Dengan sajian yang menjurus kepada cita rasa rakyat Malaysia dan kesemua sajian pula disediakan oleh chef yang berpengalaman, sesiapa sahaja tidak mahu terlepas untuk merasai sendiri sajian makan malam sebegitu.

Tidak perlu berfikir panjang mencari lokasi tepat untuk makan malam kerana bermula 6 Mac ini, Restoran Melur&Thyme akan menawarkan pengalaman berbeza kepada pelanggannya dengan menyajikan hidangan bufet barbeku yang merangkumi pelbagai sajian bakar, tapas, aneka hidangan sampingan, serta aneka pencuci mulut di tingkat Terrace di pusat beli-belah NU Sentral yang merupakan cawangan ketiga restoran milik Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee.

Masih mengekalkan resipi asli dan moden yang menjadi signatur mereka, selain makanan utama yang dibakar, sajian yang segar perlu disertakan dalam menu agar sajian barbeku anda lengkap. Variasi salad bersama pelbagai pilihan sos sudah cukup untuk membuka selera anda untuk terus menikmati makan malam.

Anda tidak perlu risau akan bau asap yang akan mencemari pakaian kerana tempat barbeku terletak di sudut paling hujung dan lokasi tempat makan di bahagian luar restoran tidak membawa sebarang bau-bau yang tidak enak.

Semuanya sudah tersedia di depan mata oleh barisan chef dan anda boleh menikmati sajian barbeku dengan tenang dan selesa.

Pilihan makanan bakar seperti lamb chop shoulder, chicken chop, steak striploin, rib eye, serta pelbagai makanan laut boleh dicuba. Sajian tapas yang begitu popular di Melur&Thyme semestinya menawarkan sajian kegemaran orang Asia iaitu itik.

Diperap dengan kaedah tradisional mampu memberikan lebih keaslian kepada setiap hidangan walaupun jika dilihat hidangan yang disajikan tampak ringkas namun menyelerakan.

Wajib dicuba, hirisan kentang goreng, roti bawang putih, kentang lenyek, coleslaw, jagung bakar, dan sosej sebagai hidangan sampingan yang enak dimakan bersama apa jua pilihan daging terutamanya bersama lamb chop shoulder yang mencipta rasa yang tidak boleh dilupakan.

Tidak perlu bimbang kerana bahan-bahan yang digunakan dijamin bersih, segar dan sudah pasti restoran ingin berikan yang terbaik dengan pelbagai menu untuk dinikmati semua.

Dengan harga bermula RM69 untuk dewasa dan RM35 bagi kanak-kanak, anda dapat menikmati makan malam dalam suasana yang cukup mendamaikan ditemani angin malam di tingkat paling atas NU Sentral.

Berlatar belakangkan pemandangan malam bandar raya Kuala Lumpur, pastinya pertemuan bersama keluarga atau teman-teman anda pastinya menjadi kenangan paling terindah.

Dibuka setiap hari namun untuk sajian bufet barbeku ini hanya ditawarkan pada hujung minggu sahaja bermula pada pukul 6 petang. Yang pasti tidak rugi sekiranya anda menikmati hidangan barbeku di sini sebagai idea lokasi makan malam anda bersama yang tersayang.