Apakah fenomena menakutkan ini melibatkan masalah mental? Menurut Pakar Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Zahari, kes mendera atau melempar bayi amat berkait rapat dengan masalah mental.

Tekanan mental seperti kemerosotan sokongan psikososial boleh menyebabkan seseorang bertindak sedemikian.

Jelasnya, psikososial adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan keadaan hubungan sosial seseorang dengan kesihatan emosinya.

Justeru, faktor risiko ketiadaan sokongan psikososial berlaku apabila ibu itu boleh jadi seorang ibu ‘tunggal’ yang melahirkan anak luar nikah atau menjadi ibu di usia yang terlalu muda dan tidak pula mendapat sokongan ahli keluarga.

Selain itu faktor penyakit mental seperti postpartum psychosis (meroyan) atau kemurungan selepas pasca kelahiran berkemungkinan besar boleh menyebabkan ibu berkenaan bertindak sedemikian.

“Bagi menangani masalah ini, sokongan fizikal dan emosi terhadap mereka yang berisiko amat penting. Ahli keluarga terdekat seperti suami atau ibu dan bapa perlu memberi bantuan secukupnya membantu keadaan ibu yang baru sahaja melahirkan.

“Pengesanan awal boleh dibuat jika terdapat perubahan emosi dalam kalangan mereka yang baru bersalin. Ini perlu diberi perhatian dan rawatan perlu diberikan sekiranya berlaku di luar kelaziman keadaan ibu-ibu itu sendiri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr. Muhammad Muhsin menyarankan agar saringan kesihatan mental perlu dilakukan terhadap golongan ibu yang baru sahaja melahirkan.

Ini berikutan semakin kerap kejadian-kejadian berisiko tinggi melibatkan golongan ini terhadap diri atau bayi mereka berlaku.

Katanya, kejadian berisiko lebih kerap berlaku beberapa hari atau beberapa bulan selepas kelahiran, justeru, pemeriksaan saringan terhadap kesihatan mental boleh dilakukan apabila ada lawatan daripada pihak hospital ke rumah ibu atau semasa rawatan susulan di klinik atau hospital.

“Langkah seterusnya lakukan sesi kaunseling kepada mereka yang dikenal pasti berisiko setelah saringan dilakukan. Proses saringan dan rujukan kepada doktor pakar yang berkaitan seperti psikiatri juga harus dibuat tanpa sebarang halangan.

“Cuma cabaran utama yang bakal timbul ialah perspektif negatif daripada masyarakat. Ibu ‘tunggal’ yang mempunyai anak luar nikah sering menerima stigma negatif yang akhirnya mengakibatkan kemudaratan kepada anak kecil,” jelasnya.

Kata Dr. Muhammad Muhsin, tekanan hidup juga antara penyumbang kepada masalah ini berlaku, selain ahli keluarga terdekat yang tidak memberi sokongan emosi dan fizikal kepada ibu-ibu ini yang menyebabkan mereka bertindak di luar kewarasan.

Menurutnya, kesihatan mental ditakrifkan sebagai kebolehan seseorang itu bebas daripada gangguan emosi seperti tekanan perasaan dan pengawalan kemarahan.

“Mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) seseorang yang sihat adalah mereka yang sihat kedua-duanya, fizikal dan juga mental,” jelasnya.

Jelasnya, faktor penyumbang kepada masalah menetal, boleh dibahagikan kepada persekitaran dan genetik.

Faktor persekitaran merujuk kepada pengaruh luaran seperti tekanan hidup yang melampau sama ada sosial dan kewangan, melalui peristiwa amat buruk dalam kehidupan serta masalah hubungan interpersonal manakala genetik pula merujuk kepada faktor keturunan serta personaliti seseorang.

Jelas Dr. Muhammad Muhsin, masyarakat atau ahli keluarga terdekat boleh mengenali individu itu sama ada mengalami masalah kesihatan mental di tahap serius atau tidak.

“Perubahan kelakuan seseorang juga boleh menjadi tanda individu itu mengalami masalah kesihatan mental. Antara tanda-tanda utama seperti gangguan tidur, hilang selera makan, menyendiri, hilang tumpuan semasa membuat pekerjaan, merasa bersalah secara berlebihan dan perasaan seolah-olah diri sudah tidak bernilai.

Lihat perspektif sama seperti penyakit lain

KEBANYAKAN masyarakat tidak berjumpa pakar untuk masalah mental kerana beranggapan ia hanya untuk orang yang hilang akal atau gila, justeru, persepsi ini perlu diperbetulkan segera. Mereka yang mengalami gejala kesihatan mental perlu segera mendapatkan bantuan daripada pihak klinik atau hospital.

Jika rawatan diterima awal, penyakit mental akan sembuh dengan lebih baik.

Menurut Dr. Muhammad Muhsin, persepsi yang salah dalam masyarakat begitu menular yang beranggapan atau melabel mereka yang berjumpa dengan doktor psikiatri dengan pandangan negatif.

Persepsi ini sebenarnya tidak betul, seterusnya menjadi penyumbang pesakit terhadap kelewatan dalam mendapatkan rawatan, seterusnya menimbulkan tekanan pula kepada golongan ini yang telah pulih dan bersedia untuk kembali semula dalam masyarakat.

“Sebenarnya, penyakit mental adalah disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak seseorang yang menyebabkan perubahan biologi, kelakuan dan perasaan.

“Ia seperti penyakit-penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan rawatan daripada doktor yang pada asasnya disebabkan ketidakseimbangan bahan kimia dalam tubuh seseorang

“Bukan kehendak mereka mengalami penyakit ini. Oleh itu agar masyarakat berlaku adil kepada yang mengalami penyakit ini, ia perlu dilihat dari perspektif yang sama seperti penyakit-penyakit lain,” katanya.

Untuk mengurangkan risiko penyakit ini, adalah dinasihatkan orang ramai mengamalkan cara hidup yang sihat bukan sahaja fizikal tetapi juga mental.

Tekanan atau stres perlu ditangani dengan berkesan. Perlu untuk seseorang berkongsi tekanan dan meluahkan perasaan dengan mereka yang boleh mendengar. Adalah tidak sihat berkongsi perasaan khususnya yang negatif di alam maya.

“Jauhkan juga daripada penggunaan bahan-bahan terlarang serta mengambil sebarang ubat-ubatan tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu,” jelasnya.

Penerapan pemikiran psikologi yang positif akan menjadikan seseorang itu mampu mendepani tekanan.

Antaranya saling harga menghargai, saling bantu membantu, tidak bertindak melulu apabila berhadapan kesukaran, memperkayakan diri dengan memori yang indah, tidak menghakimi orang lain, berfikiran positif dan berbaik sangka dan banyak lain elemen-elemen yang sihat.

“Bagi individu ini, mereka menanggung kesengsaraan akibat jiwa yang terganggu. Gejala ini menyebabkan jiwa mereka menjadi tidak harmoni, serta tidak dapat menghayati keseronokan dan kebahagiaan seperti ahli masyarakat lain.

“Kejadian bunuh diri berkait rapat dengan penyakit mental yang tidak menerima rawatan. Dalam perawatan, rawatan susulan adalah penting bagi memastikan pesakit tidak mengalami gejala penyakit mental yang dihidapi sebelum ini,” katanya.