Ketika keba­nyakan wanita menuju penghujung karier pada usia 30-an, wanita bertubuh kecil kelahiran Selangor itu sebaliknya masih berada di puncak karier, berusaha untuk memastikan perniagaan fesyennya berkembang maju.

Walaupun ada yang mengatakan dia tidak perlu bersusah payah mengejar wang ringgit kerana sudah punya suami yang mampu memberikan segalanya, wanita ini tidak mahu mengambil kesempatan tersebut.

Baginya, duit yang dicari sendiri lebih bermakna kerana dia tahu susah payah di sebalik mendapatkan wang tersebut.

“Saya sudah berdikari sejak usia 14 tahun lagi kerana tidak suka meminta-minta walaupun daripada ibu bapa sendiri.

“Saya masih ingat lagi, saya pernah berbohong kepada kedua-dua ibu bapa saya dengan mengatakan saya ke tuisyen sedangkan bekerja sambilan di sebuah pusat beli-belah.

“Bagi saya, selagi boleh berusaha untuk mendapatkan apa yang saya inginkan, saya akan lakukan. Disebabkan sifat ini juga membuatkan saya tidak pernah jemu untuk mengembangkan lagi perniagaan, walaupun ada yang kata sepatutnya saya hanya perlu fokus kepada anak-anak,” katanya ketika ditemui Mega Rona, baru-baru ini.

Ketika menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta, Nadia tetap bekerja sambilan selepas kuliah untuk menjana wang sampingan dan dalam masa yang sama mencari pengalaman bekerja.

Dia tidak mahu mensia-siakan usia mudanya dalam mengejar pengalaman kerana tahu suatu hari nanti pasti memanfaatkannya.

Justeru, ketika bekerja dalam industri teknologi maklumat sebagai pengurus projek, dia sudah menjalankan perniagaan kecil-kecilan secara dalam talian.

Pada mulanya sekadar suka-suka kerana ketika itu dia sudah mempunyai karier yang stabil dan tidak melihat perniagaan itu mampu memberi pendapatan tetap.

Pada 2012, Nadia bermula sebagai dropship dengan menjual pakaian kanak-kanak kerana secara kebetulan rakan-rakannya sering bertanya di mana dia membeli pakaian anak-anak yang semuanya cantik-cantik.

“Saya melihat pertanyaan tersebut sebagai peluang untuk menjana pendapatan. Dari situ, saya mula menjual apa yang saya suka kepada kenalan dan lama-kelamaan saya mula membina rangkaian perniagaan dengan mempunyai pelanggan tetap.

“Pada 2014, saya menukar strategi perniagaan dengan memasuki butik vendor dan memperkenal jenama ODDA.

“Pada tahun yang sama juga saya mengambil keputusan berhenti bekerja sebagai pengurus projek kerana tidak mampu mengejar kedua-dua karier, apatah lagi anak-anak di rumah memerlukan ibunya,” katanya yang kini fokus dengan koleksi siap dipakai (RTW) untuk jenama ODDA.

Penampilannya sentiasa penuh gaya, wajah pula tidak pernah sekalipun dilihat tanpa solekan, malah setiap fesyen yang digayakan sering mengundang pertanyaan pengikut Instagram, yang kini memiliki hampir 12,000 pengikut.

Jika kebanyakan wanita masa kini lebih selesa untuk memiliki satu atau dua orang anak sahaja, berbeza bagi Nadia kerana dalam tempoh tujuh tahun perkahwinan, dia sudah dikurniakan empat anak berusia antara satu hingga tujuh tahun.

Kehadiran anak-anak tidak pernah dilihat sebagai halangan bahkan pembawa rezeki dalam usahanya mengejar cita-cita mengembangkan perniagaan.

Katanya, ramai juga yang tidak menyangka dia mampu menguruskan anak-anak dengan baik tanpa bantuan pembantu rumah, pada masa sama mempunyai perniagaan.

Dia percaya ibu pada era ini sememangnya dianggap moden bukan kerana penampilan semata-mata, malah dari segi pemikiran, pendirian serta perlakuan.

“Dahulu, ramai ibu mungkin tidak pandai bergaya dan memilih untuk menjadi suri rumah, namun kini kebanyakan wanita mahu bekerja untuk mempunyai pendapatan sendiri.

“Dengan bekerja mereka percaya boleh menguruskan kewangan keluarga dengan lebih selesa,” katanya.