Bertugas sebagai Eksekutif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di sebuah bank tempatan, Muhammad Syafiq Mobin, 30, cukup beruntung kerana skop tugasnya berkaitan dengan membantu golongan susah bukan sahaja di Malaysia malah juga di luar negara.

Dengan pengalaman itu juga dia telah menubuhkan sebuah rumah anak yatim pada 2010 yang diberi nama, Rumah Anak Yatim Raudhatul Al-Faeez terletak di Batu 9 1/2, Gombak, Selangor.

Bercerita bagaimana tertubuhnya rumah tersebut, kata Muhammad Syafiq, asalnya rumah tersebut adalah milik ibu kepada kawan baiknya yang telah mewakafkan bagi dijadikan rumah anak yatim.

Katanya, ibu kepada kawan baiknya itu dilantik sebagai pengetua, sementara Muhammad Syafiq sebagai pengurus kebajikan yang diberi tanggungjawab menguruskan hal ehwal kebajikan penghuni.

Menurutnya, Raudhatul Al-Faeez kini mempunyai seramai 30 penghuni yang kesemuanya lelaki berumur di antara tiga hingga 18 tahun.

Mereka terdiri daripada anak yatim, yatim piatu, keluarga miskin, anak-anak ibu tunggal dan saudara baharu.

Muhammad Syafiq berkata, pada awal penubuhan rumah tersebut hanya terdapat enam orang penghuni tetapi sekarang meningkat menjadi 30 orang.

“Sebagai pengurus kebajikan, saya dipertanggungjawab mencari sumbangan untuk perbelanjaan rumah itu seperti makanan, bil, pakaian, persekolahan, pengangkutan, tukang masak, gaji pekerja dan sebagainya.

“Perbelanjaan sebulan dianggarkan sebanyak RM20,000 namun setakat ini sumbangan yang diterima dapat menampung perbelanjaan tersebut.

“Rakyat Malaysia sangat bermurah hati kerana mereka sentiasa bersedia memberikan bantuan. Raudhatul Al-Faeez banyak mendapat dana dari korporat, kenalan rapat dan orang awam.

“Contohnya pada bulan Ramadan tahun lepas, kami memulakan projek membeli baju raya bagi penghuni di sini. Dalam masa seminggu, kami dapat mengumpul RM13,000 dengan itu, setiap penghuni mendapat sepasang baju raya.

“Rumah ini berdaftar dengan Kementerian Kebajikan Masyarakat (JKM) dan setiap sumbangan yang diberikan mendapat pengecualian cukai,” katanya semasa ditemui Mega Rona baru-baru ini.

Dia memberitahu, bagi Ramadan yang baharu sahaja berlalu, pihaknya memulakan projek mengumpulkan RM2,000 bagi menunaikan kehendak penghuni yang teringin memakan sate.

Tanpa disangka, sumbangan datang mencurah-curah dan melebihi sasaran.

Tambah Muhammad Syafiq, pada masa sekarang, rumah ini hanya menerima penghuni lelaki, bagaimanapun pihaknya dalam perancangan bagi menubuhkan rumah untuk penghuni perempuan di sebelah rumah yang ada sekarang.

Kepuasan melakukan kerja-kerja amal katanya, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Cukuplah dengan melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah, senyuman, tangisan gembira dan ucapan terima kasih yang membuatkan hatinya tersentuh.

Justeru, dia mempelawa dan menggalakkan lebih ramai golongan muda supaya turut sama membantu dalm usaha-usaha amal kerana bantuan bukan sahaja boleh datang dalam bentuk wang ringgit tetapi juga tenaga.