“Pada pandapat saya yang melihat kejadian ketika itu, emak berleter bukan kerana cemburu, tetapi sebab bapak tidak bagi emak duit untuk belanja makan minum kami di rumah hingga memaksa emak terpaksa bekerja keras, demi mencari duit tambah untuk tampung belanja hidup kami empat beradik. Emak kerja kilang selalulah ambil Over Time. Sementara ayah jadi pemandu.’’ Itu cerita Ezureen tetang masalah hidupnya dulu dan sekarang.

“ Masalahnya bila emak selalu bekerja siang malam, semakin galaklah bapak lewat balik rumah, maka tinggallah kami adik-beradik. Sebagai anak sulung sayalah sediakan makan minum adik-adik ala kadar saja. Kalau ada telor mata dengan kicap sudah cukup. Atau tumis air ubi kentang dengan telor ataupun letak suhun itu pun sudah baik kalau dapat. Ada sambal tumis, beras sukatan tiga tin susu saya tanak, habis adik-adik telan.

“Bapak kerja gaji tetap. Tetapi masih tak cukup duit. Katanya bayar hutang motor, hutang peti sejuk dan sewa rumah. Bab makan minum bapak lepas pada emak. Kata emak gajinya nak tampung belanja sekolah kami. Bila bergaduh tentulah pasal duit tak cukup, bapak suruh kami berhenti sekolah, cari kerja, biar kami tahu susahnya nak cari duit.

“Bab berhenti sekolah lagi emak marah. Emak tuduh bapak ada duit belanja makan dengan pompuan, main judi tikam ekor dan macam-macam lagi, sebab itu duit tak cukup. Emak tak tuduh, pernah emak tangkap bapak dengan kekasihnya makan di restoran, tengok wayang dan pergi berkelah. Sebab itu emak selalu tuduh bapak habiskan duit enjoy dengan pompuan.

“Di pendekkan cerita, walaupun emak bapak bergaduh saya dapat juga SPM pangkat 2. Konon nak jadi guru tak dapat, tapi jadi kerani, pada saya itu pun dah baik, asalkan dapat bantu emak. Sebab ketika itu emak dah bercerai selepas bapak kena tangkap basah. Emak mintak cerai. Emak kata bapak tak mampu, satu bini pun susah, ini pulak dua bini. Jadi daripada bergaduh lebih baik cerai.

“Lepas cerai bapak hilang entah ke mana. Emak membanting tulang hidupkan kami. Zaman tu emak tak tahu nak saman bapak, lagipun bapak dah hilang. Dua tahun lepas itu saya habis SPM dan dapat kerja, bolehlah bantu emak, dua tahun kemudian seorang lagi adik dapat kerja kilang, ringanlah beban emak. Tetapi hasrat emak nak tengok kami belajar sampai universiti macam anak- anak kakaknya tak tercapai sebab emak tak mampu.

“Mak long bernasib baik, anak tiga orang, semua masuk sekolah asrama dan universiti, habis belajar semua dapat kerja bagus-bagus. Suami mak long pun kerani juga, tetapi hidup mereka bahagia. Pak long bertanggungjawab.

“Dipendekkan cerita apa yang berlaku kepada emak membuat saya tak minat nak kahwin. Sebab takut dapat suami macam perangai bapak. Tapi kata emak bukan semua lelaki macam bapak. Ada yang bertanggungjawab. Akirnya saya kahwin juga sebelum berusia 28 tahun. Kata emak jangan tunggu sampai ganyut nanti tak ada orang meminang. Kalau ada yang sesuai di hati, kahwin. Tapi pesan emak jangan berhenti kerja lepas kahwin, sebab tak tahu nasib kita dan apa perangai sebenar suami kita.

“Saya kahwin dengna Zizan orang utara. Setiap Hari Raya, kenduri kahwin atau apa sahaja, saya mesti balik. Masa awal-awal kahwin bolehlah balik selalu, sebab tanggungjawab belum banyak. Tetapi selepas beranak pinak, balik kampung selalu susah, banyak belanja.

“Sebelum ada anak dan kereta kami balik naik bas, tak banyak belanja, dah ada kereta, lebih teruk, petrol, tol itu semua nak masuk bajet, tak masuk belanja pasar ketika kami duduk tiga empat hari di rumah mentua. Akhirya saya cadangkan supaya kami balik kampung paling kurang setahun tiga kali. Sebab anak dah dua, duit tak pernah cukup. Sebaliknya saya selalu pinjam pada emak bila tak cukup belanja. Nasib baik emak mahu jaga anak-anak saya, kalau tidak lebih parah kalau anak hantar pada pengasuh.

Mula benci

“Malangnya cadangan itu mentua dapat tahu, mestilah Zizan cakap. Masalahnya mentua mula tunjuk ‘muka 12’ bila saya balik kampung. Mula bencikan saya, apa saya buat semua tak kena, kalau dulu rendang saya, mentua kata sedap, sekarang tengok pun tak mahu. Perubahan ini buat saya terasa, dan ada pulak biras beritahu mentua marah sebab saya tak mahu balik kampung, asyik nak duduk rumah emak KL aja. Saya duduk rumah sewa sendiri, cuma hantar anak-anak pada emak saya. Pelik sungguh!

“Sementara suami pulak mula tunjuk taring, katanya, dalam hidupnya emak nombor satu, isteri cuma di pinggiran. Emak tak ada ganti, tapi kalau isteri sepuluh dia boleh ganti. Berdesing telinga saya kena smash!

“Oleh sebab tak sedap hati, saya jalankan penyelidikan, apa yang tak kena dengan diri saya ini, kalau dulu semuanya ok. Kenapa sekarang nak masuk tiga anak, mentua tunjuk muka dan buat hal sementara suami mula keluarkan taring tuduh saya malas masak.

“Bukan saya malas, oleh sebab saya ambil anak di rumah emak, saya makan sekali di sana, tapi suami tak suka. Peliknya dulu mengapa boleh sekarang bila anak bertambah ramai mula tak suka emak dan adik-beradik saya. Mula tak selera makan di rumah emak. Akhirnya selalulah dia makan kat luar dengan kawan-kawan, dan balik lewat malam.

“Belajar daripada perangai bapak, saya sudah boleh menghidu ada sesuatu yang membuat Zizan berubah. Saya tahu keluarga saya bukan masalah utama, cuma dijadikan alasan supaya tidak duduk lama di rumah emak. Kadang-kadang tu nak ambil anak dia lebih senang tunggu dalam kereta langsung tak mahu masuk rumah emak. Kenapa! Pelik sungguh!

“Bukan saya saja yang perasan, emak pun terasa, kata emak hati-hati dalam melalui masalah yang amat genting ini, silap kira-kira boleh jadi ‘perang besar’. Kata emak ikutlah kehendak Zizan kalau dia tak mahu masuk rumah emak pun, emak tak kisah, asalkan kami suami isteri bahagia. Tetapi saya sudah terasa kelainan Zizan, emak cuma dijadikan alasan. Saya dikata tak pandai seterika baju, lantai rumah berpasir, dan macam-macam lagi komplen Zizan.

“Oleh sebab saya penat, mengandung lagi, saya suruh dia hantar seterika baju di kedai dobi. Kalau tak suka emak jaga anak, carilah pengasuh yang boleh jaga bayi yang akan lahir nanti. Tapi siapkan duit, saya tak mampu dengan gaji tak sebanyak mana ini.

“Ketika itu Zizah kata, kalau tak mampu bayar pengasuh jaga anak sendiri, berhenti kerja. Terbongkar rahsia hatinya, dia tak suka saya bekerja. Oleh sebab saya sudah boleh ramal, maka saya katakan. Saya tak akan berhenti kerja. Kalau dia tak mampu hantar anak pada pengasuh, emak saya akan jaga. Tapi Zizan tuduh saya bekerja nak bagi emak duit, sepatutnya isteri bantu suami bukan bantu emak sendiri.

“Bunga-bunga kebencian dan kemarahan sudah terzahir. Dan saya sudah faham sangat apa kehendak Zizan. Kini saya mencari punca apa yang mendorong Zizan berubah, dulu dia tak pernah berkasar pada saya. Kalau marah pun bersebab dan saya boleh terima

“Selepas melahirkan anak, saya duduk rumah emak seperti biasa selama sebulan, sebelum balik ke rumah. Sepanjang di rumah emak, cuma lima kali Zizan datang menjengok saya dan anak-anak. Alasannya sibuk, penat dan banyak kerja. Alasan itu yang tak boleh saya terima, tetapi disebabkan masih dalam pantang emak nasihatkan supaya bersabar kerana lebih penting saya jaga kesihatan. Kalau dah sakit, satu sen tak guna.

“Nak jadikan cerita, biras datang rumah nak ziarah. Dari situ baru saya tahu, emaknya hasut Zizan kahwin lagi sebab tak guna kalau ada isteri macam saya tak masuk ajar. Saya tak marah sangat pada mentua, tetapi pada Zizan, ini tentu ada cerita ‘udang di sebalik batu.” Saya syak Zizan memburukkan saya punca saya dibenci. Tapi apa tujuan Zizan?

“Belajar daripada perangai bapak, saya tanamkan semangat cekal dan berani milik emak ke dalam diri saya. Saya terus cari punca Zizan berubah sejak saya mengandung anak ketiga ini. Adakah Zizan sudah bertemu wanita lain, adakah dia sedang bercinta. Pelbagai teka-teki bermain di kepala saya. Dua tahun lamanya saya mencari sebab, punca dan mengapa Zizan berubah. Saya terus sabar dengan harapan dia berubah. Saya syak Zizan ada kekasih, dan akhirnya terbongkar memang Zizan sedang dilamun cinta.

“Memang saya sedih, bila ditanya Zizan tak mengaku, sebaliknya tuduh saya dengar cerita orang. Bila saya tunjukkan bukti, saya pulak dituduh sengaja hendak minta cerai. Saya katakan pada Zizan, tak ada wanita bila berkahwin, ada anak nak bercerai. Sebaliknya lelakilah yang buka jalan memporak perandakan rumah tangga dan buat perangai.

“Saya sedih kahwin tak sampai 10 tahun rumah tangga nak runtuh. Anak-anak masih kecil. Akhirnya saya nekad saya tanya Zizan sudahkah dia buat keputusan nak kahwin lagi, jika betul, ceraikan saya. Sebab dia tidak akan berlaku adil. Tetapi Zizan nafikan.

“Memang saya takut bercerai, sebab tak mampu, tetapi saya tak mahu jadi macam emak bertahun-tahun bersabar dengan perangai bapak, akhirnya bapak tinggalkan emak jugak. Kerana itu saya nekad tak mahu jadi macam emak, kalau Zizan tak berubah lebih baik kami bercerai. Saya tak mau menderita terlalu lama macam emak.

“Kini dua tahun berlalu, Zizan nampak berubah, tetapi tak tahu berapa lama, yang penting saya mesti waspada dan bersiap sedia. Sebab cinta dan kasih sayang bukan milik kita selamanya. Ia berubah mengikut hati manusia.’’ Itu cerita Ezureen panjang lebar tentang persediaannya dalam merenangi bahtera rumah tangga.