Kanser golongan ini selalunya berlaku akibat perubahan DNA (asid deoksiribonukleik) yang terjadi sama ada pada peringkat embrio atau peringkat awal kehidupan mereka. Ini berbeza daripada orang dewasa di mana sesetengah kanser adalah berkait dengan faktor atau pendedahan persekitaran dan juga gaya hidup.

Menurut Pakar Hematologi Pediatrik dan Onkologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Eni Juraida Abdul Rahman, pihaknya sering menerima pertanyaan daripada ibu bapa mengapa anak mereka menghidap kanser.

Dalam kebanyakan kes, Dr. Eni Juarida menjelaskan, tiada satu sebab yang diketahui menjadi puncanya, tetapi kebanyakan kanser melibatkan kanak-kanak tidak berkait dengan mana-mana faktor persekitaran.

“Tetapi masih terdapat apa yang kita panggil sebagai faktor risiko. Sesetengah kanak-kanak yang lahir dengan sindrom tertentu seperti sindrom Down menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser.

“Berhubung dengan keturunan, kami mendapati kebanyakan kanak-kanak yang mendapat kanser selalunya tidak mempunyai sejarah keluarga yang positif. Jenis kanser pada kanak-kanak yang paling biasa adalah leukemia akut. Kanser ini merupakan satu pertiga daripada jumlah kanser dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Dr. Eni Juraida memberitahu, trend bilangan kes kanser dalam kalangan kanak-kanak pada hari ini semakin meningkat berbanding 1980-an.

Jenis-jenis rawatan yang diberi bergantung kepada jenis dan peringkat kanser yang dihadapi.

Rawatan ini mungkin melibatkan pembedahan atau kemoterapi sahaja atau gabungan pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

“Diagnosis dan rawatan semua jenis kanser pediatrik adalah di bawah skop pakar onkologi pediatrik. Ini berbeza berbanding orang dewasa yang mana limfoma atau leukemia dirawat oleh pakar hematologi.

“Kemaglinanan (jangkitan penyakit autoimun) lain mungkin dirawat oleh pakar onkologi perubatan, radio onkologi atau pelbagai sub pakar lain seperti onkologi pembedahan, onkologi ginekologi atau onkologi orto,” jelasnya.

Katanya, apabila seseorang kanak-kanak disyaki mempunyai kanser, ibu bapa diberi nasihat mengenai kemungkinan diagnosis kemaglinanan dan ujian yang perlu untuk mengesahkan penyakit. Langkah pertama menurut Dr. Eni Juraida, adalah penerimaan.

“Kami sering mendapati ibu bapa tidak dapat menerima bahawa anak mereka menghidap kanser. Sekiranya ibu bapa masih sukar untuk menerima kenyataan, rawatan amat sukar untuk diteruskan.

“Hanya setelah keadaan ini diatasi, baharu kita akan bercakap tentang pilihan rawatan yang ada dan apa yang ibu bapa boleh jangkakan semasa proses terapi terutama kesan sampingan.

“Lazimnya, dalam fikiran ibu bapa mereka memikirkan adakah anak mereka boleh mengambil rawatan ini dan bolehkah dia sembuh?. Sebenarnya, hasil rawatan bergantung kepada jenis kanser dan tahap penyakit dan secara keseluruhan, kanser kanak-kanak berpotensi dapat dirawat,” jelasnya.

Kata Dr. Eni Juraida, Kanser yang berbeza menunjukkan tanda-tanda yang berlainan.

“Jangkitan dan demam merupakan perkara biasa bagi kanak-kanak. Apabila demam ini berpanjangan atau kerap berulang, maka perhatian perlu diberikan.

“Namun begitu, terdapat juga penyakit yang memiliki tanda-tanda yang sama tetapi bukan kanser. Simptom-simptom lain termasuklah kemunculan bengkak atau ketulan luar biasa pada tangan atau kaki yang tidak dapat ditentukan oleh trauma, terutamanya jika saiz bengkak semakin membesar,” katanya.

Bagi leukemia pula, ia adalah sejenis penyakit sistemik. Kanak-kanak boleh menghidap demam yang datang dan pergi, sakit sendi atau kecenderungan pendarahan seperti lebam, berdarah hidung, gusi berdarah. Atau dia mungkin kelihatan pucat.

“Di sini saya mahu menekankan, kanser dalam kalangan kanak-kanak merupakan sesuatu yang berpotensi untuk pulih. Kanser pada kanak-kanak selalunya berakhir dengan pemulihan. Jika kita lihat pada statistik leukemia limfoblastik akut bagi dunia Barat, kadar pulih pesakit dengan risiko standard, adalah setinggi 90 peratus.

“Tumor Wilm, iaitu sejenis tumor buah pinggang yang paling biasa pada kanak-kanak, penyakit ini pada tahap 1 mempunyai kadar pulih sebanyak 90 peratus, malah pada tahap empat, kadarnya masih 60-70 peratus boleh diselamatkan.

“Rawatan kanser adalah kompleks dan panjang. Ibu bapa dan keluarga perlu berkorban secara emosi, kewangan dan psikologi. Tetapi ganjaran pada penghujungnya sangat berbaloi,” katanya.

Dr. Eni Juraida memberitahu, sepanjang perkhidmatannya sebagai pakar onkologi pediatrik dia berhadapan dengan pengalaman, bagaimana seorang budak perempuan berusia lapan tahun yang didiagnosis dengan leukemia myeloid akut telah menjalani kemoterapi dan seterusnya pemindahan tulang sum-sum daripada penderma adik-beradik yang sepadan.

Kanak-kanak ini akhirnya berjaya pulih dan bebas daripada penyakit dan sekarang bertugas sebagai seorang jururawat di tempat dia menjalani pembedahan tulang sum-sum itu.

Kesan sampingan ubat kepada kanak-kanak

MENURUT Dr. Eni Juraida Abdul Rahman, penggunaan ubat-ubatan dalam rawatan pasti mempunyai kesan sampingan, justeru, sebelum memulakan terapi, ibu bapa akan diberi nasihat tentang potensi kesan sampingan ubat-ubatan yang bakal diterima anak mereka.

“Sekiranya terdapat kesan, sejauh mana teruknya akan bergantung kepada tindak balas tubuh kanak-kanak.

“Tindak balas individu terhadap ubat yang sama mungkin berbeza. Walaupun kemoterapi mensasarkan tumor, akan ada sedikit kesan pada tisu normal seperti jantung, paru-paru dan buah pinggang,” katanya.

Beliau berkata, sesetengah ubat mempunyai kesan ke atas otak dan sistem saraf.

Jelasnya, bagi kanak-kanak lelaki, beberapa jenis ubat boleh menjejaskan kesuburan mereka, justeru, ahli-ahli keluarga akan diperingatkan perkara ini mungkin berlaku agar mereka bersiap sedia.

“Risiko penyakit berulang sentiasa ada bagi mana-mana tumor. Bagaimanapun, selepas kanak-kanak melengkapkan rawatan mereka dan kekal bebas penyakit selama beberapa tahun tertentu, mereka boleh dianggap sebagai sudah sembuh.

“Namun rawatan susulan bagi pesakit ini adalah sepanjang hayat.

“Pada peringkat awal, proses susulan adalah untuk mengawasi kemungkinan penyakit berulang. Rawatan susulan seterusnya adalah untuk mengawasi kesan rawatan yang muncul, sebarang isu kesihatan lain serta sekiranya muncul jangkitan autoimun yang kedua,” katanya.