Apakah imej yang patut ada pada seorang suri rumah ?

Menariknya, soalan ini ditujukan kepada saya oleh seorang hos rancangan wanita, ketika dijemput menjayakan segmen WoW! Merungkai Rahsia WoW Faktor, wanita sukses dan elegan yang bakal saya kendalikan sepanjang tahun ini.

Apa yang saya boleh ringkaskan, imej dan stail (gaya) seseorang individu itu adalah dua perkara yang berbeza. Stail banyak berkaitan dengan trend yang diminati atau yang ingin digayakan. Mempunyai imej yang baik pula, sangat berkaitan dengan keseluruhan penampilan (termasuk gaya itu tadi), tingkah laku dan komunikasi (secara lisan mahupun bukan lisan) seseorang individu. Malah, sikap juga memainkan peranan dalam membentuk imej yang positif.

Gemar menggunakan perkataan negatif seperti saya malas, saya tiada masa, imej itu tidak penting atau saya tidak cantik, secara tidak langsung telah mengurangkan rasa tidak berkeyakinan pada diri sendiri dan merendahkan kebolehan secara automatik.

Mencari gaya fesyen peribadi lebih kepada mengenali diri sendiri.

Malangnya hari ini, majoriti wanita seakan menjadi fotokopi kepada setiap gaya fesyen di pasaran. Segalanya stereotaip.

Dari pemilihan pakaian, gaya kehidupan, dan meniru segala apa yang orang lain atau idolanya suka, sudah tiada lagi keaslian.

Membina gaya atau stail peribadi merupakan seni menggabung dan menyuai padan pakaian dengan tujuan memberikan gambaran imej seorang individu berdasarkan pelbagai aspek gaya kehidupan dan personaliti seseorang itu seperti cita rasa, minat, inspirasi , aspirasi, latar belakang akademik mahupun pengalaman.

Berani menjadi diri sendiri dan mengenakan penampilan yang menunjukkan keunikan diri dan menunjukkan kehebatan anda walaupun hanya sebagai suri rumah.

Pentingkah membina gaya fesyen peribadi ini ?

Jawapannya , tidak penting jika anda masih lagi tidak mahu berubah. Tanpa segan silu mengatakan anda malas, atau tiada masa dan tidak penting.

Mempunyai gaya tersendiri terbukti membantu membina keyakinan diri dalam penampilan seharian.

Di mana hendak mulakan ?

Percayalah, anda tidak keseorangan. Bukan sahaja suri rumah, malah golongan wanita bekerjaya juga adakalanya buntu dan tiada kepastian bagaimana dan dengan siapa harus mereka mulakan. Ada yang inginkan perubahan atau transformasi diri tapi kerana rasa segan dan takut ‘dikata’ orang, mereka rela memendam hasrat. Majoriti yang datang menemui saya melalui sesi personal image coaching, semuanya meminta identiti mereka dirahsiakan.

Ia sangat bertentangan dengan negara Barat, di mana kebanyakan mereka (pelanggan) tidak begitu kisah, malah gembira gambar mereka dimuat naik sebagai perbandingan sebelum dan selepas transformasi.

Cara yang terbaik adalah mengenal pasti siapa anda dan apa yang anda mahukan?

Dalam proses mencari dan menentukan gaya fesyen peribadi terbaik ini, fikirkan diri anda yang ideal. Gabungkan cita rasa, gaya kehidupan, minat, keperluan dan kehendak. kedudukkan kewangan dan gambaran imej yang sesuai dengan senarai di atas. Bukannya meniru bulat-bulat imej idola anda.

Saya sarankan anda mula mencatat dan menyenaraikan jenis aktiviti secara mingguan, bulanan dan tahunan.

Kadangkala menjadi kesilapan besar suri rumah hari ini apabila baju basahan di rumah, itu jugalah digunakan sebagai baju mengambil dan menghantar anak ke sekolah, pergi membeli barangan dapur di pasar raya, membayar bil di pejabat pos, membuat transaksi di bank dan sebagainya. Apabila tibanya jemputan menghadiri majlis keramaian seperti majlis makan malam dan hari keluarga syarikat suami, anda seperti tidak pasti apa yang sesuai untuk digayakan atau dibawa bersama.

Dengan mengenal pasti jenis aktiviti secara mingguan, bulanan dan tahunan, sedikit sebanyak memberikan anda panduan tentang peratusan jenis pakaian yang anda perlu miliki di dalam koleksi wardrobe hari ini .

Bagaimana, bolehkah anda kaitkan dengan senario sebenar anda di rumah?

Dalam membina gaya fesyen peribadi, anda sendiri harus komited dan konsisten dalam mewujudkan imej yang segar dan menarik pada pandangan mata pasangan.

Percayalah, berkain batik di rumah juga boleh nampak menarik dan seksi, jika anda bijak mengenakan dengan warna baju atau t-shirt yang sesuai.

Jangan lupa, pastikan pandangan visual pertama (first impression) diambil berat, juga penggunaan bahasa badan, selain intonasi suara dan pemilihan perkataan yang sesuai bagi menyedapkan pandangan dan pendengaran mereka yang tersayang.

Terperangkap di dalam zon selesa (seperti artikel saya minggu lepas) bukan sahaja membuatkan anda merasakan imej peribadi ini tidak lagi penting, malah tidak merasakan kebarangkalian adanya risiko jika pasangan berubah hati.

Jangan sesekali ambil mudah dan tidak percaya kepada kepentingan penjagaan imej peribadi sekali pun anda kini bergelar suri rumah.

Bukan sahaja dari segi pilihan pakaian, tetapi tidak menghiasi diri agar kelihatan sedikit menarik dengan solekan sederhana di muka juga 
dianggap mensabotaj diri 
sendiri.

Selain itu, saya juga sering melihat bagaimana kebanyakan wanita yang mensabotaj imej mereka dengan hanya berselipar atau sandal dan postur badan yang agak lemah apabila berjalan bersama pasangan.

Ia seakan memberi gambaran tiada lagi kebahagiaan dan kemesraan bila bersama.

Tentunya anda tahu jawapan ini, jika baru tiga tahun berumah tangga, kebanyakan pasangan sudah dilihat jalan berjauhan, seorang di hadapan, dan si isteri pula tertinggal di belakang sambil memimpin atau berlari-lari mengejar si kecil.

Berjaga-jagalah, ini tanda-tanda yang anda perlu perhatikan dari jauh dan lakukan sesuatu sebelum segalanya terlambat.

Mencipta bahagia harus bermula daripada diri sendiri. Dan saya percaya anda pasti boleh lakukan.