Sedangkan seorang kanak-kanak menggunakan sehingga 1,500 kalori dalam satu hari persekolahan, iaitu jumlah sama diperlukan untuk mendaki gunung, berenang sebanyak 50 pusingan atau menghabiskan separuh larian maraton.

Malangnya, ibu bapa tidak menyedari anak mereka memerlukan tenaga sebanyak itu untuk melalui kehidupan seharian, menyebabkan ramai mengabaikan keperluan untuk memberi sarapan.

Walaupun isu ini dianggap remeh, sebenarnya sarapan adalah hidangan paling lazim diabaikan dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Menurut kajian MyBreakfast Study yang dijalankan oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), satu daripada tiga kanak-kanak didapati mempunyai tahap fizikal yang rendah, terutama mereka yang tidak mengambil sarapan.

Ahli pemakanan NSM, Georgen Thye berkata, pengambilan nutrisi yang tidak tetap kerana tidak makan atau pilihan makanan yang kurang baik, menyebabkan kanak-kanak kekurangan tenaga pada waktu berbeza dalam sehari sepanjang di sekolah.

Keadaan ini mungkin boleh menjejaskan tumpuan mereka di kelas serta aktiviti kokurikulum.

“Penetapan masa makan yang tepat serta penyediaan makanan yang penuh khasiat seperti bijirin penuh, sayur-sayuran, buah-buahan, daging tidak berlemak, kekacang, dan produk tenusu, dapat membantu mengisi keperluan tenaga yang diperlukan oleh setiap kanak-kanak.

“Setelah melalui malam yang panjang, kanak-kanak mahu pun orang dewasa memerlukan tenaga yang mencukupi untuk menjalani rutin harian mereka.

“Jadi, sarapan sememangnya tidak boleh diabaikan kerana ia menyediakan khasiat yang diperlukan untuk tumbesaran dan tenaga bagi memulakan hari,” katanya dalam bengkel Bento Pack In The Energy For Champions anjuran Milo di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, ibu bapa sering memberi alasan anak mereka tidak ada selera dan lewat untuk bersarapan. Namun sebenarnya, dengan pengurusan masa yang baik serta makanan yang ringkas, berkhasiat dan sedap dapat mengatasi masalah tersebut.

Katanya, ibu bapa juga tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyediakan sarapan pagi bagi anak sekiranya tahu apa yang mereka inginkan dan membuat perancangan awal pada malam sebelumnya.

Dia turut berkongsi membuat demonstrasi dua resipi berkhasiat yang mengambil masa 15 minit sahaja untuk disediakan kepada ibu bapa yang hadir ke bengkel tersebut.

Thye juga berpendapat, cara yang paling baik untuk mendidik anak-anak ialah dengan memberi contoh yang baik, ini bermakna ibu bapa juga perlu bersarapan pagi jika mahu anak-anak berbuat perkara yang sama.

Ujarnya, kebanyakan kanak-kanak tidak menggemari sayur-sayuran dan buah-buahan.

Jadi, untuk menggalakkan mereka makan sarapan pagi yang berkhasiat, ibu bapa perlu kreatif dalam menarik minat anak mereka menikmati sajian tersebut seperti penyediaan bekas bento (bekal makanan).

Ahli Kelab Bento Malaysia, Hasnawati Yahaya yang juga seorang ibu berkata, penyediaan hiasan makanan dalam pelbagai bentuk potongan bagi menceriakan bekal makanan boleh membuatkan anak-anak teruja untuk membuka kotak bento mereka dan menjamu selera.

“Penyediaan bekal makanan ke sekolah bukanlah serumit yang dibayangkan oleh ibu bapa, malah menyeronokkan. Saya suka mencipta bento yang kreatif yang membuatkan anak-anak saya sentiasa menunggu untuk makan bekalan makanan mereka.

“Sajian yang sering saya sediakan untuk anak-anak saya, seperti bihun goreng atau sandwic keju, tetapi hiasan yang saya gunakan berbeza pada setiap hari. Saya akan pastikan menggunakan pelbagai warna dalam sajian tersebut,” katanya yang turut membuat demonstrasi penyediaan bekas bento.

Tambahnya lagi, sebagai seorang ibu, dia berasa lega kerana yakin anak-anaknya mengambil makanan yang berkhasiat yang disediakan sendiri. Makanan membekalkan mereka dengan nutrisi serta tenaga untuk memberikan prestasi terbaik sepanjang di sekolah.

Bengkel Bento Pack In The Energy For Champions adalah salah satu usaha Milo bagi membantu ibu bapa memastikan anak-anak mendapat khasiat yang dapat menyokong perkembangan mental dan fizikal, serta memenuhi keperluan tenaga seharian mereka. - Gambar AZLAN HADI