Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Didik cintai haiwan peliharaan

Jurulatih haiwan peliharaan menerangkan teknik penjagaan kucing 2
Jurulatih haiwan peliharaan menerangkan teknik penjagaan kucing yang betul ketika program Jom Sayangi Haiwan Kita di Sekolah Kebangsaan Seafield 3, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

KUCING antara haiwan peliharaan paling popular dalam kalangan masyarakat kerana keletahnya yang manja dan jinak.

Cukup disukai dan menjadi kesayangan pelbagai lapisan masyarakat, kucing yang mempunyai daya penariknya yang tersendiri mampu membuatkan sesiapa sahaja menyayanginya seperti ahli keluarga sendiri.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kucing perlu dijaga dan dilayan dengan betul walaupun hakikatnya hanyalah haiwan peliharaan.

Dalam usaha menggalakkan tanggungjawab terhadap pemilikan haiwan dalam kalangan kanak-kanak, baru-baru ini program Jom Sayangi Haiwan Kita telah diadakan.

Dianjurkan oleh Whiskas Malaysia, program tersebut yang memasuki edisi ke empat tahun ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seafield 3, Subang Jaya, Selangor.

Melibatkan murid berumur antara 10 hingga 12 tahun, program tersebut diadakan dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga haiwan peliharaan terutamanya kucing.

Menurut Pengarah Mars Petcare Malaysia, Singapura dan Filipina, Ong Chiek Ming, setiap pelajar perlu dipupuk dengan nilai-nilai tanggungjawab dan menyayangi haiwan peliharaan sejak dari kecil.

Tambahnya lagi, dengan adanya program sedemikian secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya kes pengabaian haiwan peliharaan.

“Adalah penting untuk kita menanamkan rasa tanggungjawab dan pemikiran yang betul kepada kanak-kanak mengenai penjagaan haiwan ketika mereka masih kecil.

“Ini kerana, pada usia inilah mereka cenderung untuk memelihara haiwan peliharaan sendiri. Sangat mengecewakan setiap kali melihat haiwan ditinggalkan begitu sahaja semata-mata kerana pemilik haiwan tidak faham mengenai kaedah dan komitmen menjaga haiwan peliharaan.

“Apa yang penting ialah memastikan pendidikan itu bermula di peringkat awal lagi dan tugas kami hari ini adalah membantu memberi maklumat yang tepat mengenai cara penjagaan kucing peliharaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai program Jom Sayangi Haiwan Kita, kata Chiek Ming, telah bermula pada 2015 dengan hanya 15 buah sekolah di sekitar Lembah Klang.

Hari ini program tersebut telah diluaskan sehingga ke Pulau Pinang, Perak, dan Johor. Sehingga tamat sesi pada akhir Mei lalu, telah berjaya mencapai lebih daripada 66,000 kanak-kanak sekolah.

Dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman, Chiek Ming menyatakan, sesi interaktif selama satu jam itu memberi peluang kepada pelajar mengetahui lebih lanjut mengenai ciri-ciri kucing serta fakta menarik tentangnya.

Ia turut menyediakan maklumat tentang pemberian makanan yang sesuai kepada kucing dan bagaimana untuk memastikan haiwan peliharaan itu sentiasa berada dalam keadaan sihat.

Antara fakta menarik yang dikongsi bersama pelajar ialah, misai kucing boleh mengesan haba serta halangan dalam gelap dan kesan-kesan makanan terhadap kesihatan kucing peliharaan secara keseluruhan.

Chiek Ming turut memberitahu, haiwan peliharaan bukan sahaja mampu mengukuhkan ikatan kekeluargaan, malah menggalakkan si kecil untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mempunyai sifat belas kasihan terhadap orang lain apabila mereka dewasa kelak.

Dia percaya, dengan mendidik pelajar tentang kepentingan sifat tanggungjawab terhadap pemilikan haiwan peliharaan, ia akan mewujudkan dunia yang lebih penyayang kepada haiwan-haiwan.

Sementara itu, Guru Besar SK Seafield 3, Nik Suhaida Razak, berkata, penerapan nilai dan ikatan antara pelajar serta haiwan juga berfungsi sebagai terapi mengatasi tekanan selepas mengharungi kesibukan di sekolah terutamanya menjelang peperiksaan.

“Program hari ini merupakan satu program yang bagus kerana ilmu yang diperoleh boleh dibawa hingga dewasa dan pastinya satu perkongsian yang begitu bermanfaat.

“Secara tidak langsung program ini boleh mewujudkan kasih sayang baik sesama manusia mahupun dengan haiwan peliharaan.

“Insya-Allah pada masa akan datang kami akan melibatkan semua pelajar,” katanya sebelum mengakhiri bicara.

 

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan