Nasihat Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Siber/Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner, Ahmad Noordin Ismail, apapun sikap hati-hati mesti ada pada setiap orang supaya dapat mengelak diri daripada terjebak sehingga menjadi mangsa kepada penjenayah siber.

Katanya, jika sikap ini diamalkan ketika melayari Internet, sudah pasti penjenayah tidak akan berjaya mencari ruang mengenakan mangsa.

Ini kerana, penjenayah siber sentiasa bersedia memerangkap mangsa.

“Sebaiknya jangan mudah percaya terutama kenalan baharu yang kemungkinan besar akan menjadikan anda sebagai mangsa terbaharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Jenayah Siber dan Penguatkuasaan pada Seminar Keselamatan Siber 2018 - Fokus Jenayah Siber 1.0 di Universiti HELP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya, hati-hati memilih ‘kawan baharu’ yang lama-kelamaan akan cuba menarik perhatian dengan pelbagai cara.

Ahmad Noordin berkata, lebih dikesalkan apabila mangsa akan ditipu dalam keadaan sedar.

Katanya, pastikan kata laluan yang digunakan bagi mendaftar masuk (log in) mana-mana laman sosial, menggunakan huruf atau nombor yang sukar dikesan oleh sesiapapun.

“Janganlah guna huruf seperti ABC atau tarikh 1,2,3 atau yang sangat berkaitan dengan diri seperti tarikh lahir kerana semua ini akan mudah dikesan penjenayah ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pengguna komputer khususnya supaya mendaftar keluar (log out) akaun sama ada emel dan laman media sosial seperti Facebook (FB) dan Twitter.

Selain itu, Ahmad Noordin berkata, jangan bersikap tamak jika menemui peluang untuk menggandakan wang menerusi skim pelaburan dan sebagainya di Internet.

Beliau berkata, skim pelaburan yang tidak pasti ini akan membuatkan seseorang itu mudah ditipu dan akhirnya mengalami kerugian.

Katanya, kadangkala sikap pemilik akaun di media sosial sendiri yang sering mendedahkan kekayaan yang dimiliki dan juga tempat percutian boleh mengundang padah.

“Penjenayah siber akan mengesan pergerakan mangsa menggunakan maklumat ini untuk melakukan rompakan, peras ugut dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Noordin meminta agar pengguna Internet memastikan sebarang status yang dikongsikan itu tidak memberi peluang dan ruang bagi penjenayah siber merapatkan diri dengan si pelayar Internet.

Jelasnya, setiap pelayar Internet perlu mengikut perkembangan semasa trend penjenayah siber kerana pengetahuan ini amat penting agar dapat mengelak daripada menjadi salah seorang mangsa.