Lagu Setelah Aku Kau Miliki dan Teringin antara yang menjadi minat khalayak, sekali gus menempatkan dirinya dalam kalangan penyanyi popular era 90-an.

Kini, Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatulshima Kamarazzaman, 48, tidak seperti dahulu. Zaman gemilangnya sudah pudar. Malah ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza pada 2014, persembahannya yang terlalu pasif sering dikritik.

Perkara itu nampaknya memberi kesan kepada kerjaya Shima secara tidak langsung. Masakan tidak, selepas program itu berakhir, dia langsung tidak menerima sebarang tawaran menyanyi.

Secara umumnya, bukan mudah untuk hidup di ibu kota tanpa sebarang pendapatan tetap. Itu pun Shima masih mampu bersyukur kerana dia masih punya simpanan.

Sudah pasti perbelanjaan juga harus disekat. Yang penting sahaja didahulukan untuk meneruskan kehidupan.

Tambahan pula dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik, Shima sedar dia perlu kuat untuk meneruskan kehidupan dan bekerja, bukan meraih simpati.

“Saya tahu kehidupan saya bukan seperti dahulu. Kesihatan juga tidak menentu tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak berusaha mencari pendapatan sendiri.

“Luahan saya bukan untuk meraih simpati. Tetapi saya mencari peluang pekerjaan sebab saya masih boleh bekerja,” jelasnya.

Walaupun pergerakannya terbatas dek kesakitan yang dihidapi, Shima tidak mahu orang luar menilai itu sebagai kekurangan dirinya.

Bercerita mengenai kehidupannya kini, jelas Shima, dia menderita penyakit slip disc di bahagian tengkuk dan pinggul. Dia pertama kali mengalami slip disc sewaktu di bangku sekolah dan aktif dalam sukan tae kwan do.

“Tetapi ketika itu masih remaja. Jadi kesakitan itu tidaklah terasa sangat. Ketika itu kena slip disc di bahagian pinggul,” jelasnya.

Kali kedua dia mengalami slip disc pada 2012 selepas terjatuh di bilik air. Ketika itu dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah hotel di ibu kota.

Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan dia mengalami slip disc kedua di bahagian tengkuk pula.

Sejak itu, selain faktor usia yang meningkat, kesakitan kerana slip disc tersebut semakin hari semakin dirasai.

Hingga kini, dia terpaksa bergantung kepada ubat untuk saraf dan sakit belakang.

Sebulan sekali dia perlu bertemu doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Ada juga saya bertanya mengenai pembedahan tetapi doktor kata, peluang untuk pulih sepenuhnya adalah 50 peratus sahaja.

“Jadi doktor nasihatkan agar pembedahan tidak dijalankan sebaliknya ikhtiar menggunakan kaedah lain terutama dari segi perubatan,” katanya.

Kos perubatan Shima tidaklah memakan ribuan ringgit tetapi perlukan pendapatan yang konsisten untuk menampung perbelanjaan ubat-ubatan bulanannya.

Dengan ketiadaan kerja dan kehidupan yang hanya menggunakan duit simpanan akan menyukarkan kehidupannya pada jangka panjang.

Dia sendiri sedar, kehidupannya tidak seperti zaman mewahnya dahulu. Segala-galanya perlu disekat dan kerja perlu dilakukan untuk mendapat wang.

Sementara kudratnya masih mampu dikerah, dia tetap mahu bekerja.