HUSHIM SALLEH
HUSHIM SALLEH

Mungkin ada yang menyifatkan kes-kes bunuh diri dalam kalangan remaja bukan satu perkara baharu dan dianggap sebagai kes terpencil.

Malah, sebelum ini perbuatan membunuh diri turut dipaparkan di media massa akibat mangsa mengalami kekecewaan yang amat sangat dalam hal-hal berkaitan gagal peperiksaan dan percintaan.

Waima apa pun, ia sesuatu yang mengejutkan apabila ada antara anak-anak remaja, mahupun kanak-kanak yang tergamak hendak mengambil nyawa sendiri kerana mengalami kemurungan kerana berhadapan dengan masalah berat termasuk hal keluarga dan perbalahan ibu bapa.

Mungkin kita merasakan ungkapan yang diucapkan oleh kanak-kanak terbabit mungkin tidak membawa erti kepada mereka, hakikatnya sudah banyak kes terjadi apabila golongan remaja dan kanak-kanak di peringkat umur 12 hingga 18 tahun berhadapan dengan kes ingin cuba membunuh diri hanya kerana mengalami masalah keluarga.

Ini diutarakan oleh pakar motivasi kekeluargaan, Hushim Salleh, yang mengetengahkan kes-kes yang ditangani hasil daripada sesi kaunseling di kliniknya yang menyifatkan cubaan dan mahu bunuh diri dalam kalangan remaja disebabkan kegagalan fungsi keibubapaan dalam kalangan masyarakat Melayu amat membimbangkan.

“Ada kes yang melibatkan remaja yang hendak bunuh diri kerana dikatakan bapanya tidak bercakap dengannya sejak enam bulan kerana terlalu sibuk dengan kerja dan terlalu pentingkan diri.

“Baru-baru ini, saya berhadapan pula dengan seorang remaja berusia 14 tahun yang sudah banyak kali bercakap mahu membunuh dirinya kerana rasa tertekan dan kemurungan kerana menyaksikan ibu dan ayahnya berpisah.

“Mungkin ada antara kanak-kanak yang menjadikan ungkapan bunuh diri sekadar untuk menggambarkan ketidakpuasan hati, kehampaan dan kehancuran serta kekecewaan yang amat sangat.

“Malangnya, mungkin mereka sendiri tidak mengetahui apakah bunuh diri itu dan sampai setakat mana kefahaman mereka mengenai ungkapan itu, dan apakah mereka akan melakukannya,” katanya.

Jelas Hushim, sebab itulah, sebelum berkahwin, ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan dan selepas menimang cahaya mata, mereka perlu belajar bagaimana untuk mengubah karakter diri yang negatif demi hubungan dengan anak-anak.

Tegasnya, anak-anak yang berumur satu hingga tujuh tahun amat memerlukan kasih sayang, komunikasi dan berinteraksi dengan ibu bapa mereka bagi membentuk tingkah laku anak-anak.

Apabila berumur lapan hingga 12 tahun, mereka perlukan kasih sayang dan ketika ini perlu diajar ilmu dunia serta akhirat, manakala ketika berumur 13 hingga 18 tahun, golongan ini memerlukan kasih sayang dan perlu dijadikan ‘kawan’ oleh ibu bapa mereka.

Sebaliknya, sekarang usia remaja banyak dihabiskan masa dengan bermain gajet dan kurang komunikasi dengan ibu bapa.

Lebih malang apabila ibu bapa sendiri berhadapan dengan masalah perubahan sosial sehingga membawa kepada cerai-berai.

Kata Hushim, kesibukan kerja menjadikan ibu bapa mudah meletakkan tanggungjawab ke atas anak-anak, seolah-olah tidak mempedulikan mereka, bersikap lepas tangan, acuh tak acuh serta merasakan anak-anak sudah besar dan boleh berdikari sendiri.

Hakikatnya, pada waktu ini mereka memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapa.

“Ini kerana, sekiranya hujah mereka tidak diberikan perhatian, golongan ini akan mencari keseronokan di luar rumah, melakukan aktiviti yang tidak sepatutnya, sehingga boleh terjebak ke dalam pelbagai gejala sosial.

“Apabila mereka sudah teruk, ibu bapa pula marah dan enggan peduli. Ketika inilah, anak-anak merasakan sudah tiada erti untuk hidup dan enggan meneruskan kehidupan,” katanya.

Seharusnya, ibu bapa perlu tahu perubahan tingkah laku anak-anak. Bagi mengetahui sikap anak-anak, ibu bapa perlu mempunyai ilmu keibubapaan yang tinggi dan ini sebenarnya tidak cukup hanya menerusi kursus perkahwinan yang dianjurkan dua hari untuk mendidik anak-anak.

Tambahan, menjaga anak-anak pada hari ini sangat mencabar kerana berhadapan dengan gaya hidup yang penuh keterbukaan.

Ini menjadikan anak-anak semakin agresif dan mempunyai pandangan sendiri serta mahu bebas. Ibu bapa pula sangat sibuk dengan pekerjaan dan tiada masa berkualiti bersama anak-anak.

Apabila segalanya disandarkan pada gajet, nilai komunikasi dalam keluarga semakin terhakis antara ibu bapa dan anak-anak dan kurangnya kasih sayang.