Sementara tempoh menunggu itu, dia mengisi masanya dengan melakukan hobi yang disukainya, iaitu sebagai pereka barang-barang perkahwinan seperti kad, poster, pelekat, bunting, buku pelawat, props booth gambar, butang lencana dan sebagainya.

Sebenarnya dia telah mula membuat hobi ini ketika menuntut di Xi’an Jiaotong, University School Of Medicine, Xi’an, China.

Bahkan, minat terhadap bidang grafik telah lama dipupuk sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Katanya, semasa di China dia suka membuat kad dan perhiasan grafik untuk sambutan hari jadi rakan-rakan sekuliah.

Dia akan menawarkan diri membuat kad jemputan, poster dan sebagainya. Tiada upah dikenakan, sebaliknya semua dibuat secara sukarela demi minat.

Dr. Nurfatimah Farha atau ringkas dipanggil Dr. Farha, kembali ke tanah air pada Julai 2015 dan pada November tahun yang sama bermulalah hobinya yang memberikan pendapatan.

Ia bermula apabila kawan baiknya melangsungkan perkahwinan dan dia yang berjiwa kreatif serta banyak idea diminta untuk membantu majlis tersebut.

“Ketika itu sudah ada trend pengapit pengantin menerima kad daripada pengantin yang tertulis ‘Sudikah anda menjadi pengapit saya?’ atau ‘Sudikah anda menolong mengangkat dulang hantaran saya?’ dan sebagainya.

“Memang ia budaya barat, namun mereka sengaja hendak suka-suka bersama kawan-kawan. Saya buat kad seperti yang dipinta dan kawan-kawan saya telah muat naik di Instagram.

“Mereka kata rekaan kad saya mengikut isu semasa dan cantik. Saya tak patut buat percuma. Sebetulnya saya tidak pernah terfikir hendak jadikan hobi ini sebagai bisnes. Saya cuma hendak menjadi doktor,” kata isteri kepada Dr. Haidar Hoe, 27, semasa ditemui baru-baru ini.

Walaupun sebagai hobi, setakat ini Dr. Farha telah menerima pelanggan yang agak membanggakan seperti Worldwide Fund for Nature (WWF-Malaysia), iaitu membuat rekaan muka depan buku berjudul Ulu Muda: Tanah Air’ku. Buku gambar ini telah dipersembahkan kepada Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Pelanggan lain termasuk, Air Asia, Petronas, rekaan corak untuk pengusaha tudung tempatan dan banyak lagi.

Dia mengakui, inspirasi dan idea banyak diperoleh dari Pinterest, sebuah laman sosial yang memberikan idea dan inspirasi mengenai pelbagai rekaan kad.

Menurutnya, dia sangat berminat dengan idea daripada luar negara dan banyak dipengaruhi oleh idea Australia. Kebanyakan pelanggan suka tema moden bagi majlis perkahwinan mereka seperti kehijauan, tropika, kedesaan (rustic)dan bohemian.

Sementara untuk kad perkahwinan pula, dia akan mengikut apa yang dikehendaki oleh pelanggan, contohnya tema tropika. Pelanggan boleh memberi contoh dan dia akan cuba membayangkan dan kemudian memperlihatkan kepada pelanggan. Jika dipersetujui, baru akan diteruskan.

Pelanggan perlu menempah kad perkahwinan tiga bulan awal sebelum majlis. Jumlah minimum bagi majlis bertunang dan akad nikah ialah 25 keping, sementara kad perkahwinan ialah sebanyak 300 hingga 1,000 keping.

“Kad yang saya buat adalah hasil idea sendiri dan sangat istimewa. Pelanggan boleh membuat rekaan mereka sendiri. Mereka hanya perlu beritahu sahaja pada saya.

“Jika menempah di kedai, rekaannya telah sedia ada dan sama dengan orang lain. Sesetengah orang mungkin tidak suka jika kad perkahwinannya sama dengan orang lain.

“Pendapatan yang diperoleh sepanjang masa dan bukan pada musim kahwin sahaja. Ini kerana saya, menerima tempahan membuat apa sahaja rekaan grafik dan barang-barang untuk kad, tudung, buku, poster, baby shower, bridal shower bertema, hari jadi bertema dan sebagainya.

“Sebulan bolehlah dapat di antara RM2,000 hingga RM2,500,” jelas Dr. Farha yang boleh dihubungi melalui Instagram. @byfarhaghouse.