Apakah selepas ini ada lagi gambar-gambar geng kongsi gelap lain yang tular yang akan menyebabkan kita terfikir adakah tindakan ini seolah-olah ingin mencabar kewibawaan pihak berkuasa atau menunjuk-nunjuk kepada masyarakat betapa berkuasanya mereka sekarang ini?

Apa yang membimbangkan, tindakan pelajar-pelajar ini yang tidak segan silu menyatakan ketaksuban mereka terhadap geng yang mereka wakili dengan melakukan secara terang-terangan kegiatan mereka dalam aktiviti geng kongsi gelap ketika mereka berusia mentah lagi.

Oleh itu pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini yang mahu menghapuskan gengsterisme dan kenyataan daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kementerian itu tidak lagi melindungi pelajar yang terlibat dengan gengsterisme, dan mereka akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, amatlah disokong.

Sekarang, kumpulan ini ada yang telah ditangkap dan dihadapkan di mahkamah.

Cubaan membendung dan mengawal penularan kumpulan gensterisme dalam kalangan pelajar sedang dilakukan, namun apa yang menjadi persoalan sekarang ialah bagaimanakah geng kongsi gelap semakin menular dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah, kerana kebiasaannya, apabila kumpulan seperti ini wujud di sekolah, ahli-ahlinya akan cenderung melakukan kesalahan disiplin dan peraturan sekolah seperti peras ugut, buli, ponteng sekolah, melepak dan merokok.

Menurut pakar Perunding Psikiatri merangkap Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Datuk Dr. Andrew Mohanraj, kes remaja yang terlibat dengan gengsterisme bukanlah satu isu yang baharu cuma sekarang kes-kes ini menular didorong oleh sikap mereka dengan bantuan teknologi canggih seperti telefon pintar.

Antara faktor yang mendorong mereka terlibat dengan aktiviti jenayah berkenaan ialah pengaruh rakan sebaya.

Sekiranya, pengaruh kongsi gelap ini menular, pasti memberikan impak yang negatif dalam masyarakat kerana semakin ramai ahli kumpulan, ahli-ahli ini akan merasakan diri mereka semakin kuat dan sewenang-wenangnya menindas golongan yang lemah menyebabkan pelbagai jenayah akan berlaku dalam kalangan masyarakat.

Ahli perkumpulan ini tidak bimbang untuk melakukan sesuatu jenayah kerana berpendapat mereka dilindungi oleh mob atau perkumpulan mereka.

“Saya rasa remaja hari ini tiada semangat kekitaan kepada masyarakat dan tidak mempunyai prinsip hidup. Dahulu, apabila ke sekolah, kita memikirkan untuk belajar dan bukan untuk perkara-perkara lain, namun sebaliknya berlaku pada pemikiran anak-anak remaja sekarang.

“Mereka lebih suka bertindak melulu, mudah terpengaruh dan sikap mereka yang suka menunjuk-nunjuk menyebabkan mereka tidak segan silu memperaga perbuatan salah laku mereka,” jelasnya.

Kata Dr. Andrew, selain faktor pengaruh rakan sebaya dan hilangnya semangat kekitaan dalam masyarakat, masalah sosial dalam hubungan atau kawasan mereka tinggal juga boleh menjadi punca bagaimana remaja ini mudah terpengaruh dengan kegiatan yang tidak bermoral.

Ini ditambah dengan masalah yang mereka hadapi dalam lingkungan dalaman keluarga sendiri iaitu pergolakan dalaman yang dialami dalam keluarga menyebabkan mereka mendapatkan ‘kebahagiaan’ dan perhatian daripada orang-orang luar termasuk rakan-rakan.

“Remaja yang tiada ilmu atau jati diri yang kuat serta kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa dan keluarga akan mencari hiburan di luar rumah dan akan terjebak dengan pengaruh negatif seperti ini.

“Tetapi ada juga sesetengah kes, biarpun datang dari keluarga yang baik, tetapi disebabkan salah pilih kawan dan salah pilih semangat kekitaan yang sepatutnya ditunjukkan kepada masyarakat tetapi menjurus kepada rakan-rakan kumpulan yang dianggotai menyebabkan mereka juga terjebak dengan insiden negatif.

“Remaja perlukan suri teladan dalam hidup, tetapi kerana tersalah pilih idola dan merasakan ahli-ahli geng memberikan mereka semangat jati diri dan kekitaan yang kuat pada kumpulan, walaupun mereka tahu bahaya, namun sebab ada geng-geng yang beri mereka semangat, mereka akan melebihkan geng kumpulan daripada keluarga sendiri dan rasa berkobar-kobar untuk membuktikan sesuatu kepada pemimpin geng berkenaan termasuk membunuh,” katanya.

Peranan ibu bapa

Dalam pada itu Dr. Andrew menambah, masyarakat seharusnya tidak harus mengharapkan kepada pihak berkuasa dan sekolah untuk menangani masalah gengsterisme. Biarpun ia berlaku kepada pelajar-pelajar sekolah, lazimnya, guru-guru tidak mengetahui mengenai perkumpulan yang dianggotai kanak-kanak berkenaan sehinggalah mereka mendedahkannya sendiri menerusi perlakuan mereka yang ganas.

Dalam hal ini ibu bapa dan keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan kasih sayang dan pemantauan yang rapi terhadap anak-anak. Remaja yang kekurangan kasih sayang akan mudah terpengaruh dengan insiden-insiden seperti ini. Ibu bapa juga berperanan penting mendidik mereka dengan berakhlak dan mampu membezakan antara baik dan buruk.

“Caranya mudah sebenarnya, ibu bapa perlu berinteraksi dengan anak-anak sejak dari kecil lagi. Jangan tidak endahkan mereka, berikan kasih sayang dan bentuk keperibadian mereka untuk menjadi manusia yang berguna pada masa depan.

“Seimbangkan pembelajaran di sekolah dengan aktiviti dan pastikan pelajar-pelajar melakukan kegiatan yang betul atas pengawasan guru ketika di sekolah. Jangan bagi ruang kepada mereka terlalu bebas atau terlalu banyak masa di sekolah yang menyebabkan mereka ponteng kelas dan senang direkrut oleh pihak geng ini.

“Seseorang perlu berbicara dengan remaja ini menerusi bahasa ‘mereka’ yang diseimbangkan dengan perwatakan dan usia. Ini bermakna apabila memberikan nasihat atau menunjuk ajar gunakan perkataan yang boleh difahami agar mereka boleh menerima nasihat atau perkara berkenaan,” katanya.