Setelah urusan daftar masuk rombongan kami seramai 30 orang bersiap-siap untuk perlepasan. Tepat jam 11.35 malam pesawat Turkish Airlines berlepas ke Istanbul dan selamat mendarat jam 5.15 pagi di Lapangan Terbang Ataturk Istanbul.

Hari Isnin 18 September, setelah sarapan di Qua Hotel, kami memulakan perjalanan ke Bursa. Setiba di Bursa, kemi menyusuri perkampungan tradisi orang Turki Cummalikizik Village yang masih mengekalkan cara hidup dan bangunan sejak zaman pemerintahan Uthamaniyyah.

Kemudian menziarahi Ulu Cami Grand Mosque yang dibina pada tahun 1399 oleh Sultan Bayezid I, Green Mosque dan Green Mausoleum. Pada lewat petang kami daftar masuk dan makan malam di Baia Hotel.

Hari kedua, setelah sarapan pagi dan daftar keluar hotel, kami meneruskan perjalanan ke Pamukkale. Kawasan pergunungan ini terkenal dengan Cotton Castle, kawasan teres air panas berwarna putih di lereng bukit.

Kami dapat merasakan kenyamanan air panas dengan merendam kaki. Di puncak bukit pula terdapat peninggalan kota lama iaitu Ancient Hierapolis yang wujud sebelum pemerintahan Byzantine. Antara peninggalan lain ialah Gates of Hell, Theater, Cleopatra’s Pool dan Roman bath.

Kami daftar masuk dan makan malam di Ninova Thermal Hotel.Pada hari ketiga setelah sarapan pagi dan daftar keluar hotel, kami bertolak ke Konya. Daerah ini terkenal dengan Wherling Dervish dan hikayat ahli sufi Nasreddin Hoca. Kami melawat ke Mevlana Museum yang dahulunya pusat keagamaan dan pembelajaran ahli sufi era pemerintahan Seljuk Turks dan Uthmaniyah.

Kemudian kami singgah sebentar di Ancient Caravanserai yang merupakan hotel para pedagang Laluan Sutera. Kami meneruskan perjalanan ke Cappadocia untuk daftar masuk di Gold Yildrim Hotel.

Setelah solat subuh pada hari keempat, kami bersiap-siap untuk naik belon udara panas. Bayaran yang dikenakan ialah AS$220 seorang. Kami dapat menikmati keindahan bumi Cappadocia iaitu bumi lembahnya yang indah hasil daripada letusan gunung berapi jutaan tahun lalu.

Kemudian kami ke Uchisar Village atau Uchisar Castle di mana penduduk tempatan menebuk dan mengukir batuan menjadi rumah seperti dalam filem The Flinstones. Kami mengabadikan foto berlatarbelakang Mount Aktepe.

Seterusnya kami ke Avanos Pottery Village yang menghasilkan tembikar tradisional Turki dan ke butik barang kemas berasaskan batu turquoise serta Silk Carpert Factory yang terkenal dengan kehalusan dan kualiti permaidani buatan tangan. Pada lewat petang kami ke Piegeon Valley iaitu batuan yang diukir lubang untuk burung merpati dan ke penempatan awal bawah tanah orang Kristian di Serhatli Underground City.

Esoknya setelah sarapan pagi dan daftar keluar hotel, kami menuju ke Ankara. Kami singgah di tasik air masin Tuz Golu, antara yang termasin di dunia. Setelah solat dan makan tengah hari, kami ke Ataturk Mausoleum yang merupakan kompleks makam Mustafa Kamal Ataturk yang menempatkan koleksi peribadinya.

Pada lewat petang kami menuju ke Bolu dan seterusnya daftar masuk di Von Club Abant Hotel. Suhu di sini agak sejuk sekitar 10 Celcius. Hari seterusnya setelah sarapan pagi dan daftar keluar hotel, kami menuju ke Istanbul. Setelah makan tengah hari, kami membeli belah barangan kulit seperti jaket dan beg tangan di Leather Outlet Center.

Seterusnya ke Sultan Ahmad Mosque atau lebih terkenal dengan nama Blue Mosque.Kemudian kami ke Spice Bazar yang merupakan pasar terbaik untuk merasai makanan tradisional Turki seperti Turkish Delight dan Baklava. Akhir sekali kami ke Taksim Square, di sini terdapat banyak restoran dan kedai jenama barangan terkenal. Setelah makan malam di restoran makanan cina kami mendaftar masuk di Ramada Golden Horn Hotel.

Hari terakhir di Turki. Setelah daftar keluar hotel jam 11.00 pagi kami ke Grand Bazar yang wujud sejak tahun 1455. Di sini terdapat lebih 3,300 buah lot kedai menjual pelbagai jenis barang seperti cenderamata. Setelah solat kami makan di Warung Nusantara, restoran makanan Indonesia.

Pada jam 5.00 petang kami bersiap-siap menuju ke Lapangan Terbang Ataturk untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur jam 1.30 pagi 26 September. Kami selamat tiba di KLIA tepat jam 5.00 petang.

Panduan melancong ke Turki:

Pilih musim yang sesuai sama ada musim bunga, luruh, panas atau sejuk.

Bawa mata wang USD atau Lira Turki (tukar di Malaysia). Tanya harga barang sama ada dalam USD, Euro atau Lira Turki.

Bawa sos cili atau sambal kering/ikan bilis untuk menambah selera makanan.

Tandas awam berbayar termasuk di luar masjid TL1.

Harga barang di luar Grand Bazar lebih murah. Harga boleh ditawar sehingga 20 peratus.

Jangan layan orang yang mengajak belanja anda minum. Silap-silap anda kena bayar sehingga AS$1,000. Ramai penipu berkeliaran di Istanbul, terutama waktu malam.

Ada kemudahan wifi dalam bas dan di hotel. Tetapi sukar mendapatkannya di Lapangan Terbang Ataturk.

Merokok adalah perkara biasa bagi wanita termasuk bertudung.