga berpengalaman didatangi pihak atau individu yang memohon sumbangan dalam bentuk wang tunai bagi meringankan beban kos rawatan.

Dari situ timbulnya idea untuk menubuhkan The Hope Factory, sebagai salah satu usaha untuk memupuk nilai memberi dalam kalangan masyarakat.

Dia menggabungkan prinsip keusahawanan dan kebajikan dengan memberi kuasa kepada pengguna membuat pendirian mengenai perubahan sosial yang mereka mahukan.

“Kami mendidik orang ramai tentang kesusahan yang ditanggung oleh orang keliling mereka akibat beban ekonomi sekarang.

“Dengan menggantikan sesetengah barangan harian yang digunakan, tanpa disedari sebenarnya mereka telah memberi manfaat kepada orang lain yang kurang bernasib baik.

“Kami sedar kebanyakan daripada kita mempunyai niat murni untuk membantu golongan yang memerlukan tetapi tidak tahu platform yang boleh disalurkan, atau bagaimana mahu bermula.

“Jadi di sinilah peranan The Hope Factory, yang membuatkannya unik.

“Produk pertama kami ialah botol air mineral Quench, yang penghasilannya adalah untuk menggalakkan perubahan sosial dalam enam bidang kritikal di negara ini.

“Quench adalah air mineral pertama di negara ini yang dijual bertujuan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat terutama mereka yang memerlukan.

“Kami sekadar pemudah cara. Dengan hanya membeli air mineral ini, orang ramai dapat membantu kami mengubah kehidupan rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, dengan setiap pembeli air mineral Quench, The Hope Factory akan mengambil pulangan jualan sebanyak 15 peratus untuk disumbangkan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

NGO tersebut meliputi enam kategori iaitu penjagaan perubatan, perlindungan kanak-kanak, perlindungan gelandangan, pendidikan kanak-kanak, pembasmian kemiskinan dan kelaparan, serta perlindungan haiwan terbiar.

Menurut Tengku Munazirah, buat masa ini The Hope Factory bekerjasama dengan pelbagai sektor korporat yang membeli air mineral Quench sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, untuk dibekalkan dalam acara-acara rasmi.

Jelasnya lagi, setakat ini mereka turut menjual air mineral tersebut di restoran, gimnasium, dan sekolah bagi menggalakkan lagi orang menyumbang tanpa mereka sedari.

“Bezanya air mineral ini dengan jenama lain ialah pada objektifnya yang tersembunyi, iaitu menyumbang kembali kepada masyarakat. Pembungkusannya juga menarik dan mempunyai mesej kesedaran pada setiap botol.

“Apabila mereka membeli air mineral ini, secara tidak langsung mereka menyedari bahawa wujud masalah-masalah dalam kalangan masyarakat.

“Dari situ kita boleh meningkatkan kesedaran untuk mereka ‘peduli’ dengan hal-hal yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya yang meletakkan harga antara RM1.80 ke RM2.00 bagi setiap botol yang dijual.

Selain jualan air mineral, The Hope Factory juga mengadakan pelbagai program bersama syarikat korporat, pelajar, dan sukarelawan untuk mengadakan aktiviti kebajikan dengan tujuan mengumpul dana.

Antara pihak yang pernah bekerjasama adalah Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Mutiara International Grammar School, Kebab Turki Baba Rafi, Xclusive Fitnesz, dan banyak lagi.

“Saya berharap modul perniagaan ini akan memberi manfaat kepada masyarakat dalam pelbagai cara yang berbeza dan pada masa yang sama membantu mewujudkan kesedaran terhadap penderitaan yang berlaku dalam masyarakat.

“Kami juga mahu menggalakkan generasi muda dan syarikat korporat prihatin terhadap isu-isu sosial dan seterusnya sama-sama berganding bahu untuk menubuhkan sebuah negara maju yang harmoni,” katanya mengakhiri perbualan.

Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.thehopefactory.com.my.