Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ibu nekad larikan anak kerana agama

keluarga

DALAM alam perkahwinan campur tidak semuanya berakhir dengan kebahagiaan dan tidak semua menanggung penderitaan. Sama seperti perkahwinan sesama kaum, ada yang berakhir dengan kebahagiaan tak kurang juga ramai menderita. Semuanya terpulang kepada kebijaksaan si nakhoda mengendalikan kapalnya, berjayakah dia mengharung gelombang serta rebut taufan yang sentiasa menghempas kapal atau sebaliknya. Begitulah adat berumahtangga. Ada yang berbahagia, ada yang menderita.

Minggu ini saya bawakan sebuah kisah tentang perkahwinan campur yang diceritakan oleh peminat DCCK, Puan Norhana yang kisahnya pernah dipaparkan di ruangan ini kira-kira lebih 20 tahun lalu. Tetapi kali ini Norhana ingin menceritakan pengalaman pahit yang dilalui oleh kawan baiknya Juliana yang berkahwin dengan seorang jejaka warga asing tetapi akhirnya terpaksa lari meninggalkan suaminya balik ke Malaysia bersama anak kecilnya, dengan niat ingin selamatkan agama anaknya. Itu cerita Norhana dalam e-mel pendeknya dan ketika kami berbual panjang di telefon baru baru ini.

“Saya bukan nak jaga tepi kain orang, tetapi dengan izin Juliana sendiri. Kerana Juliana mahu pengalaman pahitnya yang dilaluinya berkahwin dengan warga asing itu, dapat dijadikan teladan kepada anak anak gadis sekarang yang suka berkahwin warga asing. Tak kiralah sama ada Mat Saleh, Mat Bangla, Mat Seberang, Mat Jepun, Mat Black ataupun Mat Korea. Kerana masalahnya sama, selama seseorang itu bergelar isteri ataupun suami, tak kira apa bangsa sekali pun.

“Berbalik kepada cerita Juliana dia berkenalan dengan Joseph atau Jo ketika menuntut di London. Kerana cinta Juliana bertindak nekad tidak mahu kembali ke Malaysia, sebaliknya dapat tawaran kerja di London. Kebetulan ketika itu di Malaysia berlaku kerisis ekonomi, dan pekerjaan memang sukar didapati. Percintaan Juliana berakhir dengan perkahwinan dan mereka dikurniakan seorang anak.

“Pada awal perkahwinan hubungan mereka semuanya berjalan baik dan mesra bahagia, tetapi setelah anaknya Jamie semakin membesar, Juliana mula terasa terasing apabila memikirkan masa depan anaknya. Dia mula merasa bimbang dengan cara anaknya dibesarkan dan dijaga oleh ibu bapa mertuanya yang merupakan orang yang kuat berpegang agama Kristian.

“Lama kelamaan dia juga melihat suaminya juga mula leka dan lalai dengan Islam, dan hubungan mereka terasa semakin renggang. Bila anak semakin besar, gaya hidupnya pun mula bertukar kerana didikan nenek dan datuknya yang sering membawanya ke gereja. Juliana terpaksa menyerahkan anaknya kepada jagaan mertuanya, kerana mereka sibuk bekerja, selain mertuanya menawarkan diri menjaga satu-satunya cucu mereka, kerana Jo anak tunggal.

“Kerana bimbang dengan keadaan anaknya, Juliana berfikir dia mesti segera bertindak. Dan tindakan mesti dibuat semasa Jamie masih kecil lagi. Dia tak mahu kisah ‘Natrah’ berulang kepada anaknya nanti. Setelah berfikir panjang dan memikirkan buruk baik tinggal di negara orang. Selain keyakinan Jo sendiri kepada Islam semakin menipis, maka Juliana tekad bertindak dia mesti keluar dari London bersama anaknya yang ketika itu sudah berusia lima tahun.

“Sebelum itu dia cuba memujuk Jo tetapi agak sukar untuk membentuk Jo kepada Islam kerana usianya yang semakin meningkat dan hubungan rapatnya dengan ibu dan ayahnya yang kuat dengan pegangan agamanya. Kata Juliana dia mesti bertindak kerana dia tidak mahu anak yang masih kecil dan mentah itu juga mengikut jejak nenek dan datuknya.

“Pada awalnya Juliana ingin memberitahu Jo supaya melarang ibunya membawa Jamie ke gereja dan makan makanan haram termasuk babi. Tetapi Juliana bimbang dan amat takut jika Jo pula terasa hati dan menyekat perjalanannya untuk balik ke Malaysia satu hari nanti.

“Juliana juga bimbang niat baiknya itu mungkin boleh berakhir dengan tindakan Jo yang lebih keras yang boleh berakhir dengan perceraian. Dan ditakdirkan perceraian berlaku, perang merebut anak mesti terjadi antara dia dan Jo, maka sudah pasti kes ini akan berpanjangan dan berakhir di Mahkamah Sivil. Dan Juliana dapat merasakan dia tidak mungkin boleh menang, dan bimbang kehilangan Jamie.

Terima kenyataan

“Untuk memujuk Jo menetap di Malaysia bukanlah suatu pilihan yang baik sebab Jo tidak selesa dan tidak suka tinggal di Malaysia, kerana katanya agak sukar untuk dia mencari kerja di negara ini. Banyak halangan yang menyerang fikiran Juliana untuk memujuk Jo, dan sukar dia mendapatkan kerayataan untuk Jo nanti.

“Akhirnya, dalam senyap Juliana melarikan anaknya ke Malaysia tanpa pengetahuan suaminya. Jamie ada pasport kerana pernah berkunjung ke Malaysia sebelumnya bersama Jo. Dan laluannya bertambah mudah apabila dia tidak dihalang di Lapangan Terbang Hethrow. Selepas tiba di KL barulah dia beritahu Jo dia telah kembali ke KL.

“Walaupun awalnya berlaku kekecohan antara Juliana dengan Jo dan familinya, tetapi akhirnya Jo menerima kenyataan bahawa Juliana ingin kembali ke Malaysia. Dan Juliana bernasib baik kerana Jo tidak memanjangkan kes melarikan anaknya ke Mahkamah Britain untuk menuntut hak penjagaan anak mereka. Juliana cukup bimbang kes ‘Natrah 2’ terjadi.

“Namun Juliana juga bernasib baik kerana Jo bersetuju menjual rumah yang mereka beli bersama dan setengah daripada hasil jualan rumah tersebut diberikan kepadanya sebagai pemberian nafkah untuk anak kesayangan mereka Jamie. Berkat doa ibu bapa dan Juliana sendiri Jo bertindak baik dan bertimbang rasa kerana tidak menjadikan kes ini seperti “kes Natrah” yang digembar gemburkan dalam media dahulu.

“Walaupun cerita Juliana ini berlaku 20 tahun lalu, dan kini Jamie telah dewasa, Juliana tidak memutuskan hubungan antara ayah dan anak ini, tetapi sebelum itu Juliana telah memberikan didikan agama yang terbaik untuk Jamie sebagai bekalannya. Kerana Juliana tahu hanya dengan didikan agama maka Jamie boleh menjaga dirinya walau ke mana dia pergi.

Dia akan tetap ingat kepada larangan Islam dan mencintai Islam. Malah Juliana berbangga Jamie boleh menjadi Imam solat kepada ahli ahli keluarga.

“Jamie pernah berkunjung ke London dan bertemu dengan ayahnya yang telahpun berkahwin dan mempunyai anak. Hubungan mereka baik. Begitu juga Juliana yang telah berkahwin lain dan mempunyai beberapa orang anak, walaupun berjauhan, hubungan mereka baik dan saling hormat menghormati.

“Demikian sekelumit episod masalah kahwin campur Juliana dengan warga asing, yang telah membuat Juliana nekad dan berani melarikan anaknya demi agama Islam. Katanya bukan senang berkahwin dengan warga asing, terlalu banyak perlu dibelajar dan difahami, lebih teruk lagi apakah kita dapat mensesuaikan diri dalam kehidupan asing yang kita tahu tidak sesuai dengan latar belakang budaya, bangsa dan agama kita.

“Tidak dinafikan ketika bercinta dahulu semua masalah itu tidak pernah timbul di fikiran Juliana juga kepada gadis yang seangkatan dengannya, tetapi setelah melaluinya barulah kita faham apa erti kesusahan dan kesesuaian untuk pasangan kahwin campur ini. Sebenarnya terlalu banyak masalah, pahit maung yang telah dilalui, tetapi tidak dapat diceritakan di ruangan ini, namun rasanya tentu pembaca boleh membuat andaian sendiri tentang permasalahan berumahtangga jika berkahwin dengan pasangan yang tidak seagama dengan kita.

“Juliana berharap kisah hidupnya ini dapat dijadikan teladan oleh gadis-gadis Melayu yang ingin berkahwin dengan lelaki beragama Kristian. Kerana bukan semua perkahwinan itu indah belaka.

“Mungkin seseorang isteri terpaksa korbankan kebahagiaan dirinya sendiri demi mempertahan agama anak dan dirinya supaya tidak terpesong jauh.’’

Itu cerita Norhana yang kagum dengan pengorbanan besar yang Juliana lakukan. “Dan saya amat gembira yang dia boleh mendidik Jamie jadi anak yang berpegang teguh kepada Islam. Apakah gadis-gadis lain boleh berkorban seperti apa yang Juliana lakukan? Fikirkanlah.’’

Itu cerita gadis Melayu yang berkahwin dengan pemuda beragama Kristian yang akhirnya terpaksa korbankan kebahagiaannya demi anaknya. Namun kita tidak nafikan ramai juga gadis Melayu yang bahagia hidupnya walaupun pasangannya bukan beragama Islam seperti beragama Buddha, Sikh, Hindu dan tidak kurang juga yang tidak beragama.

Apa resepi kebahagiaan mereka selain bersikap faham memahami, memaafi, tolong menolong, bekerjasama dan percaya mempercayai. Mungkin salah satu sebabnya pasangan ini bukan rakyat asing, mereka rakyat Malaysia dan mereka sudah faham perjalanan agama kita, dan tidak kurang juga yang terlebih dahulu mempelajari Islam sebelum bertukar agama dan berkahwin.

Apa yang menarik ingin saya diceritakan di ruangan ini minggu hadapan insya-Allah ialah trend gadis Melayu dan suami yang suka berkahwin warga asing. Di mana terdapat ramai pekerja asing, di situ kita lihat ramai berlakunya kahwin campur.

Apa sebab gadis-gadis kita tertarik dengan lelaki warga asing itu, adakah kerana kekacakan lelaki tersebut, ataupun lelaki asing ini pandai memikat gadis Melayu dengan tujuan mendapatkan hak bermastautin negara ini, masalah ini sukar difahami.

Trend kahwin warga asing ini bukan sahaja berlaku kepada gadis Melayu, malah ada antara gadis Cina, Sabah juga Sarawak yang tertarik dengan lelaki warga asing ini. Apakah sebab utama lelaki asing jadi pilihan mereka? Adakah kerana kekacakannya? Atau kerana kerajinan mereka bekerja mencari rezeki?

Sama-samalah kita fikirkan. Minggu depan kita ikuti kisah gadis Melayu yang berkahwin dengan warga asing, dan kini hidup mereka bahagian di samping anak-anak yang bijak dan jaminan kehidupan yang membanggakan keluarga.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan